Tag Archives: j7

Jaecoo J7 PHEV – apa beza antara varian ICE dan PHEV?

Minggu lalu, Jaecoo Malaysia melancarkan J7 PHEV ke pasaran tempatan pada harga RM158,800, lebih RM10,000 lebih rendah berbanding harga anggaran yang diumumkan pada Oktober tahun lalu.

Sekilas pandang, J7 PHEV nampak serupa dengan J7 namun kedua-dua model sebenarnya mempunyai banyak perbezaan, bukan sahaja dari segi trenkuasa malah juga dalam aspek reka bentuk luaran dan dalaman.

Trenkuasa

Seperti namanya, J7 PHEV didatangkan dengan trenkuasa hibrid plug-in dan bukannya enjin pembakaran dalaman seperti J7. Trenkuasa tersebut, yang digelar sebagai Super Hybrid System, menggabungkan enjin kitaran ‘Deep Miller’ 1.5-liter turbo empat silinder dengan 141 hp/215 Nm, dan sebuah motor elektrik yang menjana 204 PS/310 Nm.

Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS/525 Nm, yang disalurkan ke roda depan menerusi transmisi hibrid (Dedicated Hybrid Transmission atau DHT) kelajuan tunggal.

Luaran

Dari luar, J7 PHEV boleh dibezakan menerusi beberapa bahagian. Ini termasuk rim, di mana J7 PHEV didatangkan dengan rim aerodinamik 19 inci yang dibalut rim Kumho.

Selain itu, model yang baru dilancarkan ini juga boleh dikenal pasti dengan rekaan cermin sisi yang lebih aerodinamik (dengan kemasan berwarna perak), bampar belakang ala Range Rover, lencana ‘PHEV’ pada tailgate dan port pengecas pada bahagian kanan.

Dalaman

Masuk ke bahagian dalam, benda pertama yang anda akan perasan adalah J7 PHEV mempunyai konsol tengah yang lebih kemas dan ringkas. Ini kerana tuil gear konvensional yang dilihat pada J7 telah dikeluarkan dan digantikan dengan tuil gear jenis column shifter.

Talam pengecas tanpa wayar dikekalkan namun tombol pemilih mod pemanduan dibuang manakala pemegang cawan kini diletakkan secara melintang bagi memberi ruang kepada barisan butang kawalan untuk sistem hibrid. Selain itu, J7 PHEV juga tampil dengan rekaan panel pintu yang lebih kemas dan sofistikated berbanding J7.

Kelengkapan

Sistem infohibur untuk kedua-dua J7 PHEV dan J7 sama sahaja, merangkumi panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sentuh 14.8 inci dengan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, paparan head-up dan sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.

Ruang but

Walaupun didatangkan dengan bateri yang diletakkan di bawah lantai but, J7 PHEV mempunyai ruang but yang lebih besar berbanding J7 iaitu 500 liter. Cuma, ia tidak mempunyai tayar simpanan – pelanggan sebaliknya mendapat kit pembaikan tayar.

Apa yang menarik, tonneau cover pada J7 PHEV boleh dijadikan sebagai skrin projektor, yang boleh dikuasakan oleh kenderaan menerusi fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Harga

Seperti yang dikatakan, J7 PHEV dijual pada harga RM158,800. J7 pula boleh didapati pada harga RM138,800 bagi varian 2WD dan RM148,800 bagi varian AWD.

J7 PHEV disertakan dengan waranti enjin tujuh tahun atau sehingga jarak 150,000 km dan waranti lapan tahun atau sehingga jarak 160,000 km bagi bateri, motor kuasa dan unit pengawal motor kuasa. Waranti lapan tahun menawarkan pertukaran 1 dengan 1 apabila keadaan hayat (SOH) bateri jatuh di bawah 70% dalam tempoh jaminan.

Jaecoo Malaysia jual 7,041 unit J7 dalam tempoh lima bulan

Jaecoo Malaysia mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 7,041 unit Jaecoo J7 dalam tempoh lima bulan pertama selepas ia dilancarkan pada Julai tahun lalu.

Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek, berkata, “Kami menghargai kepercayaan yang dipamerkan oleh pelanggan kami terhadap jenama Jaecoo dan kami terus bertekad untuk menunaikan janji jenama kami dengan membawakan kenderaan yang terbaik dalam kelasnya dan pengalaman pemilikan premium.”

Berikutan kejayaan model J7 dan C9 pada 2024, Jaecoo Malaysia berhasrat untuk memperkenalkan lebih banyak model baru di 2025 sejajar dengan misinya untuk menyediakan rangkaian kenderaan mewah yang mampu dimiliki dalam pasaran automotif.

Usaha syarikat itu akan akan dimulakan dengan pelancaran J7 PHEV pada Februari 2025. Sebagai persiapan untuk pelancarannya, SUV itu akan memulakan cabaran pemanduan jarak jauh merentasi tiga negara iaitu Singapura, Malaysia dan Thailand dengan satu tangki minyak penuh dan sekali cas.

Dalam pada itu, bagi menghargai pencapaian rangkaian pengedarnya, Jaecoo telah mengiktiraf 12 pengedar cemerlang di majlis anugerah pengedar pertamanya.

Dalam majlis tersebut, Auto Galaksi yang berpangkalan di Johor telah membawa pulang piala hasil daripada pencapaian jualan tertinggi dalam rangkaian.

Turut diiktiraf di majlis anugerah pengedar itu termasuk Gagner Auto, ES Premium Holdings, Luxury Legend, Siang Hin (KL), Apple Autotech, Kluster Automobile, Carshen, AAW Nexus, BH Premium Auto, Indah Utara Enterprise dan Tropical Impact Auto.

“Anugerah ini sesungguhnya mengiktiraf rangkaian pengedar kami yang memainkan peranan penting dalam pencapaian keseluruhan jenama JAECOO. Kami akan terus meluaskan rangkaian pengedar kami, selaras dengan cita-cita kami untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan,” kata Emily.

Dalam usaha mengenal pasti peluang pertumbuhan selanjutnya, Jaecoo akan meluaskan kaedah penilaiannya untuk mengambil kira skor Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) Terbaik dan Indeks Kepuasan Jualan (SSI) antara lain pada tahun yang mendatang.

500 unit pertama Jaecoo J7 diserah kepada pengedar

JAECOO Malaysia secara rasminya telah menyerahkan 500 unit Jaecoo J7 yang pertama kepada para wakil pengedar.

Syarikat itu berkata, ia telah bekerja keras sepanjang tempoh tujuh bulan lepas untuk memantapkan ekosistem dan rangkaian kendiri, dan akhirnya menjayakan pelancaran rasmi SUV itu pada pertengahan Julai lalu.

Tiga minggu selepas pelancaran, jenama kini memenuhi janjinya untuk menyerahkan kelompok pertama SUV J7 pada suku ketiga tahun ini, iaitu dalam tempoh masa yang dijadualkan.

“Kami amat teruja untuk menyerahkan 500 unit pertama SUV J7 kami dan sudah tentu seronok untuk memberi peluang kepada pelanggan memandu SUV kegunaan lasak premium terhangat di Malaysia,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.

500 unit J7 yang diserah kepada wakil pengedar merupakan varian pacuan semua roda (AWD). Manakala, kelompok J7 seterusnya yang akan diserahkan pada bulan September kelak akan terdiri daripada varian pacuan dua roda (2WD).

Jaecoo J7 dijual pada harga RM148,800 bagi varian AWD, dan RM138,800 bagi 2WD, meletakkannya sebagai pencabar utama dalam kategori SUV segmen C, iaitu sebagai sebuah jenama mewah yang mampu dimiliki.

