Tag Archives: kelab kereta

Masak di stesen minyak: Empat individu mengaku bersalah dan didenda RM500 seorang

Laman Bernama melaporkan empat individu termasuk tiga wanita mengaku bersalah atas pertuduhan memasak menggunakan dapur gas dalam kawasan stesen minyak di Genting Highlands 12 Mei lalu.

Kesemua individu yang terlibat telah didenda sebanyak RM500 atau penjara tiga hari oleh Mahkamah Majistret Bentong, hari ini.

Majistret Nadhratun Naiem Zainan menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga kedai makan Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran Ji, 24, pegawai perkhidmatan pelanggan Nurfatin Irdina Shahrulnizam, 24, pembantu pergigian Nur Anis Salleh, 24, dan ejen hartanah Nur Azira Azman, 23, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memasak menggunakan dapur gas dalam kawasan stesen minyak Taman Cendawan, Genting Highlands di sini pada 1.30 pagi, 12 Mei lepas, yang merupakan perbuatan gopoh sehingga membahayakan keselamatan orang lain.

Pendakwaan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya.

Majistret Nadhratun Naiem turut mempersoalkan tindakan kesemua tertuduh melakukan aktiviti memasak di kawasan stesen minyak berkenaan.

Nadhratun Naiem: Bagaimana timbul idea untuk memasak di stesen minyak?

Nurfatin Irdina: Kami tidak bercadang untuk masak di stesen minyak itu sebab nak masak di kawasan lain, tetapi kawasan itu penuh, kami tidak sengaja.

Nadhratun Naiem: Kalau tidak sengaja, kenapa sampai muat naik video dalam media sosial?

Nurfatin Irdina: Kami mengaku itu silap kami.

Nadhratun Naiem: Kamu tidak tahu ke bahaya masak di stesen minyak?

Fadhli Zil Ikram: Kami memang rancang nak masak di Genting Highlands tetapi di luar kawasan stesen minyak itu. Kami ramai-ramai hanya mahu isi minyak dan duduk di situ sekejap. Ia berlaku secara rawak kerana kami lapar dan kami masak di situ kerana kawasan itu agak jauh dari pam minyak, ia (kawasan masak) berhampiran dengan laluan ke tandas. Kami sangka tangki minyak di bahagian lain.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid memohon hukuman denda maksimum terhadap kesemua tertuduh bagi memberi pengajaran selain mengambil kira kesalahan serius sehingga menimbulkan persepsi dan kontroversi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Tertuduh melakukan kesalahan dengan perbuatan gopoh iaitu memasak dengan menggunakan dapur gas di kawasan larangan dan memuat naik video sehingga tular di media sosial.

“Perbuatan tertuduh melakukan aktiviti memasak di kawasan berkenaan boleh menimbulkan bahaya dan kecelakaan bukan hanya kepada tertuduh tetapi juga orang sekeliling di kawasan stesen minyak berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Fadhli Zil Ikram, Nurfatin Irdina, Nur Anis dan Nur Azira yang masing-masing tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dengan alasan menanggung ibu bapa dan keluarga, selain ini merupakan kesalahan kali pertama dan mereka mengakui kesalahan tersebut.

Sebelum ini, tular video di media sosial menunjukkan sekumpulan individu memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas di sebuah stesen minyak sehingga menimbulkan kebimbangan dan kegusaran masyarakat.

Ini 8 kelab kereta antarabangsa bertaraf ‘kayangan’

Kelab kereta merupakan platform yang terbaik untuk peminat kereta berhimpun dan mengeratkan ikatan silaturahim sesama ahli menerusi pelbagai jenis aktiviti yang dijalankan.

Ini termasuk sesi ‘teh tarik’ (sering disebut TT) dan konvoi beramai-ramai ke lokasi yang menarik pada hujung minggu.

Bahkan, menerusi aktiviti-aktiviti ini juga, ahli kelab kereta berpeluang untuk bertukar ilmu dan pendapat tentang jentera masing-masing.

Gambar oleh: The Thermal Club

Di Malaysia, kelab kereta kebiasaannya bersifat santai dan tidak mempunyai ‘markas’ tetap untuk dijadikan lokasi berkumpul setiap hujung minggu.

Namun di luar negara, ada kelab-kelab eksklusif yang bukan sahaja mempunyai café khas untuk ahli-ahli mereka, malah mempunyai litar lumba untuk kegunaan sendiri!

Sudah tentu, untuk menyertai kelab-kelab seperti ini bukan mudah kerana kebanyakannya hanya terbuka kepada pemilik kereta-kereta supercar atau klasik yang bernilai, selain mengenakan yuran pendaftaran yang tinggi. Dengan cara inilah kelab-kelab tersebut dapat menjaga status eksklusif mereka.

 

Classic Car Club Manhattan

Dianggap antara kelab kereta yang paling berprestij di dunia, Classic Car Club Manhattan beroperasi sebagai skim perkongsian kereta (carsharing scheme) di mana para ahli boleh memandu mana-mana kereta dari fleet kelab itu.

Keahlian dibahagikan kepada tiga peringkat, dengan yuran pendaftaran bermula dari $5,000 kepada $15,000 dan yuran bulanan berjumlah $180.

 

Supercar Club Arabia

Bukanlah satu rahsia yang negara-negara Arab mempunyai koleksi kereta-kereta eksotik terbesar di dunia dan oleh itu, tidak hairanlah jika terdapat banyak kelab kereta di sana.

Salah satu daripadanya adalah Supercar Club Arabia (SCCA) yang terletak di UAE. Diasaskan pada 2014, keunikan kelab ini adalah ia sering mengadakan konvoi-konvoi rentas benua seperti dari Pergunungan Alp ke Teluk Oman.

 

Club Sportiva

Dibuka pada 2003, Club Sportiva menggunakan konsep ‘timeshare’ di mana ia mempunyai fleet supercar tersendiri yang boleh digunakan oleh ahli mahupun mereka yang bukan ahli.

Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk pemanduan sejauh 200 km di jalan-jalan pergunungan di sekitar California, menaiki kapal layar serta pelbagai aktiviti lain yang tidak terhad kepada automotif.

 

P1 International Supercar Club

Seperti kebanyakan kelab-kelab kereta eksklusif yang lain, ahli P1 International Supercar Club mempunyai akses kepada pelbagai jenis kereta bertaraf supercar dan eksotik.

Kelab ini dibuka pada 2000 dan beroperasi menerusi dua cawangan di United Kingdom dan satu di Switzerland, namun ahli boleh menggunakan kereta kelab P1 di mana mana lokasi di seluruh dunia termasuk Singapura. Yuran keahlian juga tidak begitu tinggi iaitu sekitar $1,000 setahun.

 

Lou La Vie Members Club

Seperti Club Sportiva, Lou La Vie beroperasi menggunakan konsep ‘timeshare’ bagi memenuhi permintaan sewa kereta mewah yang semakin meningkat di sekitar Miami.

Untuk ahli, mereka bukan sahaja dapat memandu bermacam-macam jenis supercar, malah kereta itu boleh dihantar dan diambil dari mana-mana lokasi, pada bila-bila masa sahaja. Kelab ini menggunakan sistem mata yang boleh dibeli oleh ahli dan ditebus apabila menggunakan kereta.

 

McLaren F1 Owners Club

Sudah tidak perlu diperkatakan lagi yang McLaren F1 merupakan antara supercar yang paling berprestij pernah dihasilkan. Namun jangan salah sangka keahlian kelab ini tidak terhad kepada pemilik model F1 sahaja.

Mana-mana pemilik jentera McLaren boleh menyertainya, asalkan ia tergolong daripada Ultimate Series seperti Elva, Senna, Senna GTR dan juga Speedtail.

 

California Four-Wheel Drive Association

Diakui, kelab-kelab yang disenaraikan setakat ini terhad kepada kereta-kereta mewah, supercar dan eksotik sahaja, namun ini tidak bermakna kelab-kelab untuk SUV dan trak off-road tidak wujud.

Salah satu daripada kelab off-road yang terkenal di Amerika Syarikat merupakan California Four-Wheel Drive Association. Saban tahun, kelab ini menganjurkan aktiviti pemanduan lasak kepada 8,000 ahlinya di California.

 

The Thermal Club

Bayangkan jika terdapat litar lumba di dalam kawasan perumahan anda sendiri. Itulah keistimewaan yang ditawarkan oleh The Thermal Club. Untuk menjadi ahli, anda bukan sahaja perlu membeli hartanah malah perlu membayar yuran pendaftaran bermula dari $85,000 hingga $200,000. Yuran tahunan pula adalah sekitar $20,000.

Memang mahal namun sebagai ahli, anda dapat memandu di litar persendirian serta menikmati pelbagai kemudahan seperti garaj dan juga pusat talaan.