PROTON menutup tirai tahun 2022 yang penuh mencabar dengan jualan sebanyak 141,432 unit (domestik dan eksport), angka tertinggi yang dicatat oleh jenama nasional itu sejak 2013.
Menurut Proton, angka tersebut berjaya dicapai selepas syarikat itu mencatat jualan sebanyak 14,750 unit dalam bulan Disember. Ia merupakan prestasi jualan bulanan yang keempat terbaik untuk tahun lalu.
Jika dibandingkan dengan prestasi pada 2021, jumlah jualan telah meningkat sebanyak 23.3% walaupun menghadapi kesukaran pada awal tahun akibat masalah bekalan alat ganti berikutan banjir dan kekurangan cip di peringkat global.
Sementara itu, jumlah jualan untuk pasaran antarabangsa pula meningkat kepada 5,406 unit, berkembang sebanyak 79.1%. Pencapaian ini membolehkan Proton mengakhiri tahun ini sebagai pengeksport utama industri.
Secara keseluruhannya, Proton telah mengekalkan kedudukannya di tangga kedua di dalam industri dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 19.6%. Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) untuk tahun 2022 pula dianggarkan melebihi 720,000 unit iaitu angka tertinggi bagi industri.
Berikut merupakan prestasi jualan model secara individu bagi bulan Disember 2022:
Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton berkata banjir pada penghujung 2021 memberi kesan sehingga ke suku pertama 2022 hingga menyebabkan pihaknya ketinggalan ke belakang.
“Syukurlah, jumlah itu dapat dikejar dalam tempoh tiga suku yang seterusnya, tetapi kami yakin kami boleh mencapai lebih banyak dan mencatatkan angka yang lebih baik jika tidak menghadapi permulaan tahun yang mencabarkan,” tambah beliau.
Bukan itu sahaja, Proton kini mempunyai pertumbuhan jualan untuk empat tahun berturut-turut dan merupakan satu-satunya syarikat automotif di Malaysia yang mencapainya dari tahun 2019 hingga tahun 2022.
Ada model baharu yang akan dilancarkan tahun ini?
Mengenai perkara itu, Roslan sekadar berkata syarikat yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan dengan penambahan rangkaian tawaran serta pelancaran model baharu pada tahun ini.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan TIV akan menyusut daripada jumlah rekod tahun 2022 kerana penghantaran pesanan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan akan dipenuhi pada akhir bulan Mac. Kadar faedah juga dijangka meningkat lagi pada tahun ini akan menjadikan sukar bagi industri automotif untuk terus meningkatkan jualan,” kata beliau lagi.