Tag Archives: jimny

Jauhkan diri anda dari Suzuki Jimny jika… – Pandu Uji

BAGI penulis, Suzuki Jimny adalah kenderaan yang cukup unik. Badannya yang bersegi-segi dan berkotak membuatkannya nampak gagah, namun dengan ukuran dimensi yang lebih kecil berbanding Perodua Axia, ia juga kelihatan comel pada masa yang sama.

Bukan itu sahaja, kedudukannya yang agak tinggi, dapra yang lebar dan tayar gantian yang digantung pada tailgate menunjukkan yang ia bersedia untuk menakluk apa sahaja bentuk muka bumi. Namun, adakah harga RM158,900 yang dikenakan itu sepadan dengan apa yang ditawarkan?

Jika anda bandingkan dengan kenderaan lain dalam lingkungan harga itu, jawapannya sudah tentulah tidak kerana untuk harga itu anda boleh mendapat kenderaan yang jauh lebih besar, lebih praktikal dan dilengkapi dengan lebih banyak teknologi terkini.

Tetapi jika anda lihat apa yang Jimny boleh lakukan, fikiran anda mungkin berubah. Seperti yang penulis katakan tadi, ia dilahirkan untuk dipandu di laluan yang tidak bertar, jalan berbatu atau berlumpur. Tidak syak lagi, ia adalah sebuah kenderaan off-road yang sebenar.

Ada banyak faktor yang menyumbang kepada kemampuan off-road yang dipamerkan oleh Jimny. Pertama sekali, seperti kebanyakan trak pikap dalam pasaran, Jimny dibina di atas kerangka jenis ladder frame yang lebih lasak dan lebih sesuai untuk off-road.

Kerangka itu dipadankan dengan rigid axle pada bahagian depan dan belakang. Gandar jenis ini mempunyai binaan yang lebih ringkas dan lebih kukuh. Ia juga menawarkan tahap cengkaman lebih baik dengan menekan satu tayar ke bawah apabila tayar yang satu lagi ditolak naik ke atas ketika melalui halangan.

Sudah tentu, sebuah off-roader bukanlah sebuah off-roader sebenar jika ia tidak mempunyai sistem pacuan empat roda dengan transfer case yang membolehkan anda keluar dari situasi mencabar dengan mudah.

Benar, mungkin tidak semua pemilik Jimny yang akan menggunakan ciri ini namun sekurang-kurangnya mereka akan rasa lebih yakin mengetahui yang kenderaan mereka sarat dengan kelengkapan yang berguna sekiranya keadaan memerlukan.

Ya, Jimny mempunyai segalanya jika anda seorang yang suka mengembara setiap kali tiba hujung minggu namun bagaimana pula untuk mereka yang lebih banyak menghabiskan masa di bandar?

Jimny adalah sebuah SUV yang kecil jadi janganlah harap praktikaliti sebagai salah satu kekuatannya seperti mana model-model SUV yang lain.

Ruang kabinnya sempit dan jika anda dan penumpang orang yang boleh dikategorikan sebagai ‘besar’ (bukan nak body shaming ya!), bersentuhan bahu itu perkara biasa. Nasib baik bumbungnya boleh dikatakan agak tinggi, jadi tidak rasa seperti duduk di dalam tin sardin.

Di belakang, ada dua tempat duduk tapi ia dilihat lebih sesuai untuk kanak-kanak. Jika tempat duduk ini berada dalam posisi normal, anda sebenarnya langsung tidak mempunyai ruang untuk meletakkan barang seperti bagasi atau stroller.

Oleh itu, jika anda ingin bercuti pada hujung minggu misalnya, anda tiada pilihan lain kecuali melipat kerusi belakang atau menambah rak bumbung. Ini bermakna tanpa rak bumbung, anda hanya ada ruang untuk seorang penumpang belakang sahaja atau tidak langsung, bergantung kepada berapa banyak barang yang dibawa.

Dengan enjin NA 1.5-liter yang menghasilkan hanya 100 hp dan 130 Nm, anda mungkin menyangka yang Jimny akan bergelut jika dipandu dengan muatan penuh. Ia tidaklah laju namun berdasarkan pengalaman penulis, Jimny tidak mempunyai masalah mendaki jalan berbukit seperti Lebuhraya Karak dan Jalan Genting Highlands – dengan syarat anda tidak memaksanya.

Penulis mendapati kelajuan paling ideal untuk Jimny adalah 110 km/j maksimum. Sebaik sahaja jarum speedometer melebihi angka tersebut, ia akan terus terasa tidak stabil. Apatah lagi dengan suspensi yang agak lembut dan stereng yang tidak begitu responsif, ini bukanlah kenderaan yang anda ingin guna untuk melayan selekoh.

Di jalan-jalan biasa, Jimny sebenarnya agak selesa cuma penggunaan ladder frame akan membuatkan keseluruhan kabin bergoyang sekiranya anda melanggar lubang. Tahap NVH agak memuaskan, sesuatu yang agak mengejutkan untuk sebuah kenderaan old-school seperti ini, namun harus diingat yang ia dipandu pada kelajuan bawah 100 km/j pada kebanyakan masa.

Jimny memang berjiwa old school namun untuk menarik minat pelanggan pada masa kini, Suzuki memberikannya beberapa ciri yang boleh dikatakan agak moden.

Ini termasuk lampu LED automatik, skrin sentuh tujuh inci dengan sambungan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto berwayar, port USB, kamera undur, Cruise Control dan butang kawalan audio pada stereng.

Untuk sistem keselamatan pula, terdapat ABS, Electronic Stability Program (ESP), Brake Assist, Hill Hold Control, Hill Descent Control, ISOFIX dan dua beg udara.

Bagaimanapun, selain daripada ciri-ciri yang disebutkan ini, Jimny tidak mempunyai sebarang ciri yang boleh dikategorikan sebagai premium atau mewah. Maksud penulis, setiap permukaan kecuali stereng adalah plastik keras, manakala kerusinya pula dibalut fabrik dan hanya boleh dilaras secara manual.

Sebagai alternatif, ada Jimny Black Edition yang menawarkan upholsteri kulit dan pelbagai aksesori lain namun anda perlu membayar tambahan sebanyak RM13,000. Ada juga Jimny Rhino yang nampak lebih menonjol namun ia RM16,000 lebih mahal berbanding varian standard ini.

Berbalik kepada persoalan tadi, adakah Jimny berbaloi untuk dimiliki? Jika anda seorang yang gemarkan aktiviti outdoor dan ingin mencari sebuah kenderaan yang bukan sahaja lasak tetapi cukup ikonik, Jimny dilihat sebagai pilihan yang masuk akal jika anda tidak kisah membayar harga yang agak tinggi itu.

Namun jika praktikaliti, keselesaan dan kemewahan menjadi keutamaan anda, jauhi Jimny kerana ada banyak lagi kenderaan lain dalam pasaran yang lebih sesuai untuk anda.

@engear.tv Suzuki Jimny ni boleh ke naik Genting Highland? #suzuki #jimny #suzukijimny #gentinghighlands #family #engeartv #malaysia #reels #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia ♬ original sound – Engear TV

Spesifikasi Suzuki Jimny AllGrip

Harga: RM158,900 (OTR tidak termasuk insurans)
Enjin: 1.5-liter, empat silinder VVT
Kotak gear: Automatik empat kelajuan
Kuasa: 100 hp @ 6,000 rpm
Tork: 130 Nm @ 4,000 rpm

Suzuki Jimny kini dengan pilihan 5-pintu, 1.5L petrol, 102hp, 4WD, RM199,950

KITA semua kenal dan sukakan Suzuki Jimny – sebuah kenderaan pacuan empat-roda kompak yang ringkas dan sempurna untuk gaya hidup outdoor. Kini, ada satu pilihan lagi iaitu Jimny 5-Door. Ya, versi 5-pintu.

Ia ’ditarik’ sebanyak 340mm dari versi 3-door, menjadikan ukuran panjangnya kini 3,985mm. Jarak roda juga bertambah, kini pada 2,590mm. Ini bermaksud ruang kaki lebih besar untuk penumpang belakang, manakala ruang kargo meningkat dari 85 liter kepada 211 liter.

