Tag Archives: j8

Temui Jaecoo J8 di pusat beli-belah 1Utama dari 27-30 Mac ini

Jaecoo Malaysia mengesahkan bahawa Jaecoo J8 akan membuat penampilan umum pertamanya di negara ini menerusi siri jelajah yang akan diadakan di pusat beli-belah 1Utama dari 27 hingga 30 Mac ini.

Walau bagaimanapun, bagi pihak media, ini bukanlah kali pertama kami dapat melihat SUV itu secara langsung. J8 sebenarnya pernah dipertontonkan di samping J7 pada Januari 2024 namun dalam versi pemanduan sebelah kiri.

Ketika itu, J8 dikatakan akan dilancarkan pada suku keempat tahun yang sama namun mungkin disebabkan kesibukan membuat persiapan untuk pelancaran Omoda C9, ia tidak berlaku.

Namun dengan pengumuman siri jelajah ini, kami boleh katakan dengan yakin yang J8 akan memasuki pasaran Malaysia secara rasmi dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.

Spesifikasi J8 untuk pasaran tempatan masih belum didedahkan namun apa yang kami tahu, J8 mempunyai dimensi lebih besar berbanding J7 dengan ukuran 4,820 mm panjang 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi, dan jarak roda 2,820 mm.

Di dalam, elemen-elemen yang diinspirasikan dari Mercedes-Benz GLE boleh dilihat pada corong pendingin hawa berbentuk segi empat dan paparan berkembar 12.3 inci yang terletak kemas di atas papan pemuka.

Di bawah hud J8 terdapat enjin petrol 2.0-liter turbo yang menjana 245 hp dan 385 Nm, disalurkan ke jalan oleh kotak gear dwi-klac tujuh kelajuan. Model ini boleh didapati dalam versi pacuan dua-roda atau semua-roda namun tidak pasti sama ada Jaecoo Malaysia akan menawarkan salah satu atau kedua-duanya sekali.

Harganya juga masih belum diketahui namun ada ura-ura mengatakan yang akan dijual pada harga sekitar RM200,000.

Beijing Motor Show 2024: Jaecoo tayang J8 PHEV, 605hp, 0-100 5.4 saat

JAECOO J8 telah dipertontonkan di Malaysia awal tahun ini, dan versi PHEV telah didedahkan di acara Auto China 2024 yang sedang berlangsung di Beijing.

Jaecoo J8 PHEV ini mendapat pakej powertrain 1.5-liter turbo petrol TGDi yang digabungkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

Bersama dengan dua motor elektrik (satu di depan, satu di belakang), SUV ini mempunyai output keseluruhan setinggi 605hp dan 915Nm tork, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 5.4 saat.

Menurut Jaecoo, SUV ini boleh dipandu dalam mod EV sehingga 175km, sementara jarak pemanduan sejauh 1,321km untuk setiap tangki dalam mod hybrid.

Tiada perincian mengenai spesifikasi bateri, tetapi menariknya, ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC, malah mempunyai fungsi V2L, sama seperti Omoda E5 dan J7 PHEV.

Untuk perbandingan, Jaecoo J8 PHEV ini boleh dikatakan mirip Mazda CX-8 dari segi saiznya. Ia berukuran 4,820mm panjang, 1,930mm lebar, 1,699mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 2,820mm.

 

Jaecoo J8 yang dipertontonkan di Malaysia tempoh hari adalah versi lima tempat duduk, tetapi unit yang kami lihat di Auto China 2024 adalah dengan konfigurasi tiga baris, enam tempat duduk.

Ciri lain pada J8 PHEV ini termasuklah lampu LED, rim 20-inci, dua paparan 12.3-inci untuk panel instrumen dan infotainmen, penghawa dingin dwi-zon, dan paparan head-up display.

Jaecoo J8 versi petrol dijangka dilancarkan di Malaysia hujung tahun ini dengan harga anggaran sekitar RM200k. Kami jangkakan J8 PHEV bakal menyusul sekitar suku pertama 2025.

Jaecoo J8 buat kemunculan di Malaysia! SUV premium dengan 245hp, konfigurasi 2 dan 3 baris tempat duduk

SELAIN dari mempertontonkan J7 untuk para media, Jaecoo Malaysia juga menggunakan peluang ini bagi mendedahkan Jaecoo J8, model yang lebih besar dan mewah dari jenama di bawah Chery ini.

Unit yang dipaparkan ini masih dengan stereng kiri, jadi spesifikasinya belum 100 peratus muktamad. Tetapi apa yang kita boleh tahu, ia akan dilancarkan tahun ini juga, mungkin suku keempat.

Saiz J8 lebih besar berbanding J7, dengan ukuran 4,820mm panjang 1,930mm lebar, 1,699mm tinggi, dan jarak roda 2,820mm.

Spesifikasi yang dapat dilihat pada unit ini adalah rim aloi 20-inci, lampu LED sepenuhnya, sistem audio Sony, bumbung kaca panoramik yang besar, dan pintu but berkuasa.

Menariknya, gaya dan rasa premium dalam kabin Jaecoo J8 ini mengingatkan kami terhadap jenama Jerman. Ini dapat dilihat pada jahitan tempat duduk kulit, rekaan konsol tengah, paparan 12.3-inci berkembar untuk infotainmen dan instrumen, dan lampu ambien.

Walaubagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang negatif. Ia satu pujian sebenarnya untuk Jaecoo kerana membawakan ciri premium pada harga yang lebih rendah. SUV ini juga boleh didapati dengan konfigurasi dua atau tiga baris tempat duduk.

Untuk sistem janaan kuasa, ia mendapat enjin 2.0-liter turbo petrol yang menjana 245hp dan 385Nm tork. Output disalurkan ke jalan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, dan pilihan pacuan dua-roda atau semua-roda.

Setakat ini, apa pendapat anda mengenai Jaecoo J8? Berapakah harga anggaran SUV ini sebaik dilancarkan nanti, lebih atau kurang dari RM200,000?