Tag Archives: kemalangan jalan raya

Prof UPM warga Asia pertama teraju organisasi keselamatan jalan raya global

PENSYARAH Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Global Alliance badan bukan kerajaan (NGO) bagi keselamatan jalan raya.

Prof Dr Kulanthayan K.C. Mani dipilih memegang jawatan itu untuk tempoh dua tahun sehingga 2024, lapor Bernama.

Fakta lebih membanggakan adalah Kulanthayan merupakan rakyat Malaysia dan warga Asia pertama memegang jawatan itu.

UPM dalam kenyataan dikeluarkan berkata, Kulanthayan memiliki pengalaman serta kepakaran luas dalam aspek keselamatan jalan raya.

“Kulanthayan KC Mani telah menjadi Ahli Lembaga Pengarah (organisasi) sejak 2019.

“Mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Pengangkutan dari UPM pada 2002 dan Diploma Keselamatan Lalu Lintas dari Universiti Lund, Sweden pada 2007.

“Beliau juga penerima Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Prince Michael pada 2017,” menurut kenyataan itu.

Kulanthayan merupakan pengerusi ketiga pertubuhan itu sejak ditubuhkan pada 2011.

Pengerusi pertama dan kedua adalah dari Amerika Syarikat iaitu Jeffrey Witte dan Rochelle Sobel.

Usaha mengurangkan kemalangan jalan raya akan terus diperhebat saban tahun. – Foto fail ihsan JBPM

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga adalah ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) sejak 2013.

Selain itu, Kulanthayan juga merupakan Ahli Gabungan Keselamatan Jalan Raya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sejak 2020.

Terdahulu, Kulanthayan berjanji melakukan yang terbaik ke arah mencapai sasaran pengurangan 50 peratus jumlah kematian dan kecederaan.

Sasaran itu selaras dengan Pelan Global untuk Dekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya 2021-2030.

Rangkuman berita: PM gusar belia ramai maut kemalangan jalan raya

STATISTIK kemalangan jalan raya menunjukkan golongan belia mencatatkan kematian tertinggi di negara ini.

Perkara itu didedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut bimbang dengan keadaan tersebut.

Jelasnya, secara purata lebih 50 peratus kadar kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan golongan belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto fail ihsan Malay Mail

“Golongan belia mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu secara purata 7,077 kes mencecah hampir 50 peratus daripada kadar kematian akibat nahas jalan raya.

“Golongan muda terdedah kepada risiko lebih tinggi ketika berada di jalan raya… ini adalah cabaran utama untuk membendungnya,” katanya seperti dilaporkan portal Berita Harian.

Semalam, Ismail ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Kompleks Rakan Muda Bera, Pahang.

Berdasarkan rekod kemalangan jalan raya, 14,308 kes kematian pada tahun 2019 hingga 2021 melibatkan belia.

Ia sudah pasti membimbangkan banyak pihak kerana jumlah itu adalah hampir separuh daripada kes kematian jalan raya sepanjang tiga tahun lalu.

Pelanggan, pekerja cemas kereta dan pam minyak terbakar di Rantau Panjang

Pelanggan serta pekerja sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan berdepan detik cemas apabila sebuah kereta terbakar sekitar jam 8.30 pagi tadi.

Kebakaran turut menyebabkan sebuah pam minyak musnah 100 peratus dan mencederakan seorang lelaki.

Memetik laporan Kosmo, para pelanggan di stesen tersebut bertindak menyelamatkan diri sambil ada di antara pekerja cuba memadamkan kebakaran.

Pasukan bomba yang tiba sejurus menerima panggilan kecemasan kemudian berjaya memadamkan kebakaran dengan mengambil masa kira-kira tiga minit.

Setakat ini, punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Op Selamat 17: Kes kemalangan di Selangor cecah lebih 1,592

OP Selamat 17 diadakan Polis Kontijen Selangor mencatatkan lebih 1,592 kes kemalangan jalan raya.

Operasi sejak 28 Januari lalu itu dibuat sebagai pemantauan pihak polis terhadap aliran trafik bersempena perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed. – Foto ihsan Malay Mail

Ketua Polis Selangor berkata, jumlah kemalangan pada operasi kali ini mencatatkan hasil positif apabila ia menurun 31.2 peratus berbanding Op Selamat 16.

Jelas Datuk Arjunaidi Mohamed, operasi sebelum ini mencatatkan 2,313 kes iaitu 721 lebih banyak berbanding Op Selamat 17.

“Statistik tahun ini juga mencatat kes kemalangan rosak yang tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan sebanyak 1,565.

“Kemalangan ringan 15 dan 10 kes masing-masing kemalangan maut,” katanya seperti dilapor portal SelangorKini.

Anggota keselamatan sedang melakukan pemeriksaan jalan raya. – Foto oleh Shafwan Zaidon

Saban tahun, polis melakukan operasi jalan raya ketika sambutan perayaan bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kesalahan trafik.

Sementara itu, polis Selangor turut melakukan kajian terperinci bagi mengenalpasti kawasan berisiko tinggi kemalangan.

“Setiap hari kajian dilakukan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan tumpuan diberikan di sekitarnya.

“Setakat ini lapan lokasi tumpuan dikenal pasti,”katanya lagi.

Op Selamat kali ini melibatkan penyertaan 300 pegawai dan anggota trafik seluruh negeri Selangor.

Operasi kali ini difahamkan akan tamat pada 6 Februari 2022.

PBB dedah korban nahas jalan raya setiap 24 saat seluruh dunia!

PERTUBUHAN Bangsa Bersatu (PBB) menggesa langkah keselamatan di jalan raya dipertingkat berikutan kes kemalangan kian membimbangkan.

Setiausaha Agungnya António Guterres berkata, statistik menunjukkan kemalangan jalan raya seluruh dunia berlaku pada setiap 24 saat.

“Setiap 24 saat berlaku korban akibat nahas jalan raya.

“Sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia diadakan bagi mengenang kematian tragis berjuta-juta orang,” katanya.

Guterres berkata demikian dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia.

Tema tahun ini menekankan kepentingan mengurangkan had laju di jalan raya untuk mengelak kematian dan kecederaan serius.

Terdahulu, Guterres menggesa para syarikat menyokong sebarang usaha untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

“Saya menggesa setiap negara, syarikat dan rakyat untuk menyokong usaha tempatan dan global bagi menjadikan jalan raya lebih selamat, terutama di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang mencatat lebih 90 peratus kematian.

“…sementara kita menanti mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB tahun depan untuk meningkatkan langkah keselamatan jalan raya, marilah kita mengingatkan bahawa setiap daripada kita berperanan memastikan jalan raya yang selamat,” katanya lagi.

Sambutan itu dirai pada Ahad ketiga November setiap tahun sebagai memperingati mangsa nahas jalan raya dan waris keluarga.

Ia dimulakan badan amal mangsa kemalangan jalan raya Britain RoadPeace pada 1993.

AS wajibkan pemasangan alat kesan pemandu mabuk pada kenderaan baharu

PELBAGAI usaha dilakukan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bagi mengatasi kemalangan jalan raya akibat kecuaian pemandu di bawah pengaruh alkohol.

Terbaharu, Kongres Amerika Syarikat meluluskan undang-undang mewajibkan pemasangan alat pemantauan pemandu mabuk bagi setiap kenderaan baharu bermula tahun 2026.

Lapor Business Insider, alat itu perlu berfungsi dengan mengesan cara pemanduan sekaligus mengetahui sama ada pemandu berada di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya.

Jika pemandu didapati mabuk, alat tersebut secara automatik akan mengehadkan operasi kenderaan.

Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan AS masih belum memutuskan teknologi sesuai untuk pemasangan dalam kenderaan selain, memberi masa kepada pengeluar membuat kajian lanjut.

Berdasarkan data National Highway Traffic Safety Administration, satu pertiga daripada kes kemalangan di AS adalah berpunca daripada pemandu mabuk.

Dianggarkan 10,000 individu maut sejak 2010 sehingga 2019 akibat pengaruh aklkohol sekaligus melahirkan kebimbangan kepada pihak berkuasa negara itu.

Kemalangan jalan raya: 92 Tapir Malaya maut dalam tempoh enam tahun

STATISTIK kemalangan jalan raya bukan sahaja menunjukkan angka membimbangkan kepada orang ramai malah turut mengancam spesis Tapir Malaya.

Memetik laporan Bernama, lebih 92 ekor spesies itu dilaporkan mati sepanjang tempoh 2015 hingga 2020.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, lebih 24 ekor Tapir Malaya mati akibat kemalangan jalan raya tahun lalu.

Sedih dengan perkara itu, Shamsul mendedahkan antara kes dicatatkan termasuk di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu.

Tapir Malaya merupakan satu daripada lima spesies utama terbesar di dunia.

Ia merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Setiap tahun, dunia menyambut sambutan Hari Tapir Sedunia pada 27 April.