Tag Archives: kapcai

Yamaha 135LC dengan enjin FI baharu, tiga warna, RM7,798

YAMAHA 135LC sememangnya sebuah motosikal kapcai empat-lejang yang cukup berjaya dan mempunyai ramai pengikut di Malaysia.

Untuk 2022, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan 135LC FI baharu dan seperti pada namanya, FI merujuk kepada fuel injection atau suntikan bahan api. Ya, Yamaha 135LC kini dengan enjin baharu yang dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia.

Enjin silinder tunggal SOHC 4-injap ini menjana 9.3kW (12.4hp) pada 8,000rpm dan 12.2Nm tork pada 6,000rpm.

Enjin dengan penarafan Euro4 ini dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan seperti sebelumnya. Walaubagaimanapun, tiada lagi pilihan klac manual, hanya klac automatik.

Menurut HLYM, mereka mahu memfokuskan klac manual kepada model Y15ZR, dan klac automatik untuk 135LC FI ini.

Yamaha 135LC FI ini dilengkapi lampu depan dan belakang LED, Pilot Light, tangki minyak 4.6 liter dan panel meter digital baharu untuk paparan maklumat lebih jelas.

Dari segi keselamatan, 135LC kini diberikan brek cakera belakang dan swing arm belakang yang direka semula.

Yamaha 135LC FI dijual pada harga RM7,798 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) dan didatangkan dengan tiga warna iaitu Ruby Red, Crystal Cyan, dan Midnight Star.

Yamaha 135LC FI

Oh ya, ada satu kejutan, dimana HLYM turut mendedahkan Yamaha 135LC FI Special Edition.

Apa yang istimewa? Pertamanya, ia hadir dengan warna unik Desert Storm matte dengan grafik lebih ringkas, tulisan “135LC” tiga-dimensi pada badan, dan Yamaha Premium Basket.

Bakul ini hanya khas untuk 135LC FI Special Edition dan menurut Yamaha, buat masa ini mereka tidak merancang untuk menawarkannya sebagai aksesori untuk versi biasa.

Bakul ini juga dilengkapi ruang simpanan khas yang boleh melindungi barangan dari terkena hujan, selain slot pengecaj USB.

135LC FI Special Edition ini dijual pada harga RM8,198 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans).

Honda EX-5 edisi terhad diperkenal – warna Extravagant Gold Metallic, RM5,198

BOON Siew Honda hari ini memperkenalkan Honda EX-5 edisi terhad untuk rakyat Malaysia. Sejak memasuki pasaran pada 1987, Honda EX-5 telah menjadi sebahagian besar dari mobiliti rakyat negara ini dengan ketahanan yang terbukti.

EX-5 edisi terhad ini hanya ditawarkan dalam warna khas Extravagant Gold Metallic sempena ulang tahun ke-35 model ini, dan hanya 2,000 unit akan ditawarkan.

Tiada perubahan dari sudut mekanikal, Honda EX-5 edisi terhad ini dipacu oleh enjin 110cc berkuasa 6.37kW pada 7,500rpm dan 8.62Nm tork pada 5,500rpm.

Enjin dengan teknologi Programmed Fuel Injection (PGM-Fi) ini dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan.

Selain dari warna retro dan premium emas metalik itu, EX-5 ini juga didatangkan dengan rim jenis spoke berwarna sama.

Honda EX-5 edisi terhad ini ditawarkan pada harga RM5,198 berserta jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (yang mana tiba dahulu).

Wmoto F15 ini pesaing terbaharu Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR, harga RM6k sahaja

SATU lagi kapcai telah menerpa pasaran Malaysia, iaitu Wmoto F15 dan ia ditawarkan pada harga agak kompetitif, RM5,999 (tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan). F15 ini akan bersaing dengan motosikal kelas 150cc seperti Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR.

Wmoto F15 dikuasakan oleh enjin 149.2cc 4-lejang yang berupaya menghasilkan 10.5hp pada 7,000rpm dan 11Nm tork pada 8,000rpm. Ia menggunakan kotak gear 5-kelajuan dan mempunyai berat sekitar 118kg.

F15 mempunyai ketinggian pelana 770mm dan dilengkapi lampu LED untuk depan dan belakang berserta DRL. Tangki bahan apinya adalah berkapasiti 5.5 liter.

Wmoto F15 menggunakan fork teleskopik di depan dan penyerap hentak monoshock di belakang. Untuk brek pula, ia mendapat cakera 290mm di depan dan 190mm di belakang.

Ciri lain adalah meter gabungan analog dan digital, serta paparan paras bateri. Wmoto F15 ini hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu).

Wmoto F15 kini boleh didapati di kesemua pengedar sah Wmoto seluruh negara dengan tiga pilihan warna iaitu kuning, biru dan turquoise.

Honda RS-X 2021 tiba di Malaysia untuk mencabar Y15ZR, dilengkapi ABS, RM8.7k

BOON Siew Honda hari ini melancarkan sebuah motosikal yang dinanti ramai, iaitu Honda RS-X baharu! Ia bakal memberi saingan terus kepada Yamaha Y15ZR.

Ya, ini juga merupakan kembar kepada Honda Winner X di Vietnam, namun ia tetap menerima beberapa ciri unik khas untuk pasaran Malaysia.

Antaranya adalah bahagian ‘kepala’, ekzos, dan ia dilengkapi ABS (sistem brek anti-kunci) satu-saluran seperti varian tertinggi Winner X Sport ABS.

Honda RS-X boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Trico Edition (merah), Candy Caribbean Blue Sea dan Lemon Ice Yellow, dengan harga RM8,688. Ia turut hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km.

Dari segi rupa, Honda RS-X menerima cowl badan penuh dengan rekaan aerodinamik, muka depan agresif dengan lampu dwi-LED dan ekor yang tirus. Ekzosnya juga direka seperti motosikal lebih besar, dan menurut Boon Siew Honda, memberikan bunyi menarik.

RS-X dikuasakan oleh enjin 150cc DOHC sejukan cecair yang menghasilkan 15.8hp pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 7,000rpm. Enjin Euro 4 ini digandingkan dengan transmisi 6-kelajuan.

Kapcai ini juga hadir dengan beberapa ciri praktikal seperti suis pembuka tempat duduk, rantai bertutup, dan panel meter digital dengan penunjuk gear.

Honda RS-X 2021 ini akan berada di semua pengedar sah tidak lama lagi dan untuk sebarang maklumat lanjut, layari www.boonsiewhonda.com.my.