Tag Archives: itali

Kia Niro Tri-Fuel ini boleh gerak sejauh 1,600 km!

Kereta hibrid masih belum cukup untuk padamkan perasaan kebimbangan jarak?

Usah risau, kerana Kia kini menawarkan produk crossover hibrid yang mampu bergerak sejauh 1,600 km, iaitu Kia Niro Tri-Fuel.

Ia menampilkan kombinasi enjin Smartstream 1.6 liter berkuasa 89 hp berserta motor elektrik berkuasa 43 hp, menjadikan jumlah kuasa keseluruhan sekitar 126 hp dan 264 Nm.

Tidak seperti Kia Niro Hybrid yang biasa, Kia Niro Tri-Fuel mempunyai dua tangki bahan api, terdiri daripada tangki petrol sebesar 41.6 liter dan tangki propana (LPG) sebesar 40 liter yang diposisikan di bawah lantai kargo.

‘Tangki’ ketiga yang wujud pada Kia Niro sebenarnya merupakan pek bateri berkapasiti 1.3 kWh.

Dengan dua tangki penuh (berserta pek bateri itu tadi), Kia Niro Tri-Fuel boleh dipandu sejauh 1,600 km, selain mengurangkan emisi CO2 sebanyak 6 peratus berbanding model hibrid standard.

Untuk bertukar daripada petrol kepada LPG, pemandu boleh menekan satu butang khas yang disediakan bersebelahan dengan butang pandu mula, selain memeriksa kapasiti bahan api LPG yang masih tinggal.

Proses pemasangan sistem LPG ini dibuat oleh syarikat kelengkapan gas BRC, namun pemilik masih boleh menikmati jaminan penuh selama tujuh tahun atau had perbatuan 150,000 km.

Menurut Kia, pemilik Niro Tri-Fuel mampu menjimatkan kos pengisian bahan api sehingga €5,000 (RM23,453).

Harga jualan Kia Niro Tri-Fuel bermula dari €34,450 (RM161,591) dan boleh mencecah sehingga €39,200 (RM183,872) untuk varian premium.

Buat masa ini, jualan Kia Niro Tri-Fuel dihadkan untuk pasaran Itali sahaja.

Kerajaan Itali punya pasal, Alfa Romeo ubah nama Milano jadi ‘Junior’

Baharu sahaja diperkenalkan kurang dari tempoh satu minggu, Alfa Romeo terpaksa mengubah nama asal Milano menjadi “Junior”.

Langkah drastik tersebut dibuat setelah menteri kerajaan Itali, Adolfo Urso menyebut produk tersebut tidak boleh dipasang di luar Itali sekiranya ia terus menggunakan nama Milano, memandangkan penggunaan nama tersebut dikatakan mampu mengelirukan pengguna.

CEO-nya, Jean-Philippe Imparato berkata, “keputusan untuk menamakannya sebagai Alfa Romeo Junior adalah bersifat neutral, memandangkan ia berkait rapat dengan sejarah jenama dan menjadi kegemaran di kalangan kami dan umum sejak permulaan.

“Biarpun kami tidak perlu berbuat demikian (menukar nama), kami mengambil keputusan tersebut untuk mengekalkan emosi positif yang telah dijana oleh produk kami, serta mengelakkan sebarang kontroversi,” ujarnya lagi.

 

Alfa Romeo GT 1300 Junior

 

Berkenaan dengan pemilihan nama Junior, ia adalah sebagai satu rujukan kepada nama model GT 1300 Junior yang diproduksikan pada tahun 1966 sebagai salah sebuah model mampu milik yang disasarkan kepada golongan pembeli muda.

Pengenalan model tersebut ternyata membuahkan hasil yang memberangsangkan, di mana lebih daripada 92,000 unit telah terjual.

 

Alfa Romeo Milano – EV dengan jarak gerak 410 km, kuasa sehingga 240 hp, jeriji unik

MV Agusta kini jadi milik KTM

Pada November 2022, Pierer Mobility Group selaku syarikat induk KTM AG telah memperoleh pengangan saham 25.1 peratus MV Agusta.

Perolehan itu menyaksikan KTM AG mempunyai campur tangan dalam beberapa aspek pengurusan MV Agusta. Kemudian pada Oktober 2023, KTM AG mengambil alih pengurusan pembelian dan rantaian bekalan syarikat berpangkalan di Varese, Itali itu. 

Terbaru, KTM AG mengumumkan perolehan 50.1 peratus pemilikan saham MV Agusta sekaligus memiliki pengangan majoriti jenama motosikal mewah Itali itu. 

Pengumuman itu walaupun sudah dijangka namun dianggap sebagai satu kejutan kerana KTM AG sebelum ini berpeluang menjadi pemegang majoriti pada Disember 2025 namun membuat keputusan untuk percepatkan perolehan tersebut. 

Susulan perkembangan terbaru ini, KTM AG akan mengambil alih pengurusan syarikat dan merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran MV Agusta kepada lebih 10,000 unit. 

Polis Itali dapat Lamborghini Urus Performante sebagai peronda lebuh raya

KERJASAMA antara Automobili Lamborghini dan pasukan polis Itali kini diteruskan dengan kenderaan peronda lebuh raya baharu iaitu Urus Performante.

Buat pengetahuan anda, SUV berprestasi tinggi itu merupakan kereta Lamborghini keenam yang menyertai flit polis lebuh raya Itali sejak termeterainya kerjasama antara dua pihak itu pada 2004.

Urus Performante itu bakal memasuki perkhidmatan bermula tahun hadapan bersama dengan Huracan LP610-4 dan akan digunakan untuk tugasan-tugasan khas termasuk penghantaran segera organ dan plasma.

Jentera ini disiapkan oleh jurutera Lamborghini di Sant’Agata Bolognese mengikut spesifikasi polis. Livery direka oleh studio Lamborghini Centro Stile, menampilkan gabungan warna biru dan putih polis Itali, serta warna bendera Itali pada bahagian sisi dan tali pinggang keledar.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan logo polis yang dibalut filem pantulan cahaya, bar lampu LED biru 360 darjah di atas bumbung dan siren elektrik dua nada.

Bahagian kokpit pula menampilkan kotak senjata, paparan boleh lipat dan kotak simpanan di dalam but untuk menyimpan alat defibrilator.

Lebih penting lagi, terdapat juga peti sejuk mudah alih untuk membawa organ serta paparan dan pengelog data untuk pemantauan suhu secara berterusan.

Urus Performante ini tidak akan mempunyai masalah untuk menggalas tugasnya dalam situasi kecemasan kerana ia dikuasakan oleh enjin 4.0 liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 666 PS dan 850 Nm.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 306 km/j.

Subaru BRZ Touge dapat jajan sporti dan warna ikonik, untuk Itali sahaja

SUBARU BRZ baru tiba untuk pasaran Itali dan untuk mengubati ‘kelewatan’ itu, mereka memberikan kereta sports itu dengan edisi Touge, lengkap dengan beberapa ‘jajan’.

Diilhamkan dari istilah Jepun iaitu pemanduan di pergunungan, BRZ itu dikeluarkan sebanyak 60 unit sahaja, dengan harga 49,500 Euro (RM247,033). Harga ini difahamkan kira-kira dua kali ganda dari harga kereta standard.

Jadi, apa yang anda dapat selain dari status edisi terhad? Pertamanya, ia hadir dengan warna Blue Pearl yang ikonik, disulami dengan rim OZ Racing Ultraleggera Race Gold bersaiz 18-inci. Rim ini dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 215/40.

Pastinya kombinasi rim dan warna ini cukup menyerlah dan cantik. Untuk perbandingan, versi standard hadir dengan rim 18-inci Dark Gray berserta tayar Yokohama BluEarth Winter V905.

BRZ Touge juga dilengkapi kit badan lebih sporti dengan spoiler dan skirting sisi, serta tip ekzos berkembar hasil talaan Supersprint iaitu syarikat Itali. Ekzos ini juga bertulis “Subaru BRZ Touge”.

Nadi kepada BRZ ini masih enjin 2.4-liter dengan output 231hp dan 250Nm tork, tiada perubahan. Tetapi versi Touge hanya hadir dengan kotak gear manual 6-kelajuan, yang juga dipadankan dengan limited-slip differential (LSD).

Subaru BRZ dilancarkan untuk pasaran Malaysia kira-kira setahun lepas sebelum kembarnya, Toyota GR86 tiba pada Februari.

Tiada sebarang edisi khas untuk Malaysia buat masa ini. Tetapi jika dapat versi lebih sporti seperti Touge menarik juga, kan?