Tag Archives: kawalan jauh

Berlumba kereta RC untuk kali pertama, ini pengalaman kami!

BAGAIMANA kalau kami beritahu bahawa berlumba kereta RC (kawalan radio/kawalan jauh) sama mengujakan dan memerlukan kemahiran teknikal serupa dengan berlumba kereta sebenar?

Ya, berlumba kereta RC memerlukan anda mahir mengambil selekoh mengikut racing line, tahu di mana untuk memecut atau membrek, dan mempunyai pemahaman teknikal seperti talaan suspensi dan penggunaan tayar sesuai mengikut litar.

Baru-baru ini, penulis menyertai satu perlumbaan RC dan mari kami bawakan perjalanan serta kongsikan pengalaman. Untuk pengetahuan, penulis telah berkecimpung dalam RC secara serius sejak lima tahun lepas (helikopter), dan melibatkan diri dalam RC buggy sejak 2021.

Penulis lebih cenderung terhadap RC off-road buggy dengan litar tidak berturap, biasanya tanah merah, rumput, atau pasir. Buggy yang penulis miliki buat masa ini terdiri dari jenis 4WD dan 2WD.

Perlumbaan santai ‘invitational’ AZRC

Penulis dijemput dalam satu perlumbaan santai yang dianjurkan oleh ScotTuned Acadamy di litar AZRC, Galaxy Mall, Ampang. Perlumbaan invitational ini sebahagian dari sesi latihan atau ‘panas enjin’ sebelum perlumbaan besar-besaran hujung Jun nanti.

Penulis biasa berlumba dengan dua atau tiga rakan terdekat sahaja sebelum ini, dengan catatan masa yang diambil dengan telefon pintar sahaja. Aktiviti riadah petang sahaja senang cerita.

Kali ini di AZRC, dalam acara sebenar, kali pertama kereta RC penulis dipasang dengan transponder iaitu peranti untuk mengira catatan masa dengan tepat hingga 1/1000 saat. Jadi, terasa sangat berbeza semangat dan suasana malam itu. Berdebar pun ada.

Perlumbaan ini adalah kategori street buggy – buggy dengan tayar street untuk permukaan simen dan karpet, dan peserta yang bertanding memandu buggy skala 1/10, 1/12, dan paling kecil 1/14.

DT-02 2WD (kiri), TT-02B 4WD.

Penulis membawa kit 1/10 4WD (Tamiya TT-02B) dan 2WD (Tamiya DT-02), tetapi memilih untuk bersaing dengan kit 4WD. Ini kerana kenderaan 4WD lebih mudah dipandu dan kit TT-02B penulis telah dinaik taraf dengan komponen prestasi, lebih tahan lasak, dan mempunyai lebih banyak alat ganti dalam pasaran.

Masa untuk beraksi

Format perlumbaan santai ini ialah satu sesi latihan, tiga sesi kelayakan, dan tiga sesi perlumbaan. Setiap sesi adalah lima minit.

Dalam sesi latihan, para pelumba akan membiasakan diri dengan litar serta tetapan kereta, sebelum menala kereta untuk kelayakan jika perlu.

Purata catatan masa penulis adalah sekitar 21 saat untuk satu pusingan. Catatan masa terpantas litar AZRC ialah 17 saat, dipandu oleh pelumba berpengalaman yang berlatih di sini beberapa kali seminggu, menggunakan kit perlumbaan khas.

Kemudian dalam sesi kelayakan, catatan masa setiap pelumba akan menentukan grid permulaan dan kumpulan mereka. Kumpulan untuk perlumbaan RC kali ini ialah A-Main dan B-Main.

A-Main untuk empat atau lima pemandu terpantas, dan B-Main untuk baki empat atau lima pelumba lain.

Dalam sesi kelayakan pertama, penulis berjaya mencatatkan masa terpantas 19.387 yang menjadi rekod terbaik penulis secara peribadi. Masalahnya, ini ‘mencampakkan’ penulis dalam A-Main, dan penulis perlu bersaing dengan pelumba-pelumba pro.

Penulis menjadi pelumba paling perlahan dalam A-Main. “Aku dah tempah tempat akhir,” kata penulis berseloroh kepada rakan-rakan pelumba.

Jika penulis termasuk dalam B-Main pasti lebih selesa berlumba.

Tetapi biarlah, penulis ambil ini semua sebagai satu cabaran, pengalaman, dan pembelajaran. Tidak mengharap untuk menang, sekadar menyokong.

Hanya penulis seorang menggunakan kit Tamiya dalam A-Main, lain-lain pelumba menggunakan kit HSP, dan kit-kit perlumbaan khas seperti Schumacher, Associated, dan Yokomo (tidak sempat bertanya model spesifik).

Jika anda dalam dunia RC, anda akan tahu kebanyakan kit Tamiya bukan direka untuk perlumbaan, sebaliknya model yang seronok dipasang dan dipandu santai litar off-road. Jika berlumba pun, kereta-kereta Tamiya RC lebih sesuai berlumba sesama Tamiya, ini lebih seronok.

Kembali ke perlumbaan, selesai sesi latihan dan tiga sesi kelayakan, tibalah masa perlumbaan. Seperti dijangka, penulis tamat di tempat kelima setiap kali.

Dalam setiap sesi lima minit, pemandu terpantas berjaya memperoleh 16 pusingan dengan purata catatan masa 18.347 saat. Tempat kedua dengan 15 pusingan dan tempat ketiga dengan 14 pusingan.

Penulis memperoleh 12 pusingan selepas lima minit dengan catatan masa terpantas 21.257 saat.

Duduk di posisi marshal, memantau kereta yang berlumba sambil makan ais-krim.

Oh ya, satu perkara dalam perlumbaan RC ialah bab marshalling. Kereta biasa terbabas ke luar litar atau terbalik, jadi akan perlukan marshal untuk mengangkat dan meletakkan semula kereta dengan pantas kerana pemandu berdiri di driver stand sahaja.

Biasanya marshal terdiri dari kumpulan yang tidak berlumba pada masa itu. Sebagai contoh, semasa perlumbaan A-Main, pelumba dari B-Main akan menjadi marshal, dan begitulah sebaliknya.

Marshal biasanya akan duduk bersedia di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan seperti di ramp lompatan atau di kawasan selekoh mencabar.

Aspek teknikal perlumbaan RC

Seperti dikatakan tadi, perlumbaan RC juga memerlukan kemahiran dan pemahaman teknikal seperti kereta sebenar. Bukan sekadar guna bateri lebih besar, motor lebih berkuasa, terus kereta akan laju.

Keseimbangan paling penting. Dengan kuasa lebih besar, mampukah tayar, suspensi, dan casis kereta itu mengawalnya? Serupa dengan kereta sebenar. Tiada guna anda sumbat enjin V12 6.0-liter pada Proton Wira jika casis dan tayar tidak dapat menghantar kuasa dengan baik ke jalan.

Aspek-aspek seperti camber dan toe boleh ditala pada buggy RC seperti yang penulis pandu. Tayar juga perlu sesuai dengan litar. Penulis menggunakan all-rounder tayar yang sesuai untuk off-road dan simen, tetapi sudah tentu tidak sebagus tayar khas yang digunakan pelumba lain.

Suspensi juga boleh ditala seperti kekerasan spring dimana anda boleh tukar dengan set lebih keras atau lembut, kemudian penyerap hentak itu sendiri boleh dilaras dengan menukar minyak (kelikatan berbeza) dan omboh (bilangan lubang berbeza).

Untuk lebih penelitian, anda juga boleh melaras differential (pembeda) dengan kelikatan minyak atau keketatan berbeza, bergantung kepada jenis. Untuk kereta yang menggunakan slipper clutch, anda boleh melarasnya untuk disesuaikan dengan cara pemanduan, tahap cengkaman, dan kuasa kereta.

Kesemua talaan ini memberikan respon berbeza terhadap kereta dari segi cara mengambil selekoh, kecenderungan understeer/oversteer, cara melalui permukaan tidak rata, keseimbangan mendarat dari lompatan, atau cara cengkaman keluar selekoh.

Pada alat kawalan jauh pula, sistem radio mempunyai pelbagai lagi talaan yang boleh disesuaikan dengan keadaan litar, jenis kereta, dan cara pemanduan setiap pemandu.

Berapa bajet diperlukan untuk bermain RC?

