Tag Archives: jentera lumba

Maserati MCXtrema jentera litar ekstrem, 62 unit sahaja, harga 7 angka, habis terjual

Satu lagi jentera yang didedahkan dari Monterey Car Week 2023, kali ini Maserati MCXtrema. Ianya supercar untuk kegunaan litar sahaja, diasaskan dari MC20.

Tetapi MCXtrema mendapat pakej aerodinamik agresif yang menjadikannya nampak lebih ganas, berkepak, lebih ekstrem seperti namanya, dan enjin 3.0 V6 Nettuno yang ditala untuk menghasilkan 730hp.

Hanya 62 unit MCXtrema akan dihasilkan, hanya untuk kegunaan litar, dan tidak boleh dipandu di jalanan. Tetapi untuk pengumpul dan pelumba, MCXtrema akan menjadi model susulan sesuai selepas MC12 Corsa yang pernah dihasilkan awal 2000-an.

Dalam mengubah MC20 dari supercar kepada jentera litar agresif, ia dipasang dengan pakej aerodinamik merangkumi splitter depan gentian karbon yang rendah dan panjang.

Terdapat air curtain untuk mengalirkan udara ke sekeliling dan bawah kereta, manakala ruang udara berbentuk trident pada clamshell menambahkan downforce.

Di bahagian belakang, terdapat flying buttress di sekitar tiang-B menghala ke spoiler dan radiator enjin. Corong udara di bumbung pula bersambung dengan sirip jerung besar, direka untuk meningkatkan kestabilan kereta dan menyalurkan udara ke belakang.

Maserati berkata bahagian bawah MCXtrema hampir rata sepenuhnya untuk aerodinamik. Di kokpit, segala yang tidak diperlukan telah dibuang untuk mengurangkan berat dan membantu pemandu fokus kepada tugas di tangan.

Tiada papan pemuka, hanya struktur crossbeam untuk meletakkan command centre. Sterengnya mendapat paparan 5.0-inci, butang, dan tombol bulat, dibina dari karbon dan aluminium. Ini bukan sahaja untuk astetik, tetapi juga sesuai untuk ergonomik pemanduan litar.

Setiap unit akan dibina khas untuk setiap pelanggan, maka segala posisi stereng, kotak pedal, butang kawalan, serta tali pinggang 6-point dikonfigurasikan khas.

Pemandu boleh mendapat maklumat seperti kalibrasi traction control, catatan masa, pengehad kelajuan pit, dan sistem komunikasi melalui stereng dan command centre.

Nadi kepada jentera ekstrem ini ialah enjin 3.0-liter V6 yang menghasilkan 730hp pada 7,500rpm, dengan 730Nm tork. Enjin dipadankan dengan kotak gear sequential 6-kelajuan, menghantar kuasa ke roda belakang melalui LSD (limted-slip differential).

Suspensi adalah double-wishbone di kesemua empat roda, dengan geometri khas untuk MCXtrema. Ia juga dilengkapi penyerap hentak, spring, dan bar anti-oleng boleh-laras untuk membolehkan kereta ini mudah ditala untuk litar dan permukaan spesifik. Brek pula adalah dari gentian karbon.

Harga tidak didedahkan, tetapi Maserati berkata kesemua 62 unit telah terjual, dengan harga melebihi tujuh angka. Pengeluaran akan bermula pada pertengahan 2024, dan penghantaran menyusul selepas itu.

Honda sedang bina jentera CR-V hardcore – penuh gentian karbon, enjin V6, 800hp!

NAMPAKNYA masih wujud jurutera dengan idea gila, kami ingatkan semua sudah menuju ke arah elektrifikasi. Buktinya, Honda sedang membina CR-V dengan 800hp.

Ianya bukan sebuah CR-V yang anda boleh beli di bilik pameran, tetapi, ia masih 800hp! Apa yang sedang Honda buat ini? Perincian lanjut hanya akan didedahkan pada 28 Februari nanti.

Buat masa sekarang, apa yang boleh kami katakan ialah projek ini dipanggil Honda CR-V Hybrid Racer, direka dan dibina oleh para jurutera ‘gila’ di pusat Development and Auto Development serta North Americal Auto Design Division.

Melalui imej-imej yang diperlihatkan, jelas menunjukkan ini sebuah SUV yang ganas. Terdapat gentian karbon merata-rata – dapat kita lihat dari muka depan, dan separuh pintu (yang dibuka ke atas). Bahagian belakang tiada pintu, sebaliknya separuh badan dibuka dengan cara clamshell.

Tiada tempat duduk untuk anak-anak di dalam, tetapi bahagian ini menampakkan sebahagian enjin dan casis. Berkemungkinan jentera ini mengambil enjin V6 hybrid dari NSX, kerana video juga mendedahkan bunyi supercar itu.

Honda CR-V Hybrid Racer juga mendapat kit badan lebar dari gentian karbon yang mampu membuatkan Rocket Bunny cemburu. Kemudian terdapat spoiler gentian karbon ala Pikes Peak, tetapi memandangkan ini sebuah SUV, ia diberikan rel bumbung untuk nampak lebih ‘biasa’.

Kita juga dapat melihat skop, corong udara, corong NACA seperti 911 GT3 RS, dan sangkar guling di dalam serta roda stereng F1. Lain macam, memang tak pernah semua komponen sebegini diberikan pada CR-V.

Pengumuman dari Honda cuma mengatakan ianya “jentera litar dengan 800 horsepower hibrid”. Menarik. Kami tak sabar tunggu 28 Februari ini dan kongsikan berita penuh dengan anda nanti. Sementara itu, jamu mata dengan galeri dahulu.

Azlan pertahan namakan jentera lumba sempena kuda Nabi Muhammad

AZLAN Shah Kamaruzaman memberi sedikit kelainan apabila menamakan jentera lumbanya bersempena nama kuda Nabi Muhammad SAW.

Pelumba Kejuaraan Asia Road Racing (ARRC) itu memilih nama As’ Sakaf untuk jenteranya sebagai memperingati Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, tindakan Azlan mendapat reaksi pelbagai di media sosial termasuk ada yang mengecam pelumba itu.

Mempertahankan tindakannya itu, Azlan kemudian tampil menjelaskan kepada warga maya.

Jelasnya, tidak salah untuk menamakan jentera lumba itu bersempena nama kuda Nabi Muhammad.

Tambah Azlan, nama As’ Sakaf yang diberikan itu tidak menyalahi hukum Islam selain telah mendapat nasihat daripada agamawan.

“Saya sudah rujuk kepada Ustaz Syed Putra mengenai nama As’ Sakaf dekat motor saya.

“Letak As’ Sakaf, Subhah letaklah mana-mana. Hidup ini kita nak ada kaitan dengan Nabi (Muhammad).

“Semoga jawapan saya ini menjadi asbab seluruh alam kepada umat nabi mengingati Nabi Muhammad,” jelasnya yang memetik kata-kata daripada ustaz berkenaan.

Sebelum ini, Azlan mengumumkan nama jentera baharunya yang diberi nama As’ Sakaf.

Walaupun terdapat individu mempersoalkan mengenai perkara itu, masih ada yang memuji tindakan Azlan.

“Terbaik Lan, semoga dengan nama itu kau beroleh kejayaan,” kata Eonezad Ezad.

“Mantap bang, bukan semua orang tau pun nama kuda nabi As’ Sakaf. Ini satu info dan ilmu jugak untuk kami,” kata Amirul Aiman pula.