Tag Archives: Jetour Auto

Jetour T2 dengan tiga konsep kit badan dipamerkan di Auto Shanghai 2025

Jetour T2 merupakan SUV saiz pertengahan yang membawakan binaan badan unibodi dan menawarkan ciri-ciri yang sesuai sebagai sebuah kenderaan off-road.

Dalam versi standard, Jetour T2 membawakan penggayaan SUV badan kotak yang mengingatkan kami pada rekaan SUV popular Land Rover Defender.

Elemen tersebut lebih menonjol dengan kehadiran pelbagai jenis aksesori yang boleh dipadankan, berdasarkan kehadiran beberapa varian kit badan yang dipamerkan di Auto Shanghai 2025.

Berhampiran dengan hotel Hilton Shanghai Hongqiao tempat para media menginap, Jetour mempamerkan T2 versi Stargazer yang lengkap dengan aksesori seperti:
– bampar depan lengkap dengan bar pelindung
– jeriji yang lebih agresif
– rim rekaan berlainan
– tempat pemijak sisi
– hud enjin yang lebih tinggi
– rak bumbung
– fender depan belakang lebih lebar
– tangga boleh lipat pada bahagian kiri
– kotak storan luaran di bahagian kanan
– kotak storan luaran pada pintu tailgate
– besi pelindung perumah lampu belakang

Pada majlis makan malam Persidangan Tahunan Perniagaan Antarabangsa Jetour, mereka mempamerkan dua lagi konsep aksesori, iaitu Stargazer Air dan Nexus Sentinel.

Tidak seperti Stargazer, pakej Stargazer Air tampil lebih ringkas tanpa kehadiran rak bumbung, kotak storan sisi dan tangga boleh lipat.

Pakej aksesori Nexis Sentinel pula membawakan imej futuristik dan moden, dengan fender depan belakang yang lebih lebar, rak bumbung aerodinamik, serta penutup tangki bahan api gaya cyberpunk.

Untuk makluman, pihak Jetour sebelum ini sudah mengesahkan perancangan untuk melancarkan model SUV Jetour T2 untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.

 

Jetour T2 Stargazer

 

Jetour T2 Stargazer Air

Jetour T2 Nexus Sentinel

Jetour T2 bertemakan belang citah dipamerkan di Auto Shanghai 2025

Tahukah anda, selain daripada menghasilkan barisan SUV off-road yang menarik dan mencuri tumpuan, Jetour juga turut terlibat dalam inisiatif pemuliharaan citah.

Citah atau cheetah merupakan haiwan darat yang paling pantas di dunia, berupaya mencapai kelajuan pergerakan sehingga 120 km/j.

Namun haiwan tersebut kini diambang kepupusan, dianggarkan kurang daripada 7,500 ekor yang masih wujud di atas muka bumi ini disebabkan oleh kehilangan habitat, konflik hidupan liar-manusia serta perdagangan haiwan liar secara haram.

Awal tahun 2024, Jetour menjalin kerjasama dengan Saluran Discovery dan melawat Namibia – lokasi tertumpunya spesies citah – untuk mempelajari usaha pemuliharaan citah.

Kesinambungan daripada kerjasama itu, Jetour menjalin hubungan strategik dengan Dana Pemuliharaan Citah (CCF) pada September 2024.

Antara inisiatif yang dilakukan termasuklah mendanai penjagaan tahunan dua ekor anak citah, selain menyumbang kenderaan rasmi untuk menambah baik habitat citah.

Jetour juga bekerjasama dengan Saluran Discovery untuk menghasilkan dokumentari berkenaan pemulihan citah selain mempromosikan inisiatif “Lindungi Citah” di seluruh dunia.

Kerjasama tersebut diabadikan dalam bentuk liveri unik pada model SUV Jetour T2 i-DM seperti yang dipamerkan di Persidangan Tahunan Perniagaan Antarabangsa Jetour 2025 yang bertempat di Shanghai, baru-baru ini.