“Tumpuan kami ialah untuk mengekalkan momentum kukuh bagi memenuhi pesanan yang dibuat untuk J7 pada bulan-bulan akan datang. Kami juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa rangkaian kami bersedia untuk membawakan pengalaman pelanggan premium yang berpegang kepada falsafah jenama “From Classic, Beyond Classic” Jaecoo, dari saat penyerahan kenderaan kepada perkhidmatan lepas jualan,” kata Naib Persiden JAECOO Malaysia, Emily Lek.

Kedua-dua varian Jaecoo J7 disediakan dengan waranti tujuh tahun/150,000 km, sebagai bukti keyakinan jenama tersebut terhadap inovasi dan kualitinya.

Para pelanggan disokong oleh rangkaian pengedar yang meliputi 35 lokasi di seluruh negara, sebuah kilang pengeluaran terkhusus dan gudang alat ganti tulen Jaecoo, untuk memastikan sokongan lepas jualan yang pantas dan lancar.

Jaecoo J7 akhirnya rasmi dilancar – 1.6 TGDI, 197hp, 2WD dan AWD, dari RM139k

KAMI rasa ramai yang berminat dan menantikan perasmian Jaecoo J7 kerana rupa bentuknya yang cukup premium dan harga anggaran menarik sekitar RM150k.

Berita baik, selepas beberapa siri pratonton, SUV ini dilancar secara rasmi pada hari ini, dengan harga dan varian seperti berikut:

Jaecoo J7 2WD: RM138,800
Jaecoo J7 AWD: RM148,800

Harga-harga ini sedikit lebih rendah berbanding harga anggaran, dan kesemua Jaecoo J7 hadir dengan jaminan 7-tahun/150,000km, dan jaminan enjin 1,000,000km!

Jaecoo J7 dilengkapi dengan enjin 1.6-liter TGDI, dengan output maksima 197hp dan 290Nm tork. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik 7-kelajuan dwi-klac dan mempunyai pilihan pacuan roda-depan dan semua-roda (AWD).

Ciri standard pada SUV lima tempat duduk ini terdiri dari lampu LED, rim ‘inspirasi Aurora’ dwi-tona 19-inci, paparan instrumen 10.25-inci, unit infotainmen 14.8-inci, tempat duduk dengan pemanas dan penyejuk, dan balutan kulit dalam kabin.

J7 juga dilengkapi dengan pengecas tanpa-wayar 50 watt, lampu ambien 64 warna, sistem penghawa dingin dwi-zon, bumbung panoramik, dan pintu but berkuasa.

Terdapat empat warna luaran untuk dipilih iaitu Moonlight Silver, Carbon Crystal Black, Khaki White dan Model Green.

Sebagai sebuah SUV, J7 mempunyai jarak kelegaan tanah 200mm dengan kemampuan meranduk air sedalam 600mm. Ia juga mampu menunda sehingga 1,300 kg dan rak bumbungnya boleh menampung sehingga 75 kg.

Menariknya, varian AWD Jaecoo J7 mendapat sistem All Road Drive Intelligent System yang terdiri dari tujuh mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport, Snow, Mud, Sand, dan Off-Road.

Untuk sistem keselamatan pula, terdapat Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Emergency Lane Keeping, Curve Speed Assistance, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Detection, Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, dan Parking Assistance.

Kami sudah memandu uji J7 ini di laluan off-road, boleh tonton video di bawah:

@engear.tv Bukan Land Rover tapi boleh perform setanding dengannya. #Jaecoo #J7 memang mantap👍🏽👍🏽 #engeartv #fyp #carsoftiktok ♬ Beast Mode – ROKKA
@engear.tv Berapa punya banyak daaa dia punya driving mode..Silap-silap boleh bawa #suv #Jaecoo J7 ni naik gunung #everest #engeartv #fyp #carsoftiktok ♬ FEEL THE GROOVE – Queens Road, Fabian Graetz

Jaecoo J7 – pendaftaran minat dibuka, harga anggaran dari RM150k

JAECOO Malaysia mengumumkan bahawa pendaftaran minat untuk Jaecoo J7 akan dibuka bermula 10 April 2024. Pendaftaran boleh dilakukan di siri jelajah Jaecoo Premier Experience di pusat beli-belah 1Utama (Tingkat LG, Highstreet) atau melalui laman web syarikat itu.

