Tag Archives: jenayah

Ferrari 512M milik Gerhard Berger ini dijumpai semula selepas dicuri 28 tahun lepas!

LONDON Metropolitan Police baru menyelesaikan satu kes kecurian lama. Unit Organised Vehicle Crime menjumpai sebuah Ferrari 512M yang dicuri dari seorang pemandu Formula Satu, Gerhard Berger kira-kira 28 tahun lalu di Grand Prix San Marino 1995 di Imola.

Pencuri itu telah melarikan 512M milik Berger di lot parkir hotel semasa hujung minggu perlumbaan. Turut dicuri pada masa yang sama ialah kereta rakan sepasukan Berger, Jean Alesi iaitu sebuah Ferrari 355.

Polis London menjumpai 512M Berger itu dengan bantuan Ferrari. Pengeluar itu melaporkan kepada pihak polis bahawa mereka telah memeriksa kereta itu bagi pihak pelanggan Amerika yang membelinya dari seorang broker di UK.

Menurut siasatan polis, kereta itu dibawa ke Jepun selepas ia dicuri. Ia kembali ke UK pada penghujung 2023 sebelum pihak polis merampasnya bagi mengelakkan ia keluar dari negara itu.

Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut, belum ada sebarang penahanan dibuat. Sayangnya, F355 milik Alesi masih belum dijumpai.

Walaupun kereta mereka dicuri, Berger dan Alesi tetap cemerlang di Grand Prix San Marino 1995. Alesi menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Berger di tempat ketiga.

Ferrari 512M ialah evolusi terakhir Testarossa yang popular pada tahun 1980an. Berbanding versi-versi awal, 512M mendapat lampu depan biasa dan bukannya jenis pop-up.

Ia dipacu enjin 4.9-liter flat-12 yang dinaik taraf, menghasilkan 434hp dan 500Nm tork. Hanya 501 unit Ferrari 512M pernah dihasilkan.

Polis Turkiye jadikan kereta pengedar dadah sebagai kereta peronda

PERNAHKAH anda tertanya-tanya apa yang pihak berkuasa lakukan kepada kereta-kereta yang dirampas daripada penjenayah?

Kebiasaannya, kereta-kereta yang disita akan dilupuskan atau dilelong kepada orang awam. Bagaimanapun, pasukan polis Turkiye melihat ini sebagai satu peluang untuk meluaskan lagi flit kereta peronda mereka secara percuma.

Dalam satu hantaran di laman X, Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya berkata hasil daripada operasi yang dijalankan oleh Jabatan Polis Istanbul, sebanyak 23 buah kenderaan mewah pelbagai jenis telah berjaya dirampas.

“Berikutan keputusan pihak mahkamah, semua kenderaan ini telah diserahkan kepada polis kita,” katanya.

Kenderaan-kenderaan yang dirampas itu terdiri daripada pelbagai jenis dan jenama seperti Ferrari 458, Bentley Continental GT, Porsche Taycan, Range Rover Sport dan Mercedes-Benz GLS. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah US$3.5 juta (RM16.2 juta).

Menurut laporan, kesemua kereta mewah tersebut adalah milik Hakan Ayik, seorang pengedar dadah yang juga merupakan ketua geng motosikal Comanchero yang berpangkalan di Australia.

Ayik, yang dikatakan mempunyai kekayaan mencecah US$1 bilion (RM4.6 bilion), telah ditahan di Istanbul bulan lalu bersama 36 rakan subahatnya.

Pencuri ini terbalikkan helikopter Bell 429, gagal curi, terus larikan diri

SEORANG pencuri telah merosakkan sebuah helikopter di Sacramento Executive Airport, California, Amerika Syarikat (AS).

Helikopter jenis Bell 429 itu telah terbalik ke sisi dan rosak teruk selepas pencuri dikatakan cuba meghidupkan enjinnya. Pencuri itu dilaporkan memecah masuk ke kawasan persendirian itu antara jam 4:00 hingga 6:00 pagi.

Menurut polis Sacramento, pencuri itu sebelumnya telah cuba menghidupkan enjin beberapa helikopter lain sebelum berjaya melakukannya pada Bell 429 itu. Tiada kecederaan dilaporkan dan pencuri itu telah melarikan diri.

Pihak FBI (Federal Bureau Investigation) kini sedang menyiasat insiden itu. Agen khas, Sean Reagan berkata beberapa bahan bukti, maklumat saksi, dan video kamera CCTV dikumpulkan, dan menjurus kepada seorang individu.

Walaubagaimanapun, Reagan tidak mendedahkan sama ada individu itu berkaitan dengan lapangan terbang Sacramento atau helikopter itu, yang dimiliki oleh Capitol Helicopters.

FBI juga sedang menyiasat mengapa seseorang mahu mencuri sebuah helikopter dan meneliti beberapa motif.

“Sama ada seseorang mahu mencuri pesawat untuk terbang suka-suka, untuk melakukan aktiviti jenayah lain, atau merosakkan harta benda, keganasan pula mungkin menjadi motif terpencil,” kata Reagan.

Jurugambar KCRA 3, Mike Domalaog melihat helikoter itu tumbang ke sisi dan kelihatan rosak sepenuhnya. Ekornya retak manakala rotornya hancur. Sisa-sisa juga bertaburan hingga beberapa ratus ela di atas tar.

