Tag Archives: jabatan alam sekitar

Petron Rinching sedia terima e-waste secara pandu lalu

Petron Malaysia baru-baru telah bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor untuk mewujudkan pusat pengumpulan sisa elektronik (e-waste) secara pandu lalu bagi menyemai tabiat pelupusan melalui kaedah betul di kalangan masyarakat.

Kempen terbaharu itu telah dirasmikan oleh YB Puan Jamaliah Jamaluddin selaku Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, serta turut dihadiri oleh Puan Nor Aziah Jaafar, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Puan Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia bertempat di stesen minyak Petron Rinching, Semenyih.

Menurut Shaliza Mohd Sidek, “Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar Selangor untuk meluaskan kemudahan dan pengumpulan e-waste di kalangan komuniti kami.

 

 

“Sejak 2021, kakitangan Petron Malaysia telah berjaya mengumpul sebanyak 4,500 kg e-waste menerusi pelbagai aktiviti operasi dalam syarikat. Kami berharap agar rangkaian stesen minyak kami boleh dijadikan sebagai tempat kutipan e-waste yang mudah untuk para pelanggan Petron.

YB Jamaliah Jamaluddin yang juga Adun Bandar Utama dalam ucapannya berkata, “Saya amat berbesar hati dan teruja kerana Petron telah menyahut cabaran untuk bersama-sama Kerajaan Negeri untuk menjayakan projek perintis ini.

“Saya berharap inisiatif ini dapat berjalan dengan lancar dan seterusnya dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga Selangor tentang tanggungjawab memelihara alam sekitar melalui pengurusan e-waste yang baik, sekaligus dijadikan sebagai satu gaya hidup dan budaya,” ujarnya lagi.

Puan Nor Aziah Jaafar dalam ucapannya menyebut, “menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), e-waste adalah aliran sisa pepejal yang paling pesat berkembang di seluruh dunia. Jika kita gagal mengitar semula e-waste secara bertanggungjawab, ia akan menjadi bahan pencemar yang amat teruk dan memberikan impak negatif kepada kesihatan orang ramai.

 

 

Penduduk berhampiran Semenyih boleh membawa barangan elektronik dan elektrik yang sudah rosak atau tidak lagi digunakan ke stesen minyak Petron Rinching.

Pihak Jabatan Alam Sekitar telah melantik satu syarikat pengumpulan e-waste yang berlesen untuk menukar e-waste dengan wang tunai, serta memastikan e-waste tersebut dilupus atau dikitar semula dengan kaedah yang betul.

Petron Malaysia turut menggalakkan semua kakitangannya mengambil bahagian dalam inisiatif pengumpulan e-waste secara aktif.

Satu ceramah kesedaran e-waste telah diberikan oleh wakil Jabatan Alam Sekitar Selangor, diikuti dengan pengumpulan e-waste oleh semua kakitangan Petron Malaysia bermula 30 Mei hingga 22 Jun 2024.

 

Op Rempit: Tiada brek belakang, JPJ Pulau Pinang sita 11 motosikal 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah mengeluarkan 197 saman terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan menerusi operasi khas Op Rempit yang dilaksanakan di Plaza Tol Sungai Dua dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Ahad. 

Menurut JPJ Pulau Pinang, operasi khas itu telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

Operasi yang bertujuan mencegah kegiatan lumba haram dan modifikasi haram itu turut menyaksikan sebanyak 11 motosikal telah disita. 

“JPJ Pulau Pinang mengeluarkan 197 notis saman dan menyita 11 motosikal. JSPT Bukit Aman mengeluarkan 34 saman dan lima kompaun manakala JAS pula 18 notis uji semula,” maklum JPJ Pulau Pinang berdasarkan hantaran di akaun rasmi di Facebook. 

Antara kesalahan dikesan termasuk penggunaan tayar sotong, ketiadaan brek belakang, tidak mempamer nombor plat dan mengubah suai ekzos. 

Dalam pada itu, kesalahan lain yang turut dikenal pasti termasuk menunggang tanpa lesen serta lesen kenderaan motor tamat tempoh.