Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, sebuah lagi jenama baharu sudah pun rasmi bertapak di pasaran tempatan, iaitu iCAUR.
Untuk makluman, iCAUR (atau iCAR di pasaran luar) telah ditubuhkan pada tahun 2023 dan merupakan sebuah sub-jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) di bawah naungan Chery.
Buat masa ini, iCAUR mempunyai dua buah model SUV berkuasa elektrik, iaitu iCAUR 03 dan iCAUR V23.
iCAUR 03 atau nama lainnya Jaecoo J6 di pasaran luar membawakan reka bentuk badan berkotak, dan boleh didapati dalam versi pacuan dua roda atau pacuan semua roda pintar (iWD).
Versi 2WD dipacu oleh motor elektrik gandar belakang menghasilkan 181 hp dan 220 Nm, digandingkan dengan pek bateri 65.7 kWh untuk jarak gerak sehingga 426 km.
Versi iWD pula menghamburkan kuasa 275 hp dan 385 Nm, dibantu dengan pek bateri 69.8 kWh untuk jarak gerak sejauh 418 km.
Pengecasan pantas DC 80 kW membolehkan bateri dicas 30-80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.
Terdapat enam mod pemanduan iROAD yang boleh dipilih mengikut kesesuaian keadaan pemanduan semasa.
Untuk ruang kabin disediakan skrin kluster instrumen 9.2 inci, skrin tengah 15.6 inci, sistem audio INFINITY dengan 12 pembesar suara, serta bantuan kamera 540 darjah.
Ciri bantuan pemandu termaju ADAS 2.5 turut disediakan merangkumi Bantuan Penukaran Lorong, Kawalan Jelajah Adaptif, serta Bantuan Kesesakan Lalu Lintas.
Tempahan untuk iCAUR 03 kini dibuka, dengan harga jualan anggaran dari RM145,000 untuk versi 2WD, dan RM155,000 untuk versi iWD.
Setiap pelanggan yang membuat tempahan di Malaysia Autoshow 2025 akan menerima model skala iCAUR 03 edisi terhad apabila menerima kenderaan masing-masing pada suku ketiga 2025.
iCAUR 03T