Tag Archives: Kamax

KAMAX Cub X sah masuk Malaysia, jangkaan Ogos atau September, harga bawah RM10k

Pengedar sah jenama Kamax, KTNS Holdings Sdn Bhd dijangka akan menawarkan sebuah lagi model kapcai untuk pasaran Malaysia, iaitu KAMAX Cub X 150.

Perkara tersebut diumumkan sewaktu lawatan media automotif Malaysia ke pusat pameran KAMAX yang terletak di Jiulongpo, Chongqing, baru-baru ini.

Berbeza dengan kapcai Super Pro yang telah dilancarkan sebelum ini, Cub X membawakan enjin dengan sesaran 150 cc menghasilkan kuasa 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 10.5 Nm @ 5,000 rpm.

Untuk sebuah jentera cubcross, Cub X ini membawakan spesifikasi yang lebih agresif, seperti tayar off-road tanpa tiub, rim lidi 17 inci, tempat duduk tunggal balutan kulit serta rak barang menggantikan tempat duduk pembonceng.

Sistem suspensi Cub X terdiri daripada fork teleskopik 26 mm di depan, diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang, masing-masing menawarkan jarak pergerakan tayar 88.9 mm dan 91.4 mm.

Antara ciri lain termasuklah:
-sistem pencahayaan LED
-skrin kluster LCD
-tangki bahan api sebesar 3.8 liter
-cermin sisi krom
-pelindung enjin
-sistem ABS dua saluran
-tinggi pelana 790 mm
-sistem kunci pintar

Menurut pihak KTNS, model ini dijangka masuk pasaran Malaysia sekitar bulan Ogos atau September, membawakan tanda harga bawah RM10,000.

Ini menjadikan KAMAX Cub X mampu memberikan saingan kepada model-model di dalam kelasnya, seperti Yamaha PG-1 dan Aveta Ranger Max 130.

Info lanjut boleh didapati menerusi laman web www.kamaxgroup.com.

Kamax Super Pro 125 dilancarkan di Malaysia – RM8,888

Kamax, jenama motosikal dari China, membuat kemunculan sulungnya dalam pasaran Malaysia menerusi pelancaran model moden-retro Super Pro 125.

Dibawa masuk oleh KTNS Holdings, Super Pro 125 menggabungkan ciri terkini dengan reka bentuk klasik. Ia boleh didapati dalam tiga warna iaitu Army Green, Matte Black dan warna edisi khas Green.

Super Pro 125 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal bersesaran 125 cc yang dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.

Dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api Bosch dan penyejukan udara, enjin itu menghasilkan 8.4 hp pada 7,500 rpm dan 9.3 Nm pada 5,000 rpm.

Untuk sistem suspensi, ia menggunakan fork teleskopik hidraulik pada bahagian depan dan penyerap hentak berkembar di belakang.

Untuk roda, model ini didatangkan dengan rim aloi 17 inci dan tayar bersaiz 80/90 pada bahagian depan dan belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera 200 mm dan ABS pada bahagian depan, dan brek dram pada bahagian belakang.

Dari segi saiz, Super Pro 125 mempunyai ukuran panjang 1,915 mm, lebar 720 mm, tinggi 1,010 mm dan jarak roda 1,245 mm. Ketinggian pelana adalah 760 mm, manakala berat pula sekitar 110 kg. Kapasiti tangki bahan api adalah 3.8 liter.

Dari segi kelengkapan, motosikal jenis moped ini didatangkan dengan paparan LCD, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan sistem kunci pintar.

Harga jualan Kamax Super Pro 125 bermula dari RM8,888 tidak termasuk insurans. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.