Dari segi mekanikal, tiada perubahan, bermakna ia masih dipacu enjin 1.5-liter naturally-aspirated 4-silinder petrol, dengan 102hp dan 130Nm tork. Pilihan transmisi pula ialah manual 5-kelajuan dan automatik 4-kelajuan.

Sistem pacuan juga sama, iaitu AllGrip Suzuki yang merupakan 4WD separuh-masa dengan transfer case untuk julat rendah (low range).

Jimny 5-Door masih mempunyai jarak kelegaan tanah 210mm, tetapi sudut approach, departure, dan break-over semua dikurangkan.

Untuk penggayaan, Jimny 5-Door mendapat gril berbeza dengan lima slot. Kelengkapan lain adalah serupa, seperti lampu LED bulat, fender kembang, lampu belakang pada bampar, rim 15-inci, dan tayar ganti tambahan di pintu but belakang.

Bahagian kabin pula dilengkapi papan pemuka menegak yang rugged seperti model 3-door, konfigurasi empat tempat duduk, dan panel instrumen lebih besar iaitu 9-inci.

Berapa pengeras untuk Suzuki Jimny 5-Door baharu ini? Sedikit ‘keras’, harganya RM199,950. Apa pendapat anda?

Suzuki Jimny XL Heritage dihasilkan khas untuk Australia – 500 unit, harga dari RM114k

RATA-rata peminat Suzuki Jimny tahu bahawa SUV kecil itu mempunyai sejarah panjang yang bermula sejak era 1970an lagi.

Bagi meraikannya, Suzuki telah memperkenalkan model edisi terhad bagi Jimny XL (Jimny 5-pintu) yang dikenali sebagai Heritage. Hanya 500 unit akan dihasilkan dan semuanya untuk pasaran Australia.

Apa yang membuatkan Jimny XL Heritage lebih menonjol?

Seperti yang boleh dilihat, model ini mempunyai grafik ala retro berwarna oren dan merah pada bahagian sisi dan belakang. Ini digabungkan dengan logo badak sumbu dan mudflap berwarna merah.

Untuk warna badan, terdapat lima pilihan iaitu White, Chiffon Ivory + Bluish Black Pearl, Jungle Green, Bluish Black Pearl dan Granite Grey Metallic.

Selain itu, model Heritage ini sama sahaja seperti model standard. Di bawah bonet masih lagi enjin NA 1.5-liter empat silinder yang menjana 101 hp dan 130 Nm.

Jimny XL biasanya boleh didapati dengan transmisi automatik atau manual namun untuk Heritage, Suzuki hanya menawarkan transmisi manual lima kelajuan.

Sudah tentu, sistem pacuan empat roda AllGrip Pro membantu menyalurkan kuasa ke roda.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuk skrin sentuh sistem multimedia berukuran sembilan inci, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, serta pelapik kargo.

Harga jualan Jimny XL Heritage bermula dari AUD36,490, (RM114,047) kira-kira AUD1,500 (RM4,688) lebih mahal berbanding versi standard.

Untuk pengetahuan, tahun lalu Suzuki Australia pernah melancarkan versi Heritage untuk Jimny tiga pintu. Kesemua 300 unit yang diperuntukkan habis dijual dalam masa dua hari sahaja.

Suzuki Jimny dengan dua edisi khas untuk Malaysia – Rainforest dan Black Edition, dari RM169k

NAZA Eastern Motors Sdn Bhd hari ini mendedahkan dua edisi terhad bagi Suzuki Jimny, iaitu Rainforest dan Black Edition.

Kedua-dua edisi ini eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja, dan hadir dengan penggayaan serta kemasan unik.

Berikut adalah kelengkapan bagi setiap edisi:

Suzuki Jimny Rainforest

 

  • Rak bumbung
  • Gril depan dengan kemasan camouflage
  • Mud flap depan dan belakang
  • Decal badan
  • Kemasan camouflage pada kabin

Suzuki Jimny Black Edition

  • Rak bumbung
  • Penutup tayar ganti belakang dengan kemasan karbon
  • Gril kemasan karbon
  • Kemasan dalam unik pada beberapa bahagian

Terdapat juga naik taraf percuma untuk Black Edition iaitu tempat duduk balutan kulit Nappa. Sementara itu, visor pintu dan mud flap disertakan pada kedua-dua model.

Ciri lain dikekalkan pada Suzuki Jimny. SUV kecil ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter naturally-aspirated dengan output 100hp dan 130Nm tork.

Kuasa ini disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 4-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda ALLGRIP PRO, low range transfer gear, dan sistem brek LSD Traction Control.

Suzuki Jimny Rainforest ditawarkan pada harga RM168,900 manakala Black Edition dengan harga RM171,900.

Suzuki Jimny Rhino Edition dilancarkan di Malaysia – 30 unit sahaja, RM175k

NAZA Eastern Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi kereta Suzuki di Malaysia, telah melancarkan Suzuki Jimny Rhino Edition yang ditawarkan dalam bilangan yang terhad iaitu 30 unit sahaja.

Dengan harga jualan bermula dari RM174,900, Jimnya Rhino Edition didatangkan dalam satu warna sahaja iaitu Pure Pearl White. Warna ini dipadankan dengan grafik berwarna merah, kelabu dan hitam, serta tulisan “Real Offroader” pada bahagian sisi.

Selain itu, model ini juga tampil dengan logo ikonik Rhino sebagai penghormatan kepada Jimny generasi kedua (siri SJ) yang diperkenalkan buat pertama kali pada 1981.

Sebagai pelengkap pakej, Jimny Rhino Edition turut mendapat gril Suzuki Heritage, kemasan krom pada cermin sisi, under garnish pada bahagian sisi dan bampar depan, pelindung lumpur berwarna merah serta penutup tayar ganti belakang lengkap dengan logo Rhino.

Turut disertakan untuk memberi perlindungan tambahan adalah pelindungan differential depan dan belakang, serta penghadang hujan dan angin.

Walaupun Jimny Rhino Edition ini terhad kepada 30 unit sahaja, pemilik Jimny sedia ada yang mahukan penampilan agresif yang sama boleh mendapatkan kit Rhino Edition pada harga RM15,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Automotive, Mohd Rizal Jailan berkata, “Inisiatif ini mempamerkan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman pemilikan dimana kesemua pelanggan kami mendapat peluang untuk memberi sentuhan peribadi kepada kenderaan mereka mengikut citarasa mereka.”

Jimny Rhino Edition kini boleh didapati di bilik pameran Suzuki Cars di Naza Automall, Petaling Jaya. Untuk maklumat lanjut mengenai Suzuki Jimny edisi Rhino atau  menempah sesi pandu uji, sila hubungi wakil Naza Eastern Motors di talian +6010 274 4480 (Faiz) atau +60 12 584 0068 (Khairul).

Suzuki Jimny Heritage dengan pelekat badan retro yang cool – untuk Australia sahaja, RM101k

SAMA seperti Mazda MX-5 Miata, Suzuki Jimny juga antara kenderaan yang sukar untuk kita tidak suka. Ianya kecil, comel, mampu milik (sekurang-kurangnya di luar negara), dan boleh dibawa masuk ke off-road.

Suzuki Jimny mula dilancarkan pada 1970 dan menjadi ikon di seluruh dunia, malah masih sangat berjaya hingga ke hari ini. Untuk meraikan kejayaan dan sejarahnya, edisi Heritage diperkenalkan, tetapi sayang hanya untuk pasaran Australia.

Dihadkan hanya 300 unit, Jimny Heritage dihasilkan berdasarkan varian GLX dan dilengkapi dengan mud flap merah di depan dan belakang, dengan tulisan Suzuki untuk yang belakang. Terdapat juga alas kargo Jimny Heritage dengan lencana untuk menandakan ia versi edisi terhad.

Paling ketara ialah pelekat dekal badan retro, dan semua unit mendapat rim bersaiz 15-inci. Suzuki Jimny Heritage ini boleh didapati dengan warna Black Pearl, Jungle Green, White, atau Medium Grey, sementara kotak gear adalah khas manual 5-kelajuan sahaja. Tiada pilihan automatik.

Memandangkan ia dari varian GLX, Jimny ini hadir dengan lampu LED automatik, lampu kabus depan, kamera undur, dan sistem keselematan seperti Lane Departure Warning dan Autonomous Emergency Braking.

