Tag Archives: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

Keputusan ‘Lemon Law’ dