Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah memberi amaran kepada pemandu bas ekspres supaya tidak menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan.
Menurut pengarahnya Stien Van Lutam, mana-mana pemandu bas ekspres yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan saman serta-merta.
Tambahnya, setakat ini dua kesalahan telah dikesan menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 yang dilancarkan mulai 24 Mac hingga 8 April ini.
“Anggota JPJ yang melakukan penyamaran mengesan pemandu bas ekspres berusia 29 tahun dalam perjalanan dari Ipoh ke Sungai Petani telah bertindak menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan atau di luar terminal bas.
“Seorang lagi pemandu bas ekspres berusia 27 tahun turut dikesan melakukan kesalahan sama ketika dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kelantan, selain memotong di garisan berkembar,” katanya.
Beliau berkata tindakan menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan bukan sahaja membahayakan penumpang, tetapi juga menjadi punca kemalangan dan kesesakan lalu lintas.
Sementara itu, Stien berkata operasi khas selama 14 hari itu membabitkan 271 anggota JPJ di seluruh negeri yang dibekukan cuti mereka bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pergerakan pengguna jalan raya, di samping dalam usaha meminimunkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
Beliau berkata JPJ akan terus memberi keutamaan kepada sembilan kesalahan utama antaranya tidak mematuhi peraturan had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan serta menggunakan telefon bimbit.
“Pengguna yang pulang ke kampung nanti dinasihatkan agar bersabar dalam pemanduan, tidak beremosi dan pastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.