Tag Archives: kemalangan

Proton Wira bertembung Yamaha Y150, tiga maut

KEMALANGAN membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Kuala Nerang-Semeliang menyaksikan tiga individu maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki.

Insiden jam 4.15 petang semalam melibatkan kenderaan jenis Proton Wira dan motosikal jenis Yamaha Y150 atau Y15.

Memetik laporan media, mangsa meninggal dunia adalah pemandu kereta dan seorang penumpang serta penunggang motosikal.

Siasatan polis mendapati kemalangan berlaku apabila kereta terbabit terbabas sebelum melanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Cegah kemalangan, guna kamera kenderaan pantau rider p-hailing?

BAGAI telur dihujung tanduk.

Demikian peribahasa sesuai digambarkan bagi nasib penunggang motosikal p-hailing yang berdepan risiko kemalangan saban hari.

Statistik kemalangan jalan raya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menunjukkan, 1,684 kes kematian dicatatkan membabitkan penunggang motosikal p-hailing.

Jumlah ini amat membimbangkan memandangkan ia dicatatkan hanya dalam tempoh sembilan bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Justeru, apakah menjadi punca utama kepada permasalahan ini?

Tidak dinafikan terdapat pelbagai sebab mengapa perkara ini berlaku.

Antara faktor penyumbang termasuk struktur jalan raya, cuaca dan sikap pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, apa yang menarik minat penulis adalah bagaimana sikap pengguna jalan raya menjadi penyumbang kepada kemalangan.

Kajian Institusi Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati 70 peratus penunggang p-hailing melakukan kesalahan lalu lintas ketika bertugas.

Antaranya termasuk:-

  • Berhenti di petak kuning
  • Melanggar lampu isyarat merah
  • Menggunakan telefon bimbit ketika menunggang

Maka, satu tindakan tuntas perlu dilakukan bagi mengelak lebih banyak kematian membabitkan pekerja p-hailing.

Penulis mencadangkan agar kesemua penunggang p-hailing diwajibkan melakukan pemasangan kamera pada motosikal masing-masing.

Mungkin kedengaran agak sukar untuk dilaksanakan memandangkan ia melibatkan kos dan masa.

Namun, tidak mustahil untuk ia dilaksanakan di masa hadapan.

Kerajaan dan pihak pengusaha syarikat penghantaran perlu memikirkan pelaksanaan terbaik terutama membabitkan kos pemasangan kamera.

Bagi penulis, tidak cukup sekadar kempen keselamatan jalan raya kerana menjadi fitrah manusia kadang kala hanya menjadi lebih disiplin apabila dipantau.

Pokok pangkal, usaha lebih serius perlu diambil pihak terlibat dalam mengatasi masalah ini.

Jangan kerana kemalangan jalan raya ibu kehilangan anak, isteri kehilangan suami dan anak kehilangan bapa.

Fikir-fikirkan!

Nash kemalangan, Toyota Harrier langgar penghadang jalan

PENYANYI veteran Datuk Jamaluddin Elias atau Nash cedera ringan selepas terbabit dalam satu kemalangan di KM250.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara berhampiran Senawang.

Insiden berlaku petang semalam ketika penyanyi itu dan pemandunya dalam perjalanan pulang ke ibu negara dari Johor.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku selepas kenderaan jenis Toyota Harrier dinaiki melanggar lopak air sebelum menghentam tembok penghadang jalan.

Akibat kemalangan, Nash mengalami luka pada muka dan sakit dada manakala pemandunya mengalami luka-luka ringan.

Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.

Lori tangki kemalangan, Plaza Tol Juru ‘dibanjiri’ minyak sawit

KEMALANGAN membabitkan sebuah lori tangki minyak sawit menyebabkan kesesakan luar biasa di Plaza Tol Juru arah utara dekat Seberang Perai.

Memetik laman Facebook Penang Kini, insiden berlaku selepas lori terbabit dikatakan terlanggar penghadang besi plaza tol berkenaan.

Menerusi foto dikongsi di media sosial, kelihatan kawasan sekitar kemalangan dilimpahi minyak sawit susulan berlaku kebocoran pada tangki muatan lori itu.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berwajib berhubung insiden itu.

Bagaimanapun, di media sosial rata-rata orang ramai mempersoalkan tindakan pemandu lori yang didakwa cuai.

Terdapat juga individu meluahkan rasa simpati kepada pemandu lori yang berkemungkinan dikenakan tindakan oleh pihak majikan.

Tesla tanpa pemandu rempuh pokok, dua individu maut

SATU kemalangan ngeri membabitkan kenderaan teknologi tinggi Tesla berlaku di Houston, Amerika Syarikat.

Kemalangan melibatkan model Tesla S 2019 mengorbankan dua nyawa.

Memetik laporan media, kemalangan berlaku ketika kenderaan itu berada dalam mod tanpa pemandu atau autopilot.

Kedua mangsa maut di tempat kejadian selepas kenderaan itu melanggar sepohon pokok sebelum terbakar.

Pihak berkuasa mengesahkan, tiada individu duduk di tempat pemandu ketika kemalangan berlaku.

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada Tesla berhubung kemalangan berlaku.

Beberapa kemalangan direkodkan sebelum ini membabitkan kenderaan syarikat itu sekaligus menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna.

Wanita alami detik cemas SUV bertembung lori

PANTANG maut sebelum ajal.

Demikian dapat disimpulkan nasib seorang wanita yang hampir kemalangan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu bertembung dengan sebuah lori.

Menerusi video dimuat naik akaun Twitter MyWatch, SUV wanita itu dilihat bertembung dengan sebuah lori yang sedang memotong kenderaan lain.

Tindakan pantas wanita terbabit mengelak daripada bertembung dengan lori itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan nyawanya.

Agak kurang bernasib baik, SUV wanita itu tetap mengalami kerosakan kemek pada bahagian sisi belakang kerana bergesel dengan lori terbabit.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan lokas insiden berlaku.

Rata-rata warga maya mengkritik cara pemanduan berbahaya pemandu lori selain berharap identiti pelaku dapat dikesan pihak berkuasa.

Pemandu, kelindan maut treler bawa bongkah batu terbabas

DUA individu maut selepas treler muatan bongkah batu yang dinaiki terbabas dalam satu kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak, semalam.

Laporan polis mendedahkan dua mangsa maut merupakan pemandu dan kelindan treler terbabit.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler tersebut yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.

Kes disiasat menurut Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Blind spot punca kemalangan, ini tips perlu anda tahu!

TITIK buta atau blind spot seringkali menjadi punca berlaku kemalangan.

Walaupun pelbagai cara dilakukan pihak berwajib untuk menerangkan mengenai bahaya blind spot namun, masih banyak pemandu kurang memahami mengenai perkara ini.

Justeru, artikel kali ini EnGear ingin kongsikan kepada anda mengenai blind spot dan kaedah mengatasinya.

Blind spot dan tips atasinya

Apakah itu Blind Spot?

Blind spot adalah kawasan terlindung di bahagian kiri dan kanan kenderaan.

Ia terlindung dari penglihatan walau menggunakan cermin sisi dan cermin pandang belakang kenderaan.

Situasi ini sering terjadi apabila anda ingin memotong dan secara tiba-tiba terdapat kenderaan lain betul-betul berada rapat di sebelah kenderaan anda.

Jadi, apakah anda perlu lakukan?

Langkah pertama, anda perlu melaraskan cermin sisi kanan dan kiri kenderaan dengan menghala ke arah luar bagi mengurangkan blind spot.

Kedua, laraskan cermin pandang belakang sehingga dapat melihat keseluruhan bahagian belakang kenderaan anda.

Ketiga, sebaik anda melakukan pelarasan cermin sisi dan cermin pandang belakang maka ujilah kedudukan blind spot di jalan raya.

Semasa memandu, tumpukan juga perhatian pada kenderaan di belakang anda.

Sebaik-baiknya, beri laluan untuk kenderaan belakang anda untuk memotong dan pastikan ia berada dalam medan penglihatan pada cermin sisi.

Menerusi kaedah ini, anda boleh memandu dengan selesa memandangkan kedudukan kenderaan lain boleh dilihat dengan jelas.

Pada masa sama, ia juga membantu anda untuk menukar lorong termasuk ketika mengundurkan kenderaan.

Terus utama keselamatan dan selamat memandu!

Kongsi foto kemalangan di media sosial, apa niat kita?

BUDAYA mengambil foto atau video kemalangan dan dikongsikan di platform media sosial dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Tindakan itu bukan sahaja mengundang aib kepada mangsa dan keluarga malah, lebih membimbangkan mampu memberi persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Apakah yang dimaksudkan dengan persepsi negatif?

Sebagai contoh, wujud seakan sindiran atau kadang kala menjadi ‘bahan’ ketawa di media sosial setiap kali berlaku kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Myvi.

Wujud golongan yang menganggap bahawa kebanyakan pemandu Perodua Myvi ‘bermasalah’ dalam pemanduan sehingga sering menjadi punca kemalangan.

Mengapakah perkara ini berlaku? Sudah pasti tidak lain semuanya kerana sikap masyarakat yang gemar berkongsi foto atau video di media sosial sehingga ia menjadi tular.

Foto sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi ‘terbang’ tular di media sosial. – Foto ihsan Twitter/Aeril Zafrel

Kemalangan jalan raya: Apa sikap kita?

Kes kemalangan jalan raya boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari di negara kita. Tidak dinafikan insiden seperti itu adakala boleh mengundang rasa cemas dan trauma kepada mangsa terlibat. Ia akan menyebabkan seseorang tidak mampu berfikir secara rasional apatah lagi mengambil langkah wajar bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Justeru, di sini kami kongsikan kepada anda langkah-langkah yang perlu dilakukan jika berada di lokasi kemalangan.

  • Tindakan pertama perlu dilakukan adalah menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan
  • Jangan alihkan mangsa jika mengalami kecederaan parah. Ini penting untuk mengelak mangsa mengalami kecederaan lebih teruk
  • Pastikan kenderaan anda tidak menghalang lalu lintas bagi mengelak kesesakan jalan raya
  • Beri kerjasama kepada pihak berkuasa seandainya diperlukan untuk menjadi saksi kejadian
Insiden kemalangan di Bayan Lepas, Pulau Pinang tular selepas seorang lelaki memandu Perodua Myvi dipersalahkan walaupun bukan penyebab berlaku insiden terbabit.

Jadi, berbalik kepada persoalan apakah kita langsung tidak boleh mengambil foto kemalangan?

Pada pandangan kami, anda tidak perlu berbuat demikian. Ia bukan sahaja akan memberi aib kepada mangsa malah boleh menimbulkan lain-lain masalah terutama kesesakan jalan raya.

Mungkin ada yang tertanya tidakkah foto itu penting untuk dijadikan bahan bukti untuk pihak berkuasa jalankan siasatan?

Jawapannya, kita serahkan tugas mengambil foto itu kepada pihak polis yang lebih arif.

Bagaimanapun, jika kebetulan kenderaan anda dilengkapi kamera dan merakam insiden kemalangan maka, tidak perlu ditularkan kejadian tersebut.

Cukuplah jika anda serahkan video yang dirakam kepada pihak berkuasa untuk tujuan siasatan.