Menurut Jaecoo Malaysia, J7 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan roda hadapan (2WD) dengan harga anggaran RM150,000 dan pacuan semua roda (AWD) dengan harga anggaran RM160,000.

Terdapat empat warna luaran untuk dipilih iaitu Moonlight Silver, Carbon Crystal Black, Khaki White dan Model Green.

Kedua-dua varian menampilkan enjin 1.6-liter turbo petrol yang menghasilkan 197 PS dan 290 Nm, berserta transmisi dwi-klac tujuh kelajuan.

Sebagai sebuah SUV, J7 mempunyai jarak kelegaan tanah 200 mm dengan kemampuan meranduk air sedalam 600 mm. Ia juga mampu menunda sehingga 1,300 kg dan rak bumbungnya boleh menampung sehingga 75 kg.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen 14.8-inci, sistem pendingin hawa dwi-zon, dan bumbung panoramik.

Untuk sistem keselamatan pula, terdapat Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Emergency Lane Keeping, Curve Speed Assistance, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Detection, Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, dan Parking Assistance.

Tarikh pelancaran rasmi Jaecoo J7 masih belum diumumkan namun menurut Jaecoo Malaysia, penyerahan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Bukan itu sahaja, syarikat itu turut menyatakan bahawa pelanggan boleh mula memandu uji J7 bermula Mei depan.

Jaecoo J7, SUV premium uji kemampuan off-road di M4TREC

Baru-baru ini, Jaecoo J7 telah menguji kemampuan off-roadnya di M4TREC 4WD Training and Experience Centre. Menurut Jaecoo, SUV premium mereka itu mendapat pujian dari pihak M4TREC atas keupayannya melalui halangan off-road yang sukar.

Jaecoo J7 telah dipertontonkan baru-baru ini dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku kedua nanti.

M4TREC sering menjadi lokasi ujian bagi peminat dan penggiat pacuan empat-roda (4WD) negara ini. Dengan iklim Malaysia yang panas dan sering hujan, pastinya menjadi pelengkap kepada cabaran di M4TREC.

Jaecoo J7 dilengkapi dengan enjin 1.6-liter TGDI, dengan output maksima 197hp dan 290Nm tork. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik 7-kelajuan dwi-klac dan mempunyai pilihan pacuan roda-depan dan semua-roda (AWD).

Untuk memastikan penilaian yang menyeluruh terhadap J7, para pelatih pakar M4TREC telah menetapkan pelbagai halangan mencabar semasa ujian, termasuk ujian “roller ramp”, ujian artikulasi, lintasan bukit (ridge crossing), dan turunan cerun.

J7 menunjukkan kebolehannya mengatasi keadaan jalan yang sukar serta ketahanan impak, dengan mudah menakluk halangan yang pelbagai. Ini dibantu dengan sistem All Road Drive Intelligent System (ARDIS) yang mengawal agihan kuasa sepantas 0.1 saat.

“Keupayaan off-road J7 yang luar biasa telah mengejutkan kami, ditunjukkan melalui navigasinya yang lancar melalui medan yang kasar dan mencabar di M4TREC,” kata seorang instruktur bertauliah M4TREC.

Jaecoo J7 dipertonton di Malaysia – SUV segmen-C gaya premium, boleh cabar CR-V dan CX-5?

JAECOO Malaysia hari ini telah mempertontonkan SUV pertama taruhan mereka untuk Malaysia, iaitu Jaecoo J7. Untuk yang belum tahu, Jaecoo ialah jenama di bawah Chery, dan SUV ini merupakan model segmen-C yang diposisikan sebagai off-road premium.

Dari beberapa sudut dan aspek, Jaecoo J7 ini memang nampak lebih premium berbanding pesaing-pesaingnya seperti Mazda CX-5 dan Honda CR-V. Jaecoo J7 dijangka dilancarkan secara rasmi sekitar suku kedua 2024.