Ciri di dalam kabin termasuklah skrin infotainmen dengan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem audio dua pembesar suara, stereng balutan kulit, navigasi satelit, dan sistem penghawa dingin.

Harganya di Australia bermula pada AUD33,490 (RM101,031).

Suzuki Jimny 5 pintu bakal diperkenalkan 13 Januari 2023

DESAS desus mengenai Suzuki Jimny versi lima pintu telah bukanlah baharu – ia kedengaran sejak model itu dilancarkan ke pasaran pada 2018 lagi.

Sebelum ini dilaporkan bahawa model itu akan hadir pada penghujung 2022 namun dengan beberapa hari lagi tinggal sebelum tahun baru menjelma, nampaknya ia tidak benar.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terkini, Best Car Web mendakwa Jimny lima pintu akan dilancarkan secara rasmi di acara Auto Expo di India pada 13 Januari 2023.

Sumber gambar: Motor1

Menurut laman web automotif Jepun itu lagi, SUV kompak itu mempunyai badan yang lebih panjang berbanding versi tiga pintu dengan perbezaan sebanyak 300 mm dari segi ukuran tapak roda dan panjang keseluruhan.

Ini secara tidak langsung memberikan Jimny lima pintu pintu belakang yang lebih panjang dan tingkap kecil baharu. Sementara itu, rekaan bahagian-bahagian lain seperti tailgate dengan tayar ganti dan bampar dijangka sama seperti versi tiga pintu.

Untuk trenkuasa, Best Car Web melaporkan model itu akan hadir dengan enjin hibrid yang merangkumi enjin petrol K15B 1.5-liter dan sebuah motor elektrik dengan 33 hp dan 60 Nm. Ia dijangka hadir dengan pilihan transmisi automatik empat kelajuan dan manual lima kelajuan, serta sistem pacuan AllGrip Pro 4WD dengan transfer case belakang.

Tak sabar tunggu model sebenar, pelajar cipta Suzuki Jimny sendiri

KETIKA dunia menantikan sosok Suzuki Jimny lima pintu yang dikhabarkan dilancarkan pertengahan tahun ini, sekumpulan pelajar tampil menyerlahkan idea tersendiri.

Pelajar Nihon Automotive Technology School (NATS) berjaya mencipta versi Jimny mereka tersendiri yang dinamakan “Kimun Kamui”.

Foto ihsan Carscoops

“Kimun Kamui” membawa maksud “Tuhan Gunung” ciptaan pelajar terbabit dicipta dengan menggunakan model Suzuki Jimny Sierra 2019 sebagai platform asas.

Apa yang pelajar ini lakukan adalah dengan memanjangkan casis ‘ladder frame’ kenderaan berkenaan sebanyak 400mm. Selain itu, badan Jimny itu juga telah dipotong untuk memuatkan pintu belakang dan tingkap kecil.

Foto ihsan Carscoops

Namun, keadaan itu sekurang-kurangnya memberi akses lebih mudah kepada tempat duduk belakang.

Bukan itu sahaja, ukuran tapak roda yang lebih panjang bermakna ruang kaki tempat duduk belakang kini lebih luas dan selesa.

Bagaimanapun, oleh kerana kedudukan tempat duduk belakang tidak diubah maka ruangan kapasiti but adalah sama dengan Jimny tiga pintu.

Fungsi off-road yang mantap

Di samping proses transformasi kepada SUV lima pintu, pelajar-pelajar NATS turut tidak lupa untuk melakukan pelbagai modifikasi melibatkan aspek off-road.

Komponen baharu disertakan termasuklah bampar off-road dengan takal terbina dalam, fender lebar, tiub pelindung sekeliling badan dan khemah bumbung.

Bagi memberikan jentera ini ‘stance’ agresif, terdapat penggunaan sistem
suspensi baharu dengan penambahan ketinggian enam inci dam rim Black Rhino Riot 17-inci.

Turut melengkapkan aspek agresif tersebut adalar penggunaan tayar Toyo Open Country A/T.

Foto ihsan Carscoops

Sebagai pelengkap kepada pakej naik taraf ini, enjin 1.5-liter yang asal turut diberi penambahbaikan dalam bentuk kit turbo GReddy, talaan ECU dan injap blow-off FV2.

Hasilnya, ia kini menjana 124PS dan 179Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 22PS dan 49Nm jika dibandingkan dengan versi standard.

Setakat ini, Jimny Kimun Kamui akan kekal sebagai rekaan one-off dan NATS tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjualnya.

Namun, ia boleh dijadikan sebagai contoh baik untuk menunjukkan potensi modifikasi yang dimiliki oleh SUV kegemaran ramai itu.

7 pelancaran kereta pilihan Engear sepanjang 2021

WALAUPUN 2021 ditemani dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama beberapa bulan dan kilang-kilang serta pusat pengedar terpaksa menghentikan operasi mereka, ini tidak bermakna pengeluar tidak membawa masuk model-model baharu ke pasaran kita.

Pelancaran model-model sepanjang 2021 dibuat secara fizikal seperti biasa dan ada masanya dibuat secara maya (online).

Banyak model-model menarik dan mengujakan dilancarkan tahun ini, dan kali ini, kami ingin senaraikan tujuh (7) pelancaran kereta yang kami rasa anda wajib tahu.

Senarai ini hanyalah pilihan peribadi penulis dan ia disusun mengikut kronologi dari awal hingga hujung tahun.

1. Proton Iriz dan Saga R3 Limited Edition

Kita mulakan dengan pengeluar nasional pertama kita, iaitu Proton. Pada 18 Februari 2021, Proton memperkenalkan Iriz dan Saga versi R3 Limited Edition.

Bagi kami, ia wajar masuk senarai ini kerana pelancaran itu sedikit sebanyak mengubat kerinduan peminat terhadap produk R3 dari Proton.

Walaupun R3 Limited Edition ini lebih kepada kosmetik dan tiada penambahbaikan dari segi prestasi, sekurang-kurangnya lebih baik ada dari tiada langsung, bukan? Dan mungkin juga kita boleh harapkan lebih banyak lagi model Proton menerima sentuhan R3 di masa depan, terutamanya dari segi prestasi.

2. Perodua Ativa

Nombor dua dalam senarai kita ialah Perodua Ativa. Tidak dinafikan lagi Ativa menjadi antara model terpenting buat Perodua dan menjadi perhatian seluruh negara dan peminat automotif khususnya.

Ini kerana ia bukan sahaja menandakan kembalinya Perodua dalam segmen SUV setelah lebih sedekad menghilang, Ativa juga merupakan model turbo pertama pengeluar itu. Selain itu, Ativa mendapat banyak teknologi terkini dari segi casis, enjin, kotak gear dan sistem keselamatan.

3. BMW iX

Seterusnya kita beralih pula ke jenama premium, dan model pilihan kami ialah BMW iX. Sebenarnya BMW melancarkan agak banyak model ke Malaysia tahun ini seperti 5-Series baharu, M3 dan M4 serta beberapa model facelift.

Namun iX menunjukkan langkah BMW yang seterusnya iaitu ke arah elektrifikasi. Ya, BMW iX merupakan sebuah SUV elektrik sepenuhnya dengan kuasa sekitar 240kW (322hp) dan mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 6.1 saat. Ia juga menawarkan jarak pemanduan sehingga 425km untuk setiap caj.

4. Suzuki Jimny

Suzuki Jimny pula sebuah ikon dan generasi terkini dilancarkan di Malaysia pada 2021 walaupun pasaran kita tidak mendapat model generasi sebelum ini.

Kenderaan 4×4 kecil ini merupakan model kedua yang dilancarkan setelah Suzuki kembali ke Malaysia di bawah naungan baharu iaitu Naza.

Ia ditawarkan pada harga agak tinggi iaitu hampir RM170k tetapi orang tidak beli Jimny ini kerana spesifikasi dan praktikaliti, sebaliknya atas faktor cool. Lihat sahaja bentuknya yang bersegi, flared fender, dan warna terang, pasti menarik perhatian.

5. Hyundai Staria

Kita ke jenama Korea pula, perkenalkan Hyundai Staria. Walaupun MPV besar ini bukan disasarkan pada pembeli umum, tetapi ia menjadi perhatian kerana penampilannya yang nampak sangat futuristik.

