Tag Archives: kelajuan

Hennessey Venom F5 hilang kawalan semasa ujian 400km/j, pemandu selamat

SEORANG pemandu ujian Hennessey terselamat dari kemalangan pada kelajuan 400km/j membabitkan hypercar Venom F5 di Kennedy Space Center, Florida baru-baru ini.

Menurut siaran oleh Hennessey di Instagram mereka, pasukan ujian pada ketika itu sedang menguji tetapan aerodinamik untuk F5 yang berkuasa 1,817hp.

Ia hilang downforce pada kelajuan 250 batu sejam (402km/j) menyebabkan pemandunya hilang kawalan. Apa yang menakjubkan ialah pemandunya terselamat dari kemalangan itu tanpa sebarang kecederaan.

Punca insiden itu tidak dikenal pasti. Hennessey berkata pasukan mereka sedang menganalisis data untuk mencari punca kejadian itu.

“Saya sangat bersyukur kepada pasukan jurutera dan juruteknik kami yang telah merekabentuk dan membina kenderaan yang sangat kukuh,” kata Hennessey dalam satu kenyataan.

“Kami juga berterima kasih kepada pasukan tindak balas pertama dan staf di KSC untuk respon pantas mereka dalam memastikan keselamatan semua pihak.”

Hennessey mendakwa Venom F5 sebagai kenderaan terpantas di dunia, mampu mencapai kelajuan 311 batu sejam (500km/j). Walaubagaimanapun tiada cubaan untuk mencapai kelajuan itu pernah dibuat (setakat ini).

Tiada perincian mengenai keadaan kenderaan atau situasi kemalangan. Diharapkan kerosakannya tidak begitu teruk. Apa pun, kami teruja melihat Hennessey mencapai kelajuan 500km/j suatu hari nanti.

SSC mengaku Tuatara tak sampai pun kelajuan 484.5km/j!

SSC North Amerika membuat kejutan pada Oktober 2020 lepas dengan Tuatara mereka, sebuah hypercar yang didakwa mampu mencapai kelajuan luar biasa untuk kereta biasa.

Gambar: SSC North America

Menurut pengumuman rasmi mereka pada masa itu, pengganti Ultimate Aero itu mencapai 301.07 batu sejam (484.53km/j) dalam satu arah dan 331.15 batu sejam (532.93km/j) pada arah berlawanan. Purata kelajuannya ialah 316.11 batu sejam (508.73km/j).

Ternyata tidak susah untuk pemerhati dengan mata tajam untuk melihat kemusykilan dari rakaman SSC, menimbulkan rasa ragu-ragu terhadap ujian rekod kelajuan Tuatara itu.

Gambar: SSC North America

Pada Januari 2021, satu lagi ujian kelajuan dibuat untuk memperjelaskan keadaan, Tuatara pada masa itu mencatat kelajuan purata 282.9 batu sejam (455.2km/j) selepas memecut pada 279.7 batu sejam (450.1km/j) dan 286.1 batu sejam (460.4km/j).

Kini, SSC mengaku pula mereka tidak pernah memecahkan rekod kelajuan 300 batu sejam, tetapi berjanji untuk melakukannya dengan betul dalam ujian pecutan akan datang.

Gambar: SSC

Dalam satu kenyataan di Instagram, SSC berkata: “Kami ingin menjelaskan bahawa secara rasmi kami tidak mencapai kelajuan yang didakwa sebelum ini iaitu 331 batu sejam, bahkan tidak mencapai 301 batu sejam pada Oktober 2020.”

Syarikat itu berkata ianya “sangat mengecewakan” dengan kegagalan mereka untuk melepasi 300 batu sejam (482.8km/j), tetapi mereka bercita-cita mencapainya “dengan telus, rasmi, dan tanpa ragu-ragu” dalam ujian akan datang.

Cubaan itu sepatutnya dibuat lebih awal, tetapi SSC rancangan mereka terbantut disebabkan satu kemalangan melibatkan trak pembawa kereta yang menunda Tuatara.

Pengasas dan CEO SSC berkata, mereka “telah pulih dari kemalangan itu, dan dalam proses persediaan untuk ujian 300 batu sejam itu.”

Sementara itu, Hennessey dan Koenigsegg juga akan melakukan ujian sama dengan Venom F5 dan Jesko Absolut mereka.

Bugatti pula melaporkan mereka tidak mahu lagi mengejar rekod kelajuan. Jadi Chiron Super Sport+ dengan kelajuan 304 batu sejam (489.2km/j) menandakan satu pengakhiran buat pengeluar dari Molsheim itu. Mereka kini dalam kerjasama dengan Rimac.