Tag Archives: Jaecoo J7 PHEV

Jaecoo J7 PHEV versi CKD mula dikeluarkan di Shah Alam

Jaecoo Malaysia mengumumkan bahawa unit pertama J7 PHEV pemasangan tempatan (CKD) telah pun mula keluar dari kilang pemasangannya di Shah Alam.

Menurut Jaecoo Malaysia, SUV itu akan dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan menjelang akhir bulan ini.

“Kami percaya Jaecoo J7 PHEV menepati selera pasaran tempatan untuk satu alternatif di antara segmen enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV) yang menawarkan yang terbaik dari dua teknologi itu menerusi Super Hybrid System atau SHS,” kata Emily Lek, Naib Presiden Jaecoo Malaysia.

“Memandangkan ekosistem EV Malaysia terus berkembang, Jaecoo berbesar hati menawarkan lebih ketenangan fikiran kepada pengguna yang ingin beralihi kepada mobiliti tenaga hibrid,” tambah Emily.

J7 PHEV dikuasakan oleh gabungan enjin 1.5-liter TGDI, transmisi hibrid DHT satu kelajuan dan bateri LFP Blade berkapasiti 18.3 kW yang memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS (255 kW) dan 525 Nm.

Bateri berkenaan menyokong pengecasan AC 6.6 kW yang boleh mengecas dari 30% hingga 80% dalam masa tiga jam dan pengecasan DC 40 kW yang memerlukan hanya 20 minit untuk pengecasan sama.

Sebagai alternatif, pemilik juga boleh menggunakan soket kediaman tiga pin 230 V yang mengambil masa kira-kira 8.5 jam untuk pengecasan penuh.

Baru-baru ini, J7 PHEV berjaya menempuhi perjalanan jarak jauh dari Singapura ke Hatyai, Thailand, melalui Malaysia dengan satu tangki minyak dan cas, dan mencatatkan jarak WLTP melebihi 1,200 km.

Jaecoo J7 PHEV 2025, 342 hp/525 Nm, harga anggaran RM170k, pelancaran rasmi tahun ini

Jaecoo Malaysia hari ini memulakan sesi pra-tonton model SUV baharu J7 PHEV yang bakal dilancarkan pada tahun ini, bertempat di Sunway Pyramid.

SUV plug-in hybrid itu bakal dijual pada harga anggaran sekitar RM170,000 untuk versi 2WD.

Tidak seperti J7 standard yang hadir dengan enjin 1.6 liter turbo, J7 PHEV dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid generasi kelima, terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo (141 hp/215 Nm), motor elektrik (201 hp/310 Nm) dan pek bateri 18.3 kWh.

Secara keseluruhan, J7 PHEV ini mampu menjana kuasa setinggi 342 hp dan daya kilas 525 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 8.5 saat dan kadar penggunaan bahan api serendah 4.9 liter/100 km.

Menurut Jaecoo, J7 PHEV mampu bergerak dalam mod sifar emisi sejauh 106 km, dengan jarak keseluruhan mencecah 1,300 km untuk satu tangki minyak penuh.

Versi 2WD didatangkan dengan tiga mod pemanduan, iaitu Economy, Standard dan Sports.

Dari segi luaran, rekaan J7 PHEV tidak menampilkan perubahan yang ketara melainkan rekaan rim aerodinamik bersaiz 19 inci (tayar 235/50 R19), serta port pengecasan bateri pada bahagian kanan.

Ia juga turut mengekalkan tetapan suspensi topang MacPherson di depan diikuti dengan multilink di belakang, dan ukuran dimensi yang sama seperti model J7 petrol.

Ruang kargo J7 PHEV juga kini bertambah besar menjadi 500 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,265 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Kelengkapan untuk ruang kabin J7 PHEV termasuklah skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur sebesar 14.8 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kawalan iklim dua zon.

Ciri keselamatan termaju yang dimuatkan termasuklah brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif, sistem pemantauan pemandu, bantuan pengekalan lorong kecemasan, bantuan suluhan tinggi pintar, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan bantuan kesesakan trafik.

Terdapat tiga warna yang disediakan termasuklah hitam (Carbon Crystal Black), putih (Crystal White) dan perak (Moonlight Silver) yang datang dengan bumbung hitam.

Jaecoo J7 PHEV berjaya buktikan pemanduan 1,300 km untuk satu tangki penuh

Kontinjen Malaysia serta enam negara lain telah berjaya membuktikan model SUV Jaecoo J7 PHEV mampu mengembara sejauh lebih 1,300 km dengan satu tangki minyak dan bateri penuh dalam acara marathon dari Guangzhou ke Wuhu, China minggu lalu.

Perjalanan selama 13 jam yang bermula pada 16 Oktober itu menyaksikan Jaecoo J7 PHEV mencatatkan jarak gerak sifar emisi sejauh 125.2 km, atau 19.2 km lebih jauh berbanding jarak rasmi.

Mengikut spesifikasi, Jaecoo J7 PHEV dikuasakan enjin 1.5 liter TGDi dengan motor elektrik, transmisi DHT (Dedicated Hybrid Transmission), dan pek bateri 18.3 kWh, menawarkan jarak gerak elektrik sejauh 106 km, selain kadar penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya, sekitar 5.99 liter untuk setiap 100 km.

Menurut Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek berkata, “kejayaan ini membuktikan kehebatan teknologi Sistem Hibrid Super (SHS) Jaecoo yang menawarkan pemanduan yang cekap dan jimat tenaga, serta menetapkan tanda aras baharu bagi pengangkutan cekap tenaga.

Untuk pasaran tempatan, Jaecoo J7 PHEV ditawarkan dalam dua varian, iaitu 2WD dan AWD.

Varian 2WD datang dengan pilihan mod pemanduan Standard, Sport, dan Economy manakala versi AWD pula menambah mod Sand, Mud, Snow dan Off-Road.

SUV plug-in hybrid ini bakal dilancarkan menjelang akhir tahun ini, dan pengedaran dijangka bermula pada Februari 2025.