Tag Archives: kastam

Kastam rampas tiga unit Yamaha RX-Z seludup di Kelantan

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan telah merampas tiga motosikal jenis Yamaha RX-Z terpakai yang telah diseludup dari negara jiran. 

JKDM Kelantan turut merampas enam kenderaan klon bersama dua motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CB400 dan Yamaha TDC. 

Menurut Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abudl Salam Wan Long, jumlah rampasan (termasuk cukai) dianggarkan berjumlah hampir RM600,000. 

“Antara kenderaan yang dirampas ialah Nissan Teana, BMW Z4 2.5I, Nissan Serena, Honda Jaz Fit, Toyota Vellfire, Honda Odyssey.

“Turut dirampas adalah motosikal Honda CB400, Yamaha TDC selain daripada RX-Z,” ujarnya. 

Wan Jamal turut mendedahkan modus operandi yang diguna pakai adalah membawa masuk kenderaan berkenaan secara persendirian atau menerusi sindiket yang bertapak di sempadan. 

“Bagi tiga RX-Z terpakai pula, ia diseludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok menggunakan sampan dan dijual kepada pembeli tempatan dengan harga sekitar RM7,000 hingga RM8,000 seunit,” tambahnya. 

Kos servis kenderaan makin mahal tahun depan?

SEPERTI yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, kadar cukai perkhidmatan akan dinaikkan dari enam peratus kepada lapan peratus bermula 1 Mac tahun depan.

Justeru itu, kos pembaikan dan servis kenderaan yang tidak termasuk dalam kategori yang dikecualikan dijangka akan meningkat.

Bimbang perkara ini akan membebankan pengusaha bengkel dan pemilik kenderaan, Persekutuan Persatuan-persatuan Syarikat Motor Dan Kredit Malaysia (FMCCAM) akan meminta kerajaan mempertimbangkan pengecualian kenaikan cukai itu untuk bengkel kecil dan pemilik kenderaan terpakai.

Presiden FMCCAM Datuk Tony Khor berkata kadar cukai baharu itu tidak akan menjejaskan harga kenderaan secara terus namun ia pasti menjejaskan kos penyelenggaraan.

Walaupun belum diputuskan oleh kerajaan, beliau merasakan kadar cukai baharu itu akan terpakai kepada bengkel kereta juga.

Foto oleh: Prabhaka Salave/Pexels

Tambah beliau lagi, walaupun kenaikan itu kecil, ia mungkin ketara kepada pemilik-pemilik kereta terpakai dengan bajet yang terhad.

“Saya difahamkan bahawa perbelanjaan penyelenggaraan kereta mungkin meningkat namun sebagai pemilik, kita juga perlu memastikan keselamatan kenderaan,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Kastam mengumumkan kadar cukai perkhidmatan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 akan dinaikkan daripada enam peratus kepada lapan peratus berkuat kuasa 1 Mac ini.

Kadar baharu itu tidak termasuk makanan dan minuman, telekomunikasi, penyediaan tempat letak kereta dan perkhidmatan logistik.

Menurut Jadual Kedua Peraturan Cukai Perkhidmatan 1975, perkhidmatan kenderaan bermotor berada di bawah Kumpulan G perkhidmatan bercukai pada kadar enam peratus.

SPRM buru 100 kereta mewah yang dibawa keluar dari Langkawi

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam usaha menjejaki sebanyak 100 kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk McLaren dan Ferrari yang dibawa keluar dari Langkawi, Kedah.

Menurut laporan Harian Metro, pemilik-pemilik kenderaan itu dipercayai bersekongkol dengan sindiket untuk membawa keluar kereta itu dari Langkawi dengan mendapat pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Sumber mengatakan terdapat 100 kenderaan mewah yang berada di atas jalan raya di seluruh negara selepas dibawa keluar dari Langkawi oleh sindiket terbabit.

Kata sumber itu lagi, ada di antara kenderaan itu yang dibeli pada 2015 lagi dan sudah bertukar pemilik asalnya hingga pemilik ketiga.

“SPRM sudah mengumpul dokumen berkaitan kenderaan mewah terbabit bagi mengesan kenderaan itu dan membantu siasatan. Siasatan akan diteruskan bagi membawa pulang kembali ketirisan wang cukai kerajaan oleh sindiket terbabit,” katanya.

SPRM akan mengesan individu yang bersubahat dengan sindiket untuk mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah dari Langkawi.

Dalam fasa pertama operasi khas yang dijalankan di utara negara ini pada 13 Julai lalu, SPRM berjaya menyita 20 kereta mewah dan menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.

Operasi itu menyaksikan seramai tujuh individu ditahan di Kedah dan mereka yang dikesan ini adalah ejen sebuah agensi kerajaan yang bersubahat dengan mengemukakan maklumat palsu.

“Siasatan SPRM mendedahkan suspek itu bersubahat bersama pemilik kereta terbabit dengan mengemukakan dokumen yang mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam,” kata sumber.

41 kereta mewah, sembilan motosikal tiada AP dirampas kastam, nilai lebih RM11 juta

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, menyita 50 kenderaan bernilai RM11.37 juta yang tidak mempunyai permit import (AP).

Rampasan itu dibuat menerusi Ops Bearing 2022 dilaksanakan bermula 15 Ogos lalu di sekitar Pelabuhan Klang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad, berkata semua rampasan membabitkan 41 kereta mewah pelbagai jenis dan sembilan motosikal berkuasa tinggi bernilai RM11,369,036.50 termasuk jumlah duti dan cukai.

“Semua kenderaan ini disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1957 kerana mengimport barang larangan yang pengimportannya dibenarkan dengan syarat ia tertakluk Permit Import dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Anggaran nilai rampasan adalah RM4.25 juta manakala jumlah duti dan cukai terbabit dianggarkan RM7.12 juta,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Pulau Indah hari ini.

Mohammad Sabri berkata, sebanyak 45 kenderaan import dikesan dan dirampas di zon bebas Pelabuhan Klang, manakala lima lagi dirampas di sekitar daerah ini.

Katanya, kenderaan dan motosikal import yang disita itu dibawa dari pelbagai negara termasuk Jepun, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Sweden.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati ada kenderaan import ini dibawa masuk oleh pelajar antarabangsa yang baru mendaftar di institut pengajian tinggi di negara ini.

“Mereka tidak tahu ia menjadi kesalahan jika membawa kereta import tanpa permit import terdahulu. Namun, kita tidak akan berkompromi dengan alasan itu,” katanya.

Mohammad Sabri berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat.

Gambar oleh: Bernama