Tag Archives: Jetour

Jetour pamer model prototaip trak pikap F700 secara rahsia di Shanghai

Bertempat di Auto Shanghai 2025, Jetour ada mempamerkan sebuah model konsep trak pikap saiz penuh F700 yang nampak futuristik.

Kenapa kami katakan ia futuristik?

Sebab F700 Concept ini menampilkan bukaan pintu stail ‘coach’ seperti yang wujud pada model mewah Rolls-Royce atau pintu jenis suicide dengan ketiadaan tiang B di tengah.

Tidak ramai yang tahu, Jetour sebenarnya ada mempamerkan model prototaip F700 yang lebih mirip kepada versi produksi sebenar di hotel Hilton Shanghai Hongqiao yang menjadi tempat penginapan media global.

Sayang sekali, kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar model trak pikap yang gagah perkasa itu, memandangkan semua alat perakam dan telefon pintar perlu ditinggalkan di luar kotak gergasi tersebut.

Apa yang kami boleh simpulkan ialah F700 merupakan G700 versi trak pikap dengan reka bentuk badan yang berkotak dan struktur muka depan yang hampir sama.

F700 juga berkongsi platform yang sama dengan SUV ladder-frame G700.

Berdasarkan kertas spesifikasi yang diletakkan bersebelahan model tersebut, F700 dijana dengan nadi hibrid 2.0 liter TGDI yang dipadankan dengan transmisi hibrid (DHT) dan dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar).

F700 ini turut dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 34.13 kWh.

Casis trak pikap ini disokong dengan suspensi jenis double-wishbone depan dan belakang serta sistem pacuan empat roda (4WD).

Dengan penambahan bed di bahagian belakang, F700 memiliki dimensi yang lebih panjang (5,495 mm) berbanding G700 (5.1 meter), dengan jarak antara roda 3,350 mm.

Setakat ini, model F700 masih lagi di dalam peringkat pembangunan, di mana versi produksi sebenar mungkin akan diperlihatkan kepada umum dalam masa terdekat.

Jetour G700

Jetour G900: Konsep SUV off-road bertaraf mercu dari pelantar GAIA

Reruai Jetour di Auto Shanghai 2025 dimeriahkan lagi dengan kemunculan sebuah model konsep SUV bertaraf mercu Jetour G900.

Sama seperti Jetour G700, Jetour G900 Concept ini dibina berdasarkan pelantar off-road premium GAIA.

Dengan sistem hibrid amfibia iDM-O dengan empat motor elektrik dan navigasi bertaraf marin, Jetour G900 ini boleh dipandu atas tanah dan juga air tanpa sebarang masalah dengan daya tujahan mencecah sehingga 2,500 Nm.

Selain itu, jarak kelegaan tanah G900 boleh dilaraskan pada ketinggian serendah 150 mm hingga maksimum 350 mm.

Tidak cukup dengan itu, G900 bakal menawarkan fungsi-fungsi menarik seperti membuat pusingan tank-turn, serta pergerakan ketam (crab mode).

Untuk ruang kabin, Jetour G900 bakal dilengkapi dengan fungsi kokpit pintar, sistem bekalan oksigen kabin, dan ketersambungan berterusan.

Buat masa ini, G900 masih lagi berstatus model konsep dan tiada sebarang perincian spesifikasi didedahkan kepada pihak media.

 

Jetour masuk era 3.0, perkenal platform off-road pintar GAIA di Auto Shanghai 2025

Tidak seperti jenama-jenama lain dibawah kumpulan besar Chery, Jetour lebih fokus kepada penghasilan kenderaan genre SUV dan crossover.

Pengeluar tersebut menggunakan pendekatan strategi Travel+ yang membahagikan kenderaannya kepada tiga kategori utama.

Era 1.0 lebih kepada model berorientasikan keluarga seperti siri Dashing dan juga VT9, diikuti era 2.0 yang terdiri daripada kenderaan off-road yang selesa seperti T1 dan juga T2.

Kini, Jetour memasuki era 3.0 yang membariskan beberapa buah model off-road bertaraf premium, sarat dengan pelbagai teknologi yang lebih canggih dan pintar, seperti SUV G700, model konsep G600 dan G900, serta konsep trak pikap F700.

Tunjang utama kepada barisan model off-road tersebut sudah pasti senibina GAIA (singkatan daripada Generational of All-Terrain Intelligent Architecture).

GAIA merupakan platform generasi baharu kenderaan off-road yang khusus menggunakan kerangka ladder-frame, menawarkan jarak pergerakan suspensi sehingga 150 mm dan jarak kelegaan tanah maksimum 350 mm.

Terdapat dua sistem hibrid yang ditawarkan oleh GAIA, satu daripadanya ialah iDM-O Super Hybrid yang menawarkan prestasi off-road yang lebih cekap dan jimat bahan api.

Satu lagi sistem dikenali sebagai iEM-O Amphibious Range Extender yang menawarkan daya kilas bertaraf kereta kebal sehingga 18,000 Nm, serta daya tujahan 2,500 Nm untuk pemanduan dua alam (darat dan air) yang lancar.

Ia juga turut menawarkan keupayaan seperti pusingan kereta kebal, serta mod jalan ala ketam.

Tidak cukup dengan itu, Jetour turut menawarkan enam ciri inovasi seperti:
• komunikasi satelit orbit rendah
• penghasilan oksiden kendiri
• kokpit berasaskan kepintaran buatan (AI)
• navigasi muka bumi termaju dan bantuan parkir
• integrasi kenderaan-awan
• naik taraf sistem kepintaran berterusan menerusi kemas kini OTA