Ditambah pula dengan Hyundai yang mensasarkan Staria untuk bersaing dengan MPV mewah seperti Toyota Alphard dan Vellfire, ia menimbulkan perdebatan di kalangan netizen yang memberi pandangan serta pendapat masing-masing.

Dan entah bagaimana, video Hyundai Staria kami di Facebook mendapat jumlah tontonan begitu tinggi, kini sudah melebihi 1,000,000 view! Hyundai Staria dijual pada harga sekitar RM360k.

6. Perodua Myvi

Kembali ke jenama tempatan, kali ini, King atau Perodua Myvi! Siapa yang tidak kenal, dan mana mungkin terlepas dari masuk ke senarai ini.

Bukan hanya kerana ia sebuah Myvi iaitu kereta paling popular di Malaysia, tetapi kerana facelift kali ini membawakan penambahan cukup signifikan.

Rupa luarannya diperbaharui sedikit, dan perubahan terbesar adalah di bahagian yang kita tidak nampak iaitu kotak gear D-CVT baharu serta ciri keselamatan, kini dengan ASA 3.0.

King akan terus bertakhta.

7. Honda City Hatchback

Akhir sekali, sebuah model bukan jenama tempatan tetapi turut mendapat perhatian umum iaitu Honda City Hatchback. Model popular kegemaran para fresh grad sebagai simbol kejayaan ini kini ditawarkan dalam versi hatchback, menggantikan Honda Jazz yang ditamatkan pengeluarannya.

Honda City Hatchback berkongsi hampir semua spesifikasi teknikal dengan versi sedan yang dilancarkan pada 2020, cuma buat pertama kali, ditawarkan dengan bentuk badan seperti ini. Ia juga bersaing terus dengan Toyota Yaris yang diasaskan dari model Vios.

 

Jom rebut peluang memiliki sebuah kereta jenis Suzuki Swift. – Foto ihsan Suzuki

Sekian sahaja tujuh pelancaran pilihan kami untuk tahun 2021. Ada lagi beberapa pelancaran lain yang tidak kurang menariknya iaitu Toyota Corolla Cross, Suzuki Swift Sport, dan Proton Persona serta Iriz facelift.

Di segmen premium pula, kita menyaksikan pengenalan Volkswagen Arteon R-Line, Land Rover Defender, Hyundai Palisade, dan Mercedes-Benz S-Class.

Dan untuk segmen kereta impian atau sports dan supercar, Malaysia telah menerima ketibaan Ferrari SF90 Spider dan Porsche 911 GT3 baharu.

Nantikan artikel kompilasi kami yang seterusnya esok!

Suzuki Every ‘Jimry’ dari T-style – Apabila Jimny ‘kacuk’ dengan van Every

NAMA Suzuki Jimny tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat kereta di seluruh dunia. Model generasi keempat, khususnya, dilihat menjadi salah satu SUV kompak yang paling popular sejak ia diperkenalkan pada 2018. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada syarikat-syarikat aftermarket yang menghasilkan kit yang diinspirasikan daripadanya.

Baru-baru ini, tuner dari Jepun iaitu T-style telah menghasilkan kit berupa Jimny khas untuk model van kompak keluaran Suzuki yang dikenali sebagai Every. Kit yang dinamakan ‘Jimry’ itu merangkumi bahagian hadapan sahaja bermakna bahagian sisi dan belakang Every akan kekal standard.

Menurut T-style, menggantikan ‘wajah’ asal Every dengan Jimny adalah mudah kerana kedua-duanya dikategorikan sebagai kei car, bermakna ukuran lebarnya hampir sama.

Namun ini tidak bermakna ia boleh dilakukan secara sembarangan kerana Every dan Jimny mempunyai ukuran tinggi dan jarak lega tanah yang berbeza. Untuk itu, T-style perlu menggunakan beberapa komponen kustom.

Gril dan lampu diambil secara terus daripada Jimny, namun bampar hadapan dihasilkan secara kustom, begitu juga dengan fender hadapan dan bonet. Walaupun begitu, rekaan komponen-komponen kustom itu tidak jauh berbeza dengan rekaan asal.

