Tag Archives: kecurian

Toyota Land Cruiser jadi kegemaran geng pencuri di Jepun tahun 2024

Kita mungkin sudah biasa dengar berita tentang kehebatan Toyota terutama dari segi prestasi jualan dan tahap kebolehpercayaan di kalangan pelanggan.

Namun di Jepun, Toyota dilaporkan mengungguli carta kenderaan yang paling banyak dicuri sepanjang tahun 2024, dengan menguasai sepuluh anak tangga teratas!

Berdasarkan data daripada Japan General Insurance Association, Toyota Land Cruiser (termasuklah model Prado) menjuarai carta untuk tahun keempat berturut-turut.

 

Untuk tahun 2024, sebanyak 688 kes kecurian dilaporkan, merangkumi 27.5 peratus untuk setiap 100 kenderaan yang hilang.

Bermakna, lebih satu daripada empat kenderaan yang dicuri terdiri daripada model Land Cruiser.

Tempat kedua pula disandang oleh minivan Alphard (289 kes), diikuti Toyota Prius (235) di tangga ketiga, Lexus LX di tangga keempat (109), Lexus RX di tempat kelima (89), Toyota Crown (62), Toyota Hiace (43), Toyota Vellfire (38), Lexus LS (34) dan akhir sekali Toyota Voxy (21).

Menurut data, kes kecurian Land Cruiser untuk tahun 2024 dikatakan melonjak tinggi jika dibandingkan dengan tahun 2023 (383 kes), menyumbang kepada jumlah kes kecurian keseluruhan mencecah 2,499.

Pencuri sanggup kopak fender Taycan, bawa lari lampu matriks LED

Kes kecurian komponen kereta bukanlah satu perkara yang asing.

Kebiasaannya, golongan pencuri ini akan menyasarkan komponen yang mudah untuk dibawa lari, seperti contoh set rim sport berharga puluhan ribu, spoiler, serta emblem yang berstatus ‘rare’.

Namun, kes yang berlaku di Düsseldorf, Jerman ini merupakan kes kecurian yang paling brutal pernah terjadi, di mana sebuah Porsche Taycacn Cross Turismo telah dikopak pada bahagian fender hadapan oleh pencuri semata-mata untuk membawa lari unit lampu matriks LED EV tersebut.

Kes kecurian ini mengakibatkan pemiliknya terpaksa menanggung kerugian bernilai lima angka.

Bergantung kepada spesifikasi, kos untuk sepasang unit lampu utama menelan belanja antara $2,829.43 hingga $3,602.11 (RM13,380-RM17,034), tidak termasuk kos penggantian modul dan motor kawalan untuk setiap unit lampu, dan juga kos penggantian fender bernilai $652.96 (RM3,088) setiap satu.

Tembak pencuri motosikal, dua beradik dipenjara 30 tahun

Pasangan adik beradik di United Kingdom telah dijatuhkan hukuman penjara lebih 10 tahun selepas didapati bersalah atas cubaan membunuh pencuri motosikal. 

Christopher dan Colin Nurse masing-masing dijatuhkan hukuman 30 dan 14 tahun penjara susulan insiden yang berlaku pada Mac 2020. 

Menurut laporan, sekumpulan pencuri motosikal telah cuba melarikan dua motosikal jenis Ducati dan Yamaha yang berada di tapak letak kenderaan di Cooper Close, London. Namun, percubaan pertama mereka gagal apabila disergah penduduk setempat. 

Bagaimanapun, dua daripada mereka kembali semula ke lokasi dan ketika itu dua beradik Nurse telah pun bersedia dengan pistol lalu melepaskan tembakan. 

Akibat dari tembakan yang dilepaskan secara melulu terhadap pencuri berkenaan, salah seorang penduduk yang tidak ada kaitan dengan kejadian tersebut mengalami kecederaan tembakan di bahagian kanan. 

Polis menahan adik beradik itu serta merta di rumah mereka selepas menerima laporan.