Tag Archives: jesko

Koenigsegg akan ganti Jesko yang hangus terbakar di Greece secara percuma

BULAN lepas, sebuah Koenigsegg Jesko hangus terbakar di Greece. Mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. Tetapi malangnya, kereta itu tidak dapat diselamatkan.

Pada Selasa lepas, pengeluar hypercar Sweden itu mengumumkan mereka telah mengenal pasti punca kebakaran itu, dan mereka akan menggantikan sebuah kereta baharu untuk pemilik itu secara percuma.

“Tangki bahan api, minyak enjin dan sistem kotak gear masih kekal dalam keadaan baik walaupun selepas api berjaya dipadamkan. Komponen ini tidak terkesan oleh kebakaran,” kata CEOnya, Christian von Koenigsegg dalam satu surat di Instagram.

“Walaubagaimanapun, terdapat kesan minyak hidraulik di belakang kereta atas jalan. Kami telah memeriksa sistem hidraulik berketekanan, iaitu satu-satunya sistem yang mempunyai cecair ini.

“Bila melihat kereta dengan lebih dekat kami juga menemui hos hidraulik berketekanan itu rosak atau bocor.

“Ini bersama dengan tumpahan minyak hidraulik di atas jalan menunjukkan ia menjadi punca kebakaran,” kata Christian.

Selepas kebakaran itu, Koenigsegg meminta semua pemilik Jesko untuk tidak memandu kenderaan mereka serta-merta.

Sebagai ganti, syarikat itu akan memeriksa saluran hidraulik untuk semua Jesko yang telah diserahkan dan yang dalam produksi.

Mereka juga akan mengeluarkan kemas kini perisian minggu depan yang akan menghentikan sistem hidraulik serta-merta sekiranya ia mengesan sebarang kebocoran.

Minggu yang sibuk untuk Koenigsegg. Baru-baru ini, mereka mengumumkan Jesko Absolut memecahkan rekod pecutan 0-400-0 km/j dan beberapa rekod lain.

Koenigsegg Jesko pecah empat rekod sekaligus, 0-400-0 km/j dalam 27.83 saat!

TAHUN lalu, Koenigsegg Regera mencatat rekod pecutan 0-400-0 km/j dalam masa 28.81 saat di sebuah landasan di Örebro, Sweden.

Beberapa hari yang lalu, di lokasi yang sama, rekod tersebut telah berjaya dipecahkan oleh satu lagi megacar keluaran Koenigsegg iaitu Jesko, dengan catatan masa 27.83 saat.

Apa yang lebih mengagumkan, Jesko itu turut memecahkan tiga lagi rekod dalam pecutan yang sama iaitu pecutan 0 hingga 400 km/j (18.82 saat), pecutan 0-250-0 bsj (28.27 saat) serta pecutan 0-250 bsj (19.20 saat).

Menurut Koenigsegg, jentera itu dipandu oleh pemandu ujinya iaitu Markus Lundh. Varian yang digunakan adalah Jesko Absolut yang mempunyai bahagian depan yang lebih kecil dan pengudaraan terhad untuk pembebasan udara bertekanan tinggi.

Model itu juga tidak dilengkapi dengan sebarang komponen aerodinamik aktif bagi mengurangkan seretan, sekali gus membantunya mencapai kelajuan yang tinggi.

Unit yang digunakan untuk pecutan itu juga berada dalam keadaan standard, menggunakan petrol E85 dan tayar Michelin Pilot Sport Cup2 R. Cuma, ia dipasang dengan roll cage dan kerusi dari One:1 atas permintaan Lundh.

Tidak perlu Jesko merupakan antara kereta paling berkuasa pernah dihasilkan. Ia digerakkan oleh enjin 5.0-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 1,600 dan 1,500 Nm jika menggunakan petrol E85.

Semua itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi sembulan kelajuan yang digelar sebagai Light Speed Transmission (LST).

Ia juga merupakan antara kereta paling aerodinamik dalam kelasnya, dengan kadar pekali seretan serendah Cd 0.278 sahaja.

Koenigsegg Jesko tampil dengan badan gentian karbon, trim emas 24 karat

KOENIGSEGG Jesko diperkenalkan pada 2019 sebagai pengganti kepada Agera. Megacar Sweden ini dinamakan sempena nama Jesko von Koenigsegg, bapa kepada pengasas dan CEO, Christian von Koenigsegg.