J7 dikuasakan oleh enjin 1.6-liter turbo petrol dengan output 197hp dan 290Nm tork, digandingkan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Terdapat dua pilihan varian iaitu model pacuan roda-depan dan pacuan semua-roda AWD.

Jaecoo J7 mempunyai jarak kelegaan tanah 200mm dengan kemampuan meranduk air sedalam 600mm. Ia juga mampu menunda sehingga 1,300kg dan rak bumbungnya boleh menampung sehingga 75kg.

Kelengkapan standard Jaecoo J7 termasuklah lampu LED berlapis, DRL LED, rim Aurora 19-inci, tempat duduk balutan kulit, lampu ambien 64 warna, tujuh mod pemanduan, dan pengecas tanpa-wayar 50W.

Ciri lain pula seperti paparan head-up display, kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen 14.8-inci, tempat duduk dengan rongga pendingin hawa, sistem pendingin hawa dwi-zon, dan bumbung panoramik.

Ciri keselamatan juga cukup padat, seperti Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Emergency Lane Keeping, Curve Speed Assistance, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Detection, Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, dan Parking Assistance.

Harga belum diumumkan, tetapi menurut Jaecoo, harga SUV ini akan berada sekitar Chery Tiggo 8 Pro yang berharga RM159,800. Mampukah ia menyaingi pemain-pemain sedia ada dalam pasaran di Malaysia?

Oh ya, Jaecoo J7 juga akan terus dipasang secara tempatan (CKD) dari awal. Menarik?

Dua unit Jaecoo J7 tiba di Malaysia! Pelancaran tidak lama lagi?

INI satu berita hangat, tuan-tuan dan puan-puan, kerana jenama Jaecoo telah tiba di Malaysia. Malah, dua unit Jaecoo J7 AWD kini berada di negara ini untuk ujian jalan raya dan piawaian.

Untuk yang belum tahu, Jaecoo ialah salah satu jenama di bawah payung Chery, seperti Omoda. Kami pun telah membuat sedikit laporan dan pengenalan mengenai Jaecoo semasa di China beberapa bulan lepas.

Jaecoo Malaysia kini giat menjalankan pratonton eksklusif kepada wakil pengedar sah dan pelabur berpotensi menjelang pembukaan bilik pameran. Ia bakal diperkenalkan ke pasaran Malaysia tahun depan.

Selain itu, laman rasmi Facebook Jaecoo Malaysia juga telah ditubuhkan, jadi anda boleh lawatinya untuk sebarang maklumat dan kemas kini dari jenama itu. Mungkin group dan forum Jaecoo juga akan tumbuh bagai cendawan tak lama lagi.

Laman web rasmi pula dijangka siap pada Januari 2024. Sementara itu, anda boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web global Jaecoo.

Jaecoo J7 ialah model segmen-C lima tempat duduk, dengan panjang 4,500mm. Ia akan berada dalam segmen yang sama dengan model seperti Mazda CX-5 dan Honda CR-V.

Tidak seperti unit yang kami lihat di Wuhu, China yang merupakan model pacuan roda-depan, unit yang tiba di Malaysia kedua-duanya adalah model AWD.

Belum ada perincian enjin, tetapi menurut laman web rasmi Jaecoo, model J7 AWD dikuasakan enjin 1.6-liter turbo dengan 194hp dan 290Nm tork, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan.

Prestasi 0-100km/j adalah dalam 8 saat, manakala kecekapan penggunaan bahan api adalah sekitar 7.48L/100km.

Ciri lain pada Jaecoo J7 termasuklah lampu LED, skrin infotainmen menegak 14.8-inci, bumbung panoramik, sistem audio Sony, 10 beg udara, dan fungsi ADAS Level 2.5+.

Apa pendapat anda mengenai Jaecoo J7 dan jenama ini secara amnya? Teruja untuk ia dilancarkan?