Perkara yang sering ditanya untuk bermain kereta RC (atau sebarang hobi) pastinya kos. Berapa pengeras diperlukan.

Untuk buggy sebegini, harga adalah antara RM250 untuk skala 1/14 hingga RM3,000 untuk skala 1/8. Penulis menggunakan buggy skala 1/10 yang berharga antara RM500 hingga RM1,000 sebuah.

Tetapi biasanya kereta lebih murah boleh dibeli siap untuk dipandu, lengkap semuanya. Hanya tunggu cas bateri dan anda boleh terus lenjan.

Untuk kit-kit lebih serius seperti yang digunakan untuk perlumbaan, anda perlu memasangnya mengikut manual yang disediakan, kemudian anda boleh masukkan kombinasi motor, ESC, dan sistem radio mengikut spesifikasi dan bajet anda.

Secara umumnya, untuk off-road buggy, penulis sarankan anda membeli skala 1/10 dari jenama pengeluar ternama seperti WL Toys, HSP, Tamiya, Schumacher, Yokomo, Kyosho, Team Associated, Gforce, Armaa, dan Traxxas.

Skala 1/10 kerana pergerakannya lebih realistik dan memuaskan. Pemilihan dari jenama terkemuka kerana anda tidak perlu risau isu alat ganti.

Kesimpulannya, penulis tetap berseronok dari perlumbaan di AZRC tadi. Walaupun tidak menang, penulis telah menimba pengalaman baharu menyertai perlumbaan yang dikawal selia oleh profesional dengan sistem catatan masa sebenar.

Penulis juga rasakan pencapaian ini tidak begitu teruk walaupun kereta penulis bukan ditala khas untuk litar sebegini. Dengan buggy khas off-road, penulis terasa seperti memandu Porsche 911 Dakar berlumba dengan jentera GT3 khas seperti Aston Martin Vantage AMR GT3, Ferrari 488 GT3, atau Lamborghini Huracan GT3.

Bercita-cita jadi juruterbang, lelaki ini bina sendiri kapal terbang di bengkel!

PERNAH bercita-cita menjadi juruterbang, seorang lelaki nekad membina sendiri sebuah kapal terbang di bengkel miliknya.

Mohd Zaki Zahari, 58, yang merupakan anak jati Kampung Senggora, Maran, telah membelanjakan kira-kira RM10,000 bagi membina dan menyiapkan pesawat ringan sejak Mei tahun lepas.

Menurutnya, idea untuk membina pesawat ringan jenis seaplane itu tercetus selepas hampir 34 tahun dia bergiat aktif dalam hobi bermain kapal terbang dan helikopter kawalan jauh (RC).

Malah sepanjang tempoh terbabit, sudah banyak model pesawat RC yang dibinanya menggunakan pelbagai bahan termasuk dari bahan terpakai.

“Dari aspek teknikal, kapal terbang RC hampir sama dengan pesawat sebenar kerana kebanyakan model pesawat yang dibina menggunakan pelan pesawat sebenar dengan mengecilkan skala asal,” katanya.

“Dari situ datang idea kenapa saya tidak membina satu pesawat dengan skala sebenar yang boleh diterbangkan dari dalam kokpit.”

Mohd Zaki menceritakan sebahagian bahan yang digunakan adalah daripada barangan terpakai seperti daripada papan tanda. Namun dia melabur untuk membeli bilah kipas kerana mengambil kira faktor keselamatan.

“Selain itu, saya turut menggunakan enjin kereta Volkswagen Beetle 1,200 cc yang telah dinaik taraf menjadi 50 kuasa kuda dan dijangka pesawat ini mampu terbang dengan kelajuan lebih 60 knot atau 120 kilometer sejam,” ujar beliau.

Pesawat yang dibinanya mempunyai ukuran panjang kira-kira enam meter, panjang sayap sembilan meter dan berat sekarang kurang daripada 200 kilogram (kg) serta dilengkapi dengan ‘Inclinometer’ dan sistem GPS untuk tujuan kawalan ketika penerbangan.

Mohd Zaki menambah, beliau tidak dapat menjangkakan bila pesawat itu dapat disiapkan dan ia juga bergantung dengan keadaan kewangan.