Menurut Koenigsegg, pengeluaran Jesko dihadkan kepada 125 unit sahaja. Dalam satu hantaran di Instagram baru-baru ini, syarikat itu telah mendedahkan unit terbaru yang dihasilkan.

Pemilik Jesko ini dikatakan mendapat inspirasinya daripada sebuah Agera RS ‘Pheonix’ yang dibina khas untuk mogul hartanah terkenal Amerika Syarikat iaitu Manny Khoshbin.

Seperti Pheonix, setiap panel badan Jesko ini diperbuat daripada gentian karbon diselaputi lapisan clear coat untuk efek berkilat, dengan trim emas 24 karat pada beberapa bahagian termasuk canard depan, lengan cermin sisi, bonet dan bampar depan, sirip skirt sisi dan endplate spoiler.

Bukan itu sahaja, logo Koenigsegg dan bumbung turut dihiasi dengan trim emas, menandakan ia bukanlah sebuah Jesko biasa-biasa.

Jentera ini merupakan varian Attack yang ditala khusus untuk prestasi di litar lumba, seperti yang boleh dilihat pada komponen-komponen aerodinamik yang ditambah untuk meningkatkan downforce termasuk splitter depan, serta diffuser dan spoiler yang lebih agresif.

Di samping Attack, Jesko juga boleh didapati dalam varian Absolut yang secara teorinya boleh mencapai kelajuan maksimum melebihi 480 km/j. Varian ini tidak mempunyai spoiler.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin twin turbo 5.0 liter V8 yang boleh menghasilkan kuasa mencecah 1,280 hp dengan petrol biasa atau 1,600 hp dengan bahan api E85.

Dengan transmisi multi clutch sembilan kelajuan yang memacu roda belakang, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam kurang 2.5 saat.

Koenigsegg CC850 ini ialah kereta manual terpantas dan paling berkuasa di dunia – 1,385hp

SEDAR-sedar sudah 20 tahun berlalu sejak Koenigsegg CC8 mula memasuki pasaran. Legasi ini diteruskan dengan Koenigsegg CC850, hypercar moden yang nampak mirip kereta asal yang dikeluarkan pada 2002.

Walaubagaimanapun, di bawahnya sangat berbeza, termasuk kotak gear manual 9-kelajuan. Sekejap, biar betul?! Ya, anda tak salah membaca.

Kami akan terangkan selepas ini. Apa pun, beberapa angka. Koenigsegg berkata enjin pada CC850 ini adalah unit 5.0-liter V8 twin-turbo dari Jesko, dan ia menjana 1,385hp dengan bahan api E85.

Dengan petrol biasa, kuasanya menurun sedikit kepada 1,185hp. Tork pula adalah 1,385Nm dan menariknya, berat hypercar ini juga 1,385kg.

Baik, untuk kotak gear tadi. Sama seperti enjin dari Jesko, kotak gear juga dari model ini, yang merupkan “Light Speed Transmission”.

Di dalam kabin, tombol gearnya menampilkan rekaan gated shifter tetapi sedikit berbeza dari Jesko yang merupakan transmisi automatik sequential. Bagi CC850, terdapat pedal klac, bermakna kotak gear ini perlu anda tukar sendiri.

Walaubagaimanapun, ianya bukan sistem manual tradisional. Koenigsegg memasang sistem lebih moden untuk manual ini.

Hasilnya, sebuah kereta yang Koenigsegg gelarkan sebagai – TWMPAFMPC. Fuh, apa maksudnya? The World’s Most Powerful And Fastest Manual Production Car.

Dalam mod manual, CC850 boleh dipandu seperti kereta biasa. Klac perlu ditekan untuk menukar gear, dan jika anda melepaskan klac terlalu laju seperti anda lakukan pada Perodua Axia semasa di sekolah memandu, enjinnya akan termati.

Hanya enam kelajuan dari sembilan gear boleh digunakan pada satu-satu masa, dan gearnya bergantung kepada mod pemanduan. Hanya mod tertentu yang akan membolehkan anda akses kepada semua sembilan gear.

Untuk prestasi, Koenigsegg belum bersedia untuk mendedahkan sebarang angka. Dengan kuasa sedikit rendah berbanding Jesko, ia bukanlah jentera yang akan memecahkan rekod kelajuan tertinggi dunia.

Tetapi dengan lebih dua kali ganda kuasa dari CC8S asal, ia tidaklah perlahan juga.

Hanya 50 unit Koenigsegg CC850 akan dibina, sempena ulang tahun ke-50 pengasas jenama Sweden itu, iaitu Christian von Koenigsegg.