Tag Archives: JCW

Rangkaian MINI JCW diperbaharui di Malaysia – JCW Cooper, JCW EV, JCW Aceman EV, dari RM219k

MINI Malaysia menggunakan acara Malaysia Autoshow 2025 untuk memperkenalkan rangkaian John Cooper Works (JCW) terbaharu mereka untuk pasaran negara ini.

Model-model yang diperkenalkan merangkumi model janaan enjin petrol iaitu MINI JCW serta janaan elektrik sepenuhnya (EV) iaitu MINI JCW EV dan MINI JCW Aceman EV.

MINI John Cooper Works – RM318,888

Ini merupakan model ikonik yang menggunakan resipi klasik; hatchback 3-pintu, pacuan roda-depan, prestasi tinggi, dan gaya sporti menyerlah.

Penampilan: Gril high-gloss Black, warna Chili Red untuk bumbung, perumah cermin sisi, brek, spoiler, skirt sisi, rim JCW Lap Spoke 18-inci
Kokpit: Tempat duduk sports, jahitan merah, paddle-shifters
Janaan kuasa: Enjin 2.0-liter 4-silinder petrol dengan 231hp dan 380Nm, transmisi automatik 7-kelajuan
Prestasi: 0-100 6.1 saat, kelajuan maksima 250km/j
Teknologi: MINI Navigation AR, pengecas tanpa-wayar, sistem audio Harman Kardon, suspensi adaptif, Remote Engine Start, MINI Navigation Extended, Driving Assistant Plus, Parking Assistant Plus

MINI JCW EV – RM218,888

Bagi mereka yang mahu gaya klasik MINI tetapi dengan sistem janaan kuasa generasi baharu, boleh lihatkan kepada JCW EV yang merupakan versi elektrik sepenuhnya.

Diperkenalkan buat pertama kali, MINI JCW EV merupakan gabungan gaya ikonik tetapi padat dengan teknologi terkini.

Penampilan: Gril high-gloss Black, lip depan khas, warna Chili Red untuk bumbung, perumah cermin sisi, brek, spoiler, skirt sisi, rim JCW Lap Spoke 18-inci
Kokpit: Tempat duduk Active Seat, lampu ambien, kemasan kulit dengan jahitan merah
Janaan kuasa: Motor elektrik 258hp dan 350Nm, pek bateri 54.2kWh, jarak pemanduan 371km
Prestasi: 0-100 5.9 saat, kelajuan maksima 200km/j
Pengecasan: 30 minit 10 hingga 80 peratus (DC), 5 jam 15 minit 0 hingga 100 peratus (AC)
Teknologi: MINI Navigation AR, pengecas tanpa-wayar, sistem audio Harman Kardon, Remote 3D View, MINI Connected Package, Driving Assistant Plus, Parking Assistant Plus

MINI JCW Aceman EV – RM233,888

Satu lagi model JCW elektrik sepenuhnya ialah Aceman, iaitu model dengan gaya SUV tetapi cukup bergaya. LIhat sahaja pada gerbang rodanya yang bersegi, tampak begitu segar dan trendy.

Penampilan: Gril high-gloss Black, lip depan khas, warna Chili Red untuk bumbung, perumah cermin sisi, brek, spoiler, skirt sisi, rim JCW Lap Spoke 19-inci, rel bumbung
Kokpit: Tempat duduk JCW, kemasan kulit dengan jahitan merah, lampu ambien, bumbung panoramik
Janaan kuasa: Motor elektrik 258hp dan 350Nm, pek bateri 54.2kWh, jarak pemanduan 355km
Prestasi: 0-100 6.4 saat, kelajuan maksima 200km/j
Pengecasan: 30 minit 10 hingga 80 peratus (DC), 5 jam 15 minit 0 hingga 100 peratus (AC)
Teknologi: MINI Navigation AR, pengecas tanpa-wayar, sistem audio Harman Kardon, Remote 3D View, MINI Connected Package, Driving Assistant Plus, Parking Assistant Plus
Kesemua model MINI John Cooper Works ini hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Legend Grey, Nanuq White, dan Midnight Black.

Anda boleh lihat dengan lebih dekat kesemua model prestasi tinggi serta model-model BMW lain di acara Malaysia Autoshow 2025 yang akan dibuka untuk orang awam dari 9 hingga 15 Mei.

MINI lancar empat model sekeluarga – Cooper SE, Cooper S, Countryman SE ALL4, JCW Countryman ALL4

MINI hari ini memperkenalkan bukan satu atau dua, tetapi empat model generasi baharu untuk pasaran Malaysia. Namanya masing-masing hampir sama, jadi mari kita lihatkan fakta ringkas untuk setiap model.

MINI Cooper SE

Ini ialah MINI Cooper elektrik sepenuhnya (EV). Ia hadir dengan bateri 54.2kWh yang mampu memberikan sehingga 402km jarak pemanduan.

Motor elektrik padanya membekalkan output sebanyak 218hp dan 330Nm, cukup untuk memecut hatchback ini dari pegun ke 100km/j dalam hanya 6.7 saat.