Beliau juga mengakui agak mustahil untuk dirinya sendiri dapat menerbangkan pesawat berkenaan apabila ia siap kelak berikutan kekangan peraturan-peraturan berkaitan penerbangan di negara ini. Namun ia tidak melemahkan semangat beliau untuk menyiapkan sepenuhnya pesawat tersebut.

“Malah sejak tular di platform TikTok baru-baru ini, ada peminat aktiviti ini dari luar negara yang menghubungi saya untuk bertukar pandangan kerana lelaki terbabit juga ada membina pesawat sendiri.

“Selain itu, saya sering bertukar fikiran dan meminta pandangan rakan-rakan terutama mereka yang berkongsi minat dan hobi yang sama.

“Biarpun agak mustahil untuk saya terbangkan pesawat ini disebabkan faktor undang-undang tetapi berharap hasil kerja saya ini dapat diiktiraf atau sekurang-kurangnya menjadi rujukan untuk pelajar dalam bidang kemahiran berkaitan aeroangkasa,” tambah Mohd Zaki lagi.

Kami amat menyokong usaha dan minat yang diceburi oleh Mohd Zaki. Walaupun belum tentu beliau dapat menerbangkan pesawatnya itu sendiri atas faktor lesen dan perundangan, diharapkan ada pihak yang mampu membantunya merealisasikan impiannya itu, seperti menaja beliau mendapatkan lesen juruterbang persendirian.

Kami yakin Mohd Zaki mampu menerbangkannya memandangkan beliau sudah biasa dengan kapal terbang RC, jadi secara kasarnya beliau mempunyai kemahiran dan pemahaman mengenai penerbangan.

Usaha ini juga boleh dijadikan contoh oleh anak muda, lebih baik terlibat dalam bidang sebegini berbanding dalam aktiviti sia-sia seperti lumba haram.

Gambar oleh: Sinar Harian, Facebook

Pesawat Airbus A400M kawalan radio ini terima anugerah Malaysia Book of Records!

SEBUAH kapal terbang kawalan jauh Airbus A400M telah menerima anugerah Malaysia Book Records sebagai Model Pesawat Kawalan Radio Terbesar.

Anugerah itu diterima oleh pemilik Airbus A400M kawalan radio (RC), iaitu Syed Fadley dan pembinanya, Nazrul Hisham Abd Manaf, yang lebih dikenali sebagai Nas Rc di kalangan komuniti kapal terbang kawalan jauh.

Menurut Nazrul yang dihubungi Engear, pensijilan itu dilakukan pada Sabtu, 9 Oktober 2021 dimana beberapa pegawai dari Malaysia Book of Records hadir ke ‘lapangan terbang’ di Telipot International RC Airport, Rawang, Selangor.

“Untuk proses mendapatkan sijil, mereka (wakil Malaysia Book of Records) melakukan ukuran dimensi pada badan model pesawat, kemudian demonstrasi penerbangan perlu dilakukan sekali,” kata Nazrul.

“Video-video sebelum ini tidak sah untuk pensijilan, sebaliknya demonstrasi sebenar diperlukan untuk pengesahan.”

Menariknya, model Airbus A400M RC ini juga dikenakan warna kelabu Ash Grey seperti pesawat sebenar milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), lengkap dengan liveri dan nombor identifikasi M54-01.

Menggunakan bahan EPS foam (gabus), model Airbus A400M ini mempunyai lebar sayap 2.6 meter dan panjang fuselage (badan) 2.9 meter.

Ia dikuasakan oleh empat motor brushless 4250-800KV (menyerupai empat enjin turboprop pesawat sebenar), dengan ESC dari Hobbywing berkuasa 60A dan servo Surpass 17gram.

Dengan dua biji bateri 4S 5000mAh, A400M TUDM ini mampu terbang antara empat hingga enam minit.

Menurut Nazrul, model gergasi ini mengambil masa kira-kira empat bulan untuk dibina.

Nazrul, Syed dan juruterbang lain biasa berkumpul dan terbang di Telipot International RC Airport, Rawang setiap pagi Ahad, dan aktif di kumpulan Facebook DIY RC Plane Group Malaysia.

Untuk maklumat lanjut atau berhubung terus dengan Nazrul, boleh terus ke Facebook beliau, Nas RC.

Tahniah!