Polis: Elak terpedaya dengan sindiket tambah nilai Touch ‘n Go palsu

POLIS menggesa orang ramai tidak terpedaya serta terlibat dengan aktiviti tambah nilai tidak sah ke atas kad Touch ‘n Go atau sebarang kad mata ganjaran.

Individu mempunyai sebarang maklumat seperti kegiatan itu juga diminta segera melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur berkata, aduan boleh dibuat menerusi panggilan telefon atau terus ke balai polis berdekatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kegiatan seperti ini hendaklah melaporkan kepada pihak polis melalui Hotline Polis Kuala Lumpur,” kata ACP Mohd Mahidisham Ishak.

Aduan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-2146 0584/0585 atau CID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599.

Pengadu juga boleh menghantar aduan menerusi Whatsapp CID Infoline di talian 013-2111 222.

Semalam, lima individu ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket tambah nilai kad Touch ‘n Go dan kad mata ganjaran tidak sah di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.

Dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua wanita warga asing ditahan di sebuah kondominium kira-kira jam 4 petang.

Antara barangan dirampas termasuk lapan unit telefon bimbit serta lebih 1,400 keping kad Touch ‘n Go.

Selain itu, polis turut merampas 5,200 kad mata ganjaran pelbagai nombor siri berserta 35 ikatan resit kad ganjaran pelbagai nombor siri.

Lima jenayah, kemalangan sempat dirakam lensa CCTV

PEMASANGAN kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi awam tidak dinafikan banyak membantu pihak berkuasa menangani kes jenayah atau kemalangan.

Ini kerana di mana-mana lokasi, kegiatan jenayah dan kemalangan tidak pernah mengenal mangsa.

Artikel ini kami kongsikan beberapa kejadian jenayah serta kemalangan jalan raya yang pernah berlaku seantero dunia.

Sepuluh individu dilanggar kereta kerana dendam (Dalian – 2021)

Seorang pemandu ditahan polis selepas bertindak melanggar beberapa orang awam di Dalian, China.

Insiden menyebabkan lima mangsa maut di timur laut China, sementara lima lagi cedera parah.

Menurut siasatan polis, kejadian berpunca daripada dendam selepas suspek dipercayai gagal dalam pelaburan.

*Video mengandungi aksi kurang sesuai ditonton oleh sebilangan individu. Tontonan atas budi bicara masing-masing.

Serangan bom kereta (Kashmir – 2019)

Krisis politik antara dua negara, India dan Pakistan menyaksikan beberapa siri serangan berlaku melibatkan puak pelampau.

Satu serangan bom kereta oleh puak pemisah menggunakan bom diletakkan dalam sebuah kereta mengorbankan 44 nyawa.

Kumpulan pelampau Jaish-e-Mohammad (JeM) mengakui bertanggungjawab atas serangan dilancarkan.

Wanita langgar bapa mertua (Leicester – 2018)

Seorang wanita dipenjara setahun enam bulan selepas melanggar bapa mertuanya secara tidak sengaja.

Lesen memandu Begun Abedin juga digantung selama dua tahun sembilan bulan.

Menurut fakta kes, Abedin pada mulanya melarikan diri selepas melanggar seorang lelaki.

Tanpa mengetahui lelaki yang dilanggar merupakan bapa mertuanya, Abedin bertindak melarikan diri.

Mujur rakaman CCTV berjaya merakam kejadian dan akhirnya Abedin ditahan.

Setakat ini, EnGear belum pasti adakah masih wujud kemesraan Abedin dengan keluarga mertuanya.

‘Tarik’ mesin ATM guna kereta (Kuala Krai – 2016)

Umpama filem ala Hollywood, dua penyangak cuba merompak mesin pengeluaran wang (ATM) sebuah bank di Kuala Krai , Kelantan.

Menerusi rakaman CCTV, kedua-dua suspek kelihatan cuba menarik mesin ATM menggunakan sebuah kereta jenis Honda.

Lengkap bertopeng dan bersarung tangan, mereka bagaimanapun gagal melarikan mesin ATM berkenaan.

Malah, aksi ‘pandir’ kedua-duanya jadi bahan ketawa di media sosial.

Anak taukeh Red Bull langgar penunggang motosikal (Bangkok – 2012)

Kelajuan mengujakan dan kadang kala menyesalkan.

Ya, benar! Mungkin itu dirasakan anak kepada taukeh Red Bull, Thailand selepas melanggar seorang penunggang motosikal sehingga maut.

Vorayuth Yoovidhya didakwa melanggar mangsa yang merupakan seorang anggota polis ketika memandu sebuah kereta Ferrari.

Kes ini agak ‘panas’ di Thailand pada suatu ketika selepas si ‘kayangan’ ini bebas daripada tuduhan menyebabkan kemalangan maut.

Vorayuth Yoovidhya atau dikenali sebagai "boss" dikritik kerana terlepas daripada dakwaan menyebabkan kemalangan maut.

Tidak dinafikan ada banyak lagi kes jenayah atau kemalangan sempat dirakam CCTV yang tidak dapat kami senaraikan kesemuanya.

Penyenaraian kes di atas juga tidak mempunyai sebarang niat peribadi dan hanya sekadar untuk bacaan umum.

Jika anda punya sebarang ‘kisah’ di sebalik lensa CCTV, sila kongsi di platform media sosial kami.

Akhir kata, moga kita semua dijauhi daripada jenayah!