Tag Archives: kargo

Jepun mahu bina sistem talisawat kargo 500 km, atasi masalah kekurangan pemandu trak

Mereka yang sudah terbiasa mengembara ke luar negara pastinya kagum dengan tahap kecekapan kakitangan dan mesin di lapangan terbang dalam mengendalikan beratus-ratus hingga beribu-ribu bagasi dalam masa sehari.

Sekarang, cuba bayangkan sistem yang sama, namun dengan jarak yang lebih jauh.

 

 

Ya, itu antara penyelesaian yang cuba dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan Jepun dalam usaha untuk menangani masalah kekurangan pemandu trak yang semakin meruncing saban tahun.

Menurut laporan Japan News, satu sistem yang dinamakan sebagai Autoflow Road, atau bahasa mudahnya sistem tali sawat akan dibina menghubungkan Tokyo dan Osaka sejauh 500 km untuk tujuan pengedaran barangan kargo.

 

Sistem tali sawat ini boleh dibina bersebelahan dengan jalan raya utama sedia ada, atau menggunakan laluan bawah tanah.

 

 

Dengan operasi tanpa henti setiap hari, secara teorinya sistem ini dapat menampung kapasiti penghantaran kargo yang sama dibuat oleh 25,000 orang pemandu trak dalam masa sehari.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Jepun bakal mengalami masalah kekurangan sehingga 36 peratus tenaga pekerja yang diperlukan untuk mengendalikan 1.40 bilion tan kargo menjelang 2030.

Dengan cara mengurangkan sehingga 25,000 buah trak dari jalan raya mungkin sekali dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik, merendahkan tahap pelepasan emisi serta membantu mengurangkan impak negatif akibat krisis kekurangan tenaga pekerja.

 

 

Penggunaan sistem tali sawat ini bukanlah satu perkara yang asing, memandangkan di negara Jepun sendiri ada menggunakan cara yang sama untuk mengangkut muatan batu kapur sepanjang 23 km yang terletak di Torigatayama.

Cabaran utama yang dihadapi sudah tentu kos pembinaan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh syarikat pembinaan, kos untuk membina terowong bawah tanah bermula dari ¥7 bilion (RM204 juta) dan mampu mencecah ¥80 bilion (RM2.3 bilion) untuk setiap 10 km.

Jadi, kos keseluruhan untuk membina sistem yang menghubungkan Tokyo dan Osaka mampu mencecah sehingga ¥3.7 trilion (RM108.2 bilion)!

 

DHL, Pen Aviation jalin kerjasama guna dron bawa barangan di pelabuhan

PERKHIDMATAN penghantaran barang menerusi pesawat tanpa pemandu (UAV) bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Ia merupakan hasil kerjasama syarikat kurier DHL Express (Malaysia) Sdn Bhd dengan Pen Aviation Sdn Bhd.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata, penggunaan UAV penting terutama bagi penghantaran barangan ketika waktu kritikal.

“Kami berusaha menyelesaikan tiga masalah dalam perkhidmatan penghantaran.

“Ini termasuk kos tinggi untuk mengambil dan menghantar bekalan kargo kecil ke kapal, meningkatkan kecekapan dalam pengendalian kargo serta menambah baik keselamatan dan jaminan perkhidmatan,” katanya.

Jelas Julian lagi, matlamat jangka panjang adalah mewujudkan kumpulan gabungan pesawat terdiri daripada dron kargo bersaiz sederhana dan dron kargo bersaiz besar.

Dron PEN55V direka dan dibina secara perkongsian dengan Cavok-UAS iaitu syarikat dari Perancis yang mahir dalam bidang pertahanan serta keselamatan.

PEN55V merupakan UAV dengan berat pelepasan maksimum 55 kilogram yang mempunyai daya tahan selama 2.5 jam.

Selain itu, ia juga berupaya membawa maksimum beban bayar 15 kilogram bagi setiap penerbangan.

Berdasarkan perjanjian DHL dan Pen Aviation, UAV PEN55V digunakan untuk penghantaran barangan kepada pelabuhan laut jarak jauh.

Antara tugasan dilakukan termasuk mengambil dan menurunkan bungkusan yang mempunyai berat sehingga 15 kilogram dari dek kapal kargo ke pelabuhan.