Tag Archives: kemalangan maut

Pelajar perakaunan maut, motosikal dinaiki bertembung Perodua Alza makan jalan

Seorang pelajar cemerlang dalam bidang perakaunan maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat – Ampang pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, kemalangan yang membabitkan empat motosikal dan dua kereta itu berlaku pada jam 4.45 petang.

Ketika kejadian, empat motosikal dinaiki enam individu termasuk dua pembonceng serta sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.

“Sebuah kereta jenis Perodua Alza yang datang dari arah Ampang telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan sehingga menyebabkan salah seorang penunggang motosikal tercampak dan jatuh di tepi jalan.

“Akibat kemalangan itu, seorang lelaki berusia 20 tahun yang menunggang sebuah motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Lima lagi penunggang dan pembonceng motosikal yang lain cedera dan di bawa ke Hospital Ampang untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pemandu kedua-dua kereta tidak cedera. Semua yang terbabit kemalangan berusia 17 hingga 38 tahun.

“Buat masa ini kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca bagaimana Perodua Alza terbabit boleh masuk ke laluan bertentangan.

“Kenderaan terbabit akan dihantar untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Naazron berkata pemandu Perodua Alza, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan dan akan direman hari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115,” katanya.

Untuk pengetahuan pembaca, Allahyarham Aysar Zahran bin Saiful Alimin yang meninggal dunia dalam kemalangan ini merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR).

Orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun berikut:

Maybank
Persatuan Alumni Semashur
No. Akaun: 564397202247
REF: Aysar Zahran 1822

Tabung sumbangan akan ditutup pada:
Jumaat, 7 Februari 2025
Jam 6 petang

Empat sekeluarga maut dalam nahas di Lebuhraya PLUS

KEMALANGAN melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori tanah di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan menyebabkan empat sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera parah.

Dalam kejadian yang berlaku awal pagi Selasa itu, Azriyani Abdul Latif, 45 tahun, dan tiga anaknya, Muhammad Azib Nasaruddin, 23 tahun, Siti Nur Aminah, 8 tahun, dan Ahmad Uwais Qorni, 5 tahun meninggal dunia.

Sementara itu, seorang lagi anaknya yang dikenali sebagai Muhammad Fawwaz, 7 tahun, cedera parah.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.06 pagi.

Beliau berkata kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang melanggar bahagian belakang lori muatan tanah jenis Volvo. Impak pelanggaran menyebabkan kereta itu terbakar di bahagian bonet.

Katanya, terdapat dua mangsa yang tersepit dan kebakaran dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api.

“Mangsa yang terlibat adalah enam orang. Empat disahkan maut oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala seorang dibawa ke Hospital Tapah oleh anggota EMRS Gopeng.

“Terdapat mangsa yang maut telah melecur di bahagian anggota badan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkannya kepada pihak polis dan ambulans. Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, kereta tersebut dipandu Muhammad Azib dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, apabila sampai ditempat kejadian kereta berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori di lorong sebelah kiri.

Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kampar pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Buat pusingan U haram hingga sebabkan kematian, pemandu warga China dipukul orang awam

SEORANG warganegara China cedera dipukul orang awam kerana didakwa melanggar seorang penghantar makanan sehingga maut ketika melakukan pusingan ‘U’ secara haram di Jalan Klang-Banting-Port Dickson baru-baru ini.

Menurut Utusan Malaysia, lelaki berusia 53 tahun itu memandu trak pikap jenis Toyota Hilux ketika kejadian. Perbuatannya mengakibatkan pemandu sebuah Daihatsu Charade hilang kawalan ketika cuba mengelak lalu bergesel dengan sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata pergeseran itu menyebabkan penunggang motosikal jenis SYM 110 itu terjatuh sebelum digilis sebuah lori. Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian.

“Ini menyebabkan sebuah kereta Daihatsu Charade yang dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah sama terpaksa masuk ke lorong kiri untuk mengelak daripada melanggar Hilux tersebut.

“Namun, pemandu Daihatsu Charade memasuki lorong berkenaan tanpa melihat dahulu keadaan lalu lintas di sebelah kiri, lantas mengakibatkan pelanggaran dengan motosikal yang ketika itu ditunggang dekat lorong berkenaan,” katanya.

Warganegara China itu kemudiannya dipukul orang awam yang dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakannya. Beliau mengalami kecederaan ringan namun menurut Ahmad Ridhwan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

Tambah Ahmad Ridhwan lagi, suspek yang tidak memiliki lesen memandu yang sah telah disaman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dia juga disiasat di bawah Seksyen 41(1) akta sama.

Kertas siasatan kes berkenaan akan dimajukan kepada timbalan pendakwa raya setelah mendapat laporan pakar untuk membuat pertuduhan kes.

Motosikal terbabas, abang serta adik berusia empat tahun maut

SEORANG remaja 15 tahun dan adiknya yang baru berusia 4 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, semalam.

Insiden berlaku di Jalan Air Tanai, Ayer Pa’abas dekat Alor Gajah.

Mangsa Zahrul Fitri Amer serta adiknya Afiq Wafiy Amer menaiki sebuah motosikal sebelum terbabas dan melanggar sebuah tembok batu.

Siasatan awal mendapati kedua mangsa menetap di Taman Kebaya, Kampung Paya Datok keluar menaiki motosikal milik bapa mereka untuk ke kedai berhampiran.

“Bapa mangsa memaklumkan polis bahawa kedua-dua anaknya itu tidak memakai topi keledar.

“Motosikal ditunggangi Zahrul dari arah Alor Gajah menghala ke Ayer Pa’abas terbabas lalu melanggar tembok batu,” memetik kenyataan polis.

Kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Kes kemalangan maut di Ipoh, polis selesai kertas siasatan

PEMANDU lori yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Ipoh kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis dalam satu kenyataan berkata, pemandu lori terbabit dibebas selepas kertas siasatan insiden selesai dilengkapkan.

Sebelum ini, polis turut mengambil keterangan pemandu lori berusia 44 tahun bagi membantu siasatan nahas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kelmarin, seorang wanita maut di Jalan Chemor-Jelapang selepas kereta dipandu dirempuh lori yang terbabas memasuki laluan bertentangan.

Noor Aishah Mohd Tahir, 26, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan sekitar jam 10.30 pagi itu.

Warga emas tunggang Honda EX5 maut ditimpa pokok tumbang

Sebatang pokok yang tumbang di Taman Universiti, Tanjung Malim menyebabkan seorang warga emas maut.

Kejadian berlaku sekitar jam empat petang semalam.

Menurut laporan Bernama, mangsa dikenali sebagai Chin Kock Heng.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, mangsa ditimpa pokok ketika menunggang sebuah motosikal.

“Anggota bomba tiba di lokasi kejadian mendapati sebatang pokok tumbang menghalang jalan raya dan menghempap seorang penunggang motosikal,” memetik satu kenyataan.

Chin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Anggota bomba turut melakukan pembersihan dan pemotongan pokok dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Operasi pembersihan selesai sekitar jam 5.32 petang.