Tag Archives: Jetour X20e

Jetour X20e, calon EV mini sesuai untuk pasaran Malaysia?

Bertempat di Hotel Shanghai Hongqiao, muncul kelibat sebuah lagi SUV elektrik saiz kecil yang dikenali dengan nama X20e bersebelahan dengan SUV elektrik segmen B.

Rupa paras X20e sememangnya mengingatkan kami pada EV jenama smart, iaitu #1, terutama pada rekaan lampu depan dan belakang, dan yang paling ketara ialah kemasan pada kedua-dua tiang C.

Menariknya, X20e yang dipamerkan ini merupakan versi pemanduan sebelah kanan (RHD).

Adakah ini bermaksud Jetour sudah sedia untuk memasarkan model ini untuk negara-negara pemanduan sebelah kanan?

Disebabkan X20e merupakan model yang sangat baharu, tiada sebarang spesifikasi yang dapat kami tuliskan pada ketika ini, malah ia juga tidak wujud di mana-mana laman web rasmi Jetour.

Namun, berdasarkan model yang dipamerkan ini, X20e dilengkapi dengan rim kompang bersaiz 15 inci, warna hijau pastel, pemegang pintu tersorok serta rekaan bumbung terapung yang diinspirasikan daripada model smart #1.

Sementara ruang kabin pula diberikan dua skrin paparan berasingan untuk pemandu dan di bahagian tengah, butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa, kemasan papan pemuka warna tiga tona, serta tempat duduk balutan fabrik yang agak selesa.

Tidak banyak EV saiz kecil yang wujud di pasaran Malaysia pada ketika ini, adakah X20e ini mampu jadi calon yang sesuai untuk kegunaan pemanduan urban?