Apa yang menarik, T-style turut menawarkan penambahbaika sistem suspensi dalam bentuk lift kit untuk off-road atau gegelung sport untuk mereka yang inginkan prestasi pengendalian yang lebih mantap.

Bukan itu sahaja, terdapat juga kombo rim dan tayar, pakej perlindungan badan serta pelbagai aksesori lain termasuk khemah pop-up yang boleh diletakkan di atas bumbung.

Akhir sekali, ruang dalaman boleh dispesifikasikan dengan pelbagai jenis upholsteri kulit mengikut citarasa pelanggan. Malah, syarikat itu juga sedia untuk menukarkan ‘Jimry’ anda menjadi sebuah van camper dengan tempat duduk belakang yang boleh dilipat menjadi katil serta ruang storan yang terletak di bawah ruang kargo dan tempat duduk.

Kit Jimry dijual pada harga bermula dari 248,000 yen (kira-kira RM9,060), tidak termasuk aksesori lain. Difahamkan yang T-style mempunyai beberapa unit Jimry yang telah siap dimodifikasi untuk dijual menerusi laman web mereka.

Harga setiap unit berbeza namun untuk memberikan gambaran, sebuah Jimry yang lengkap dengan segala jenis aksesori berharga 2.48 juta yen (RM90,580).

Suzuki Jimny kini di Malaysia! Apa yang anda wajib tahu di sini

AKHIRNYA SUV yang dinanti-nanti telah tiba di Malaysia secara rasmi, iaitu Suzuki Jimny generasi keempat.

SUV 4×4 kecil dan unik ini menjadi model kedua untuk era baharu Suzuki di Malaysia di bawah naungan Naza Eastern Motors selepas mereka memperkenalkan Swift Sport beberapa bulan lepas.

Suzuki Jimny ini diimport sepenuhnya dari Jepun, dan dijual pada harga RM168,900 atas jalan tanpa insurans (harga tidak termasuk SST 50 peratus).

Mahal? Ya, harganya memang sedikit ‘keras’, tapi anda dapat sebuah kenderaan yang sangat stailo dan walaupun kecil, disebabkan badannya yang petak bersegi, ruang dalamannya tidaklah begitu sempit. Oh ya, dengan pembelian Jimny secara rasmi melalui Naza juga anda dapat jaminan rasmi tiga-tahun/100,000km.

Dari segi mekanikal, anda harus tahu bahawa Suzuki Jimny hanya ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik untuk pasaran Malaysia, tiada manual. Transmisi ini dipadankan dengan enjin 1.5-liter K15B VVT 4-silinder petrol yang menjana 100hp dan 130Nm tork.

Sistem pacuannya menggunakan pacuan empat-roda separuh-masa seperti 4×4 ‘old-skool’, berserta casis ladder-frame yang ditampung dengan suspensi live axle di depan dan belakang.

Sesuai dengan sifatnya iaitu sebuah off-road, kelengkapannya tidaklah begitu mewah. Tiada tempat duduk berkuasa atau brek parkir elektrik dan sebarang kamera. Ia mendapat tempat duduk fabrik, dan masih menggunakan kunci fizikal untuk menghidupkan enjinnya.

Paling penting ialah gayanya, dengan warna hero Kinetic Yellow berserta bumbung hitam, selain warna Bluish Black Pearl 3, Jungle Green dan Medium Grey.

Kelengkapan standard pada Jimny termasuklah lampu projektor LED, lampu kabus, rim aloi 15-inci, sistem pendingin hawa automatik, tempat duduk fabrik manual dan Cruise Control. Sistem infotainmennya menggunakan skrin sesentuh dan menyokong Apple CarPlay, serta disambungkan dengan dua pembesar suara.

Dari segi keselamatan? Suzuki Jimny hadir dengan dua beg udara, ABS, Brake Assist, Stability Control, dan ISOFIX. Tiada sistem terlalu canggih seperti Autonomous Emergency Braking atau Lane Keep Assist yang merumitkan kenderaan. Less is more.

Adakah anda sanggup berbelanja lebih untuk ciri ‘cool’ pada Suzuki Jimny ini, atau anda rela mengambil SUV lebih besar seperti Honda CR-V dan Proton X70?