Tag Archives: Jetour G700

Jetour pamer model prototaip trak pikap F700 secara rahsia di Shanghai

Bertempat di Auto Shanghai 2025, Jetour ada mempamerkan sebuah model konsep trak pikap saiz penuh F700 yang nampak futuristik.

Kenapa kami katakan ia futuristik?

Sebab F700 Concept ini menampilkan bukaan pintu stail ‘coach’ seperti yang wujud pada model mewah Rolls-Royce atau pintu jenis suicide dengan ketiadaan tiang B di tengah.

Tidak ramai yang tahu, Jetour sebenarnya ada mempamerkan model prototaip F700 yang lebih mirip kepada versi produksi sebenar di hotel Hilton Shanghai Hongqiao yang menjadi tempat penginapan media global.

Sayang sekali, kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar model trak pikap yang gagah perkasa itu, memandangkan semua alat perakam dan telefon pintar perlu ditinggalkan di luar kotak gergasi tersebut.

Apa yang kami boleh simpulkan ialah F700 merupakan G700 versi trak pikap dengan reka bentuk badan yang berkotak dan struktur muka depan yang hampir sama.

F700 juga berkongsi platform yang sama dengan SUV ladder-frame G700.

Berdasarkan kertas spesifikasi yang diletakkan bersebelahan model tersebut, F700 dijana dengan nadi hibrid 2.0 liter TGDI yang dipadankan dengan transmisi hibrid (DHT) dan dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar).

F700 ini turut dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 34.13 kWh.

Casis trak pikap ini disokong dengan suspensi jenis double-wishbone depan dan belakang serta sistem pacuan empat roda (4WD).

Dengan penambahan bed di bahagian belakang, F700 memiliki dimensi yang lebih panjang (5,495 mm) berbanding G700 (5.1 meter), dengan jarak antara roda 3,350 mm.

Setakat ini, model F700 masih lagi di dalam peringkat pembangunan, di mana versi produksi sebenar mungkin akan diperlihatkan kepada umum dalam masa terdekat.

Jetour G700

SUV off-road premium Jetour G700 muncul di Auto Shanghai 2025

Jetour era 3.0 bakal menyaksikan kemunculan beberapa buah SUV dengan dimensi yang lebih besar, dan sarat dengan bermacam jenis teknologi.

Salah satu daripadanya ialah SUV off-road premium Jetour G700, atau sebelum ini dikenali dengan nama Jetour T5 Concept.


G700 sememangnya sebuah SUV yang besar, dengan dimensi panjang mencapai 5.1 meter, dan jarak kelegaan tanah boleh dilaras serendah 150 mm hingga setinggi 350 mm.

SUV premium ini dikuasakan oleh sistem iDM-O Super Hybrid yang terdiri daripada enjin 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi hibrid (DHT) dua kelajuan.

Kuasa keseluruhan mencecah 760 hp dan 795 Nm.

Menurut satu laporan dari laman CarNewsChina, Jetour G700 juga turut ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa penambah jarak (EREV) digelar dengan nama CEM-O.

Varian EREV ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter yang menjadi penjana kuasa kepada bateri dan motor elektrik.

Unit rangkaian kuasa ini juga memadankan empat motor elektrik, dengan kuasa mencecah 1,572 hp, jauh lebih bertenaga berbanding SUV BYD Yangwang U8 (1,180 hp).

Dengan platform ladder-frame, G700 mampu menunda beban seberat 3.5 tan, selain memiliki keupayaan untuk menyelam air sedalam 900 mm, sistem stereng gandar belakang dan mod berjalan senget.

Sayang sekali, kami tidak berpeluang untuk melihat ruang kabin G700 ini dengan lebih terperinci.

Namun berdasarkan laporan media antarabangsa, G700 merupakan sebuah SUV yang menawarkan enam tempat duduk menerusi konfigurasi 2+2+2, selain mempunyai skrin infohibur yang besar dan sudut tempat duduk baris ketiga yang boleh dilaraskan.

Buat masa ini, pihak Jetour Malaysia belum mendedahkan perancangan untuk membawa masuk SUV ini untuk pasaran tempatan.