Antara ciri utama pada MINI Cooper SE adalah gril depan oktagon, rim 18-inci Night Flash, stereng dengan kemasan tekstil 3D, paparan OLED bulat 240mm dengan bar tombol suis ikonik, MINI Experience Modes, Go-Kart Mode, Driving Assistant, dan Parking Assistant Plus.

MINI Cooper SE berharga RM193,888 dan hadir dengan pilihan warna Blazing Blue, Nanuq White, Chili Red II, Legend Grey, Sunny Side Yellow, Midnight Black II, British Racing Green, dan Melting Silver.

MINI Cooper S

Seperti pada namanya, ini ialah model MINI Cooper paling asas, iaitu hatchback kompak dengan enjin petrol. Boleh dikatakan ini juga model paling ikonik, tetapi generasi baharu ini telah diperbaharui dari segala aspek.

Nadinya ialah enjin 2.0-liter turbo dengan 204hp dan 300Nm tork, dengan padanan kotak gear 7DCT dwi-klac. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa 6.6 saat, dan kelajuan maksima pada 242km/j.

Ciri standard yang anda harus ketahui pada Cooper S terdiri dari gril oktagon klasik, lampu LED adaptif, lampu signature boleh-ubah dengan tiga mod, dan rim 18-inci Slide Spoke.

Suspensi juga ditala untuk pemanduan lincah. Ini merangkumi penyerap hentak khas, penstabil muatan tinggi, dan stereng Servotronic.

Ciri lain adalah paparan OLED 240mm, stereng Classic, Head-Up Display, Comfort Package Plus, MINI Experience Modes, MINI Maps Package, dan MINI Intelligent Personal Assistant.

Harga ialah RM279,888 dan hadir dengan pilihan warna Ocean Wave Green, Legend Grey, Nanuq White dan Chili Red.

MINI Countryman SE ALL4

Model seterusnya ialah SUV EV, iaitu MINI Countryman SE ALL4. Ia mempunyai bateri berkapasiti 66.5kWh yang memberikan output 313hp dan 494Nm tork untuk motor elektriknya.

Pecutan ke 100km/j boleh dibuat dalam 5.6 saat, terima kasih kepada sistem pacuan semua-roda ALL4, sementara kelajuan maksima ialah 180km/j.

Ciri utama pada Countryman SE adalah lampu LED adaptif, kelegaan tanah tambahan sebanyak 6cm, Favoured Trim dengan kemasan unik luaran, rim 20-inci Windmill Spoke, kemasan fabrik kitar semula dalam kabin, tempat duduk JCW, paparan OLED 240mm, MINI Maps Package, MINI Experience Modes, dan MINI Intelligent Personal Assistant.

Harganya ialah RM258,888 dan boleh didapati dengan warna Smokey Green, Legend Grey, Nanuq White, Melting Silver, Blazing Blue dan Chili Red.

MINI JCW Countryman ALL4

Akhir sekali ialah MINI JCW Countryman ALL4, iaitu model SUV petrol. Ia juga model dengan jiwa paling sporti kerana membawakan nama John Cooper Works (JCW).

MINI JCW Countryman ini dikuasakan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dengan 300hp dan 400Nm tork. Digandingkan dengan sistem pacuan ALL4, 100km/j boleh dicapai dalam 5.4 saat sahaja.

Ciri utama termasuklah lampu LED adaptif, bumbung dan cermin sisi merah, kemasan hitam dan merah pada beberapa bahagian badan, JCW Performance Brakes, rim 20-inci JCW Flag Spoke, kemasan tekstil pada panel pintu, stereng JCW, tempat duduk sports JCW, dan kemasan kelabu-merah.

Suspensi juga ditala khas untuk JCW dengan track lebih lebar, suspensi adapatif JCW, bar anti-oleng muatan tinggi, dan brek diintegrasi.

MINI JCW Countryman ALL4 boleh menjadi milik anda pada harga RM389,888 Ia juga hadir dengan warna Legend Grey, Nanuq White, Midnight Black dan Melting Silver.

MINI Cooper SE nampak lebih garang dengan pakej John Cooper Works

PEMBELI MINI Cooper SE generasi baharu yang ingin meningkatkan penampilan kereta mereka boleh mendapatkan pakej John Cooper Works (JCW), kata syarikat itu.

Walau bagaimanapun, pakej tersebut terhad kepada aspek penampilan sahaja, bermakna EV kecil molek itu kekal dengan motor elektrik yang menjana 208 PS dan 330 Nm seperti versi standard. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat.

Namun dengan adanya pakej JCW, sekurang-kurangnya ia nampak lebih garang di atas jalan raya. Perubahan bermula pada bahagian hadapan, di mana keliling gril dan logo kini dihiasi dengan trim hitam berkilat.

Model ini juga mempunyai signatur lampu individu yang berbeza dengan versi standard yang menampilkan dua jalur mendatar sebagai lampu nyalaan siang.

Selain itu, pakej ini merangkumi rim Lap Spoke dua tona berukuran 18 inci, angkup brek JCW berwarna merah, diffuser hadapan dan belakang, jalur bonet serta kemasan Chilli Red pada bumbung dan cermin sisi.

Ruang dalaman turut diberikan suasana lebih sporty menerusi tema hitam dan merah, kerusi JCW yang dibalut kulit sintetik dan sulaman pada bahagian bahu, serta corak 2d pada panel pintu dan papan pemuka.

Paparan OLED berbentuk bulat dengan ukuran 240 mm itu kini mempunyai mod Go-Kart yang akan menukarkan warna paparan dan pencahayaan ambien kepada warna merah. Menurut MINI, tindak balas pendikit turut dioptimumkan untuk pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

Di samping prestasi yang tidak berubah, jarak pandu model ini juga kekal iaitu 402 km (kitaran WLTP). Tenaga dibekalkan oleh pek bateri 54.2 kWj yang boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang 30 minit menerusi pengecasan pantas DC 95 kW.

MINI JCW Bulldog Racing Edition tampil dengan rim OZ, suspensi KW V3

MINI akan memperkenalkan model generasi baharunya tidak lama lagi namun sebelum itu, syarikat itu telah memperkenalkan satu lagi edisi khas bagi model generasi sedia ada ini.

Dikenali sebagai Bulldog Racing Edition, model ini meraikan kejayaan sebuah pasukan lumba persendirian dari Nurburg, Jerman iaitu Bulldog Racing. Pasukan tersebut berjaya mendapat tempat kedua dalam cabaran 24 Hours Nurburgring tahun ini untuk kelas kereta produksi dengan enjin turbo 1,600 hingga 2,000 cc.

Model Bulldog Racing Edition ini menggunakan model John Cooper Works tiga pintu sebagai asas. Ia mendapat pelbagai pengubahsuaian termasuk penggunaan sistem suspensi KW V3 yang telah ditala khusus di litar Nurburgring untuk pengendalian yang lebih mantap.

Sayangnya, enjin 2.0-liter turbo yang digunakan masih kekal dengan 231 hp dan 320 Nm namun sekurang-kurangnya bunyi yang dihasilkan lebih sedap terima kasih kepada sistem ekzos baharu keluaran Remus.

Seperti versi standard, kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan. Bercakap tentang roda, model ini didatangkan dengan rim OZ HyperGT berukuran 17 inci yang dibalut tayar Pirello P Zero dalam saiz 205/45 R17.

Selain rim berkenaan, ciri yang menjadikan model ini berbeza dengan versi standard adalah logo pasukan Bulldog Racing pada bahagian bumbung, sisi dan tailgate.

Di dalam, kerusi belakang telah dikeluarkan dan digantikan dengan strut untuk pengurangan berat. Selain itu, anda juga akan menemui plak dengan nombor siri pengeluaran di bawah tuil brek tangan dan pada papan pemuka.

Jumlah pengeluaran tidak diberitahu namun menurut Alexander Schabbach, pengarah urusan Bulldog Racing, setiap unit boleh dikustomkan mengikut citarasa pelanggan.

“Model khas kami menunjukkan pengubahsuaian yang boleh dilakukan pada kereta ini. Kami juga berbesar hati kerana dapat menawarkan perkhidmatan ini kepada pelanggan dengan MINI dari generasi semasa mulai 2014 dan seterusnya”, katanya.

MINI John Cooper Works 1to6 Edition – manual, 999 unit sahaja

JANGAN tak tahu, MINI adalah antara beberapa jenama yang mempunyai sejarah yang panjang dalam sukan permotoran. Sebagai tanda meraikan asal-usulnya, ia telah melancarkan model John Cooper Works 1to6 Edition yang terhad kepada 999 unit sahaja.

Nama ‘1to6’ dipilih bersempena dengan kotak gear manual enam kelajuan, yang merupakan satu-satunya pilihan transmisi yang ditawarkan untuk model ini.

Transmisi itu dipadankan dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang sama seperti pada model JCW biasa. Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 231 PS dan 320 Nm.

Dari segi penampilan, JCW 1to6 Edition boleh dibezakan menerusi beberapa elemen termasuk warna Midnight Black, jalur pada bahagian bonet, bumbung dan but, serta rim Circuit Spoke 18 inci berwarna Jet Black.

Sebagai pelengkap, terdapat logo ‘1to6’ eksklusif dalam warna perak, merah dan putih pada bahagian sisi dan tiang C bagi memastikan orang ramai tahu bahawa ini bukanlah calang-calang model.

Tidak cukup dengan itu, logo edisi ‘1to6’ juga ditampilkan pada bahagian ambang pintu, stereng, papan pemuka dan karpet. Malah, kunci pun dihiasi dengan logo yang sama. Akhir sekali, anda akan menemui tulisan ‘One of 999’ pada bahagian kiri stereng.

Menurut MINI, JCW 1to6 Edition akan membuat penampilan sulungnya di perlumbaan perlumbaan 24 Jam Nurburgring pada 20 Mei ini.

Model ini akan dijual bermula September tahun ini, namun ia hanya akan ditawarkan di Eropah, Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.