Tag Archives: kemas kini

Volvo XC60 2026 dikemas kini, jeriji baharu, skrin infohibur lebih besar

SUV premium saiz pertengahan Volvo XC60 generasi kedua telah pun wujud di pasaran sejak 2017 lagi.

Model Volvo yang paling laris terjual ini telah dikemas kini untuk model tahun 2026, membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik dengan elemen yang dipinjamkan daripada XC90.

Seperti contoh, struktur jeriji yang telah direka semula, diikuti dengan unit lampu belakang yang lebih gelap, serta pilihan rekaan rim baharu.

Selain daripada itu, Volvo XC60 juga kini ditawarkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu Forest lake dan Aurora Silver, serta warna Mulberry Red untuk pertama kalinya.

Masuk ke dalam ruang kabin, XC60 dilengkapi dengan skrin infohibur bersaiz lebih besar (11.2 inci), disokong dengan perisian terkini, kemas kini over-the-air (OTA), dan perkakasan yang telah dinaik taraf.

Terima kasih kepada penggunaan Snapdragon Cockpit Platform generasi baharu daripada Qualcomm, sistem infohibur ini jauh lebih pantas berbanding sistem sedia ada.

Tiada sebarang perubahan dibuat pada penawaran enjin, bermakna XC60 masih kekal dengan varian B5 hibrid ringan berkuasa 250 PS, T6 PHEV berkuasa 350 PS atau T8 PHEV berkuasa 461 PS – tertakluk kepada pasaran.

Gran Turismo 7 Update 1.54 ada sediakan jentera klasik F1 Mercedes!

Polyphony Digital selaku pembangun permainan simulasi Gran Turismo 7 mengumumkan Update 1.54 (bersaiz 32GB!) yang boleh dimuat turun awal oleh pengguna PlayStation 5, dan untuk semua pemain bermula 21 November 2024.

Kemaskini terbaharu ini membawakan lima kereta baharu untuk dimainkan, termasuklah sebuah jentera Formula Satu klasik tahun 1955, iaitu Mercedes-Benz W196 R.

Mengikut spesifikasi, W196 R dikuasakan oleh enjin lapan silinder sebaris bersesaran 2,496 cc dengan kuasa 257 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 247 Nm @ 6,300 rpm, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 290 km/j.

Empat lagi kereta baharu yang bakal ditawarkan termasuklah Ford Escort RS Cosworth 1992 yang sangat sinonim dengan spoiler ekor ikan paus, Porsche Mission X 2023, Suzuki Jimny Sierra JC 2018 (lebih lebar berbanding keicar Jimny XC), dan Porsche 911 Turbo S 2020.

Selain itu, terdapat Extra Menu koleksi Ferrari yang ditambah pada menu Cafe, jenama rim baharu Rofiform, serta acara baharu seperti Jimny Cup (Grand Valley – South), Porsche Cup (Laguna Seca) dan Race of Turbo Sportscars (Panorama Circuit).

 

 

Ford Escort RS Cosworth 1992

Mercedes-Benz W196 R 1955

Porsche 911 Turbo S 2020

Porsche Mission X Concept 2023

Suzuki Jimny Sierra JC 2018

BMW M3 Competition xDrive 2025, kuasa 523 hp tapi rupa depan kurang garang

BMW akhirnya mengemas kini penawaran model sedan pantas M3 untuk model tahun 2025.

Kemas kini pertengahan kitaran tersebut membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik yang tidak begitu ketara, namun menjadikannya kurang garang berbanding penawaran terdahulu.

 

 

Seperti contoh, unit lampu utama yang telah direka semula dengan grafik LED yang lebih ringkas, rim aloi tempa dengan kemasan baharu, serta logo dengan kemasan luaran perak untuk M3 Competition.

Ada duit ekstra? Anda boleh mendapatkan pakej M Carbon Exterior yang menambah komponen CFRP seperti inlay liang kemasukan udara hadapan, perumah cermin sisi, diffuser serta spoiler belakang, serta opsyen untuk menambah brek seramik karbon, tempat duduk bucket M Carbon, roda stereng balutan Alcantara dan trim gentian karbon.

 

 

Untuk ruang kabin, BMW M telah meringkaskan lagi kokpit dengan mengurangkan butang fizikal, diikuti dengan roda stereng tiga jejari bawah rata, serta skrin sebesar 12.3 inci dan 14.9 inci yang dikawal oleh BMW Operating System 8.5.

Selain itu, terdapat juga penggunaan bahan yang lebih premium, seperti kemasan Sensatec dan Aluminum Rhombicle Anthracite, serta opsyen M Carbon Fiber dan M Fine Brushed Aluminum.

Tidak seperti Mercedes-AMG C 63 yang mahu tunjuk kuasa dengan enjin hibrid empat silinder sebaris, kesemua model M3 mengekalkan penawaran enjin enam silinder sebaris 3.0 liter berkuasa 473 hp yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan dan pacuan roda belakang, atau 503 hp dalam trim M3 Competition dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat, sementara model tiga pedal pula sepantas 4.1 saat.

 

 

Mahukan opsyen yang lebih berkuasa, pilih sahaja M3 Competition xDrive, di mana BMW M telah ‘mengurut’ semula unit rangkaian kuasa itu supaya mampu menjana kuasa setinggi 523 hp (+20 hp) dan daya kilas puncak 649 Nm yang masuk antara 2,750 hingga 5,730 rpm.

Dalam versi ini, M3 Competition xDrive berupaya memecut sepantas 3.4 saat dari pegun ke 100 km/j.

Produksi BMW M3 2025 hanya akan bermula pada bulan Julai 2024 di kilang BMW Munich, Jerman.

 

Dua kereta Volvo tersedia dalam Gran Turismo 7 – V40 T5 R-Design dan wagon klasik 240!

Polyphony Digital selaku pihak pembangun permainan simulasi video pemanduan Gran Turismo 7 mengumumkan Update 1.48 yang boleh dimuat turun bermula hari ini (30 Mei 2024).

Tidak seperti kemas kini yang terdahulu, GT7 Update 1.48 menawarkan sehingga lima kereta ‘baharu’ yang boleh dipandu, di mana dua daripadanya menandakan kemunculan semula jenama Sweden ke dalam permainan tersebut.

 

 

Dua kereta yang dimaksudkan ialah Volvo V40 T5 R-Design tahun 2013 yang dikuasakan oleh enjin inline-5 250 hp, diikuti sebuah wagon klasik Volvo 240 SE Estate 1993.

Para peminat kereta klasik Jepun boleh menikmati tiga model yang ditawarkan, iaitu Honda Civic SiR-II 1993, Honda NSX GT500 2000, serta Nissan Skyline GTS-R (R31) 1987.

 

 

Selain daripada lima kereta baharu, Polyphony Digital turut mengemas kini menu baharu dengan menambah perkara berikut:
-Extra Menu No. 39: Racers of Japanese GTs (khusus untuk pemain Level 48 ke atas)
-Empat acara perlumbaan baharu dalam World Circuits
-Larasan sudut kamera baharu dalam menu Scapes

 

 

Honda Civic SiR-II 1993

 

Honda NSX GT500 2000

 

Nissan Skyline GTS-R (R31) 1987

 

Volvo 240 SE Estate 1993

 

Volvo V40 T5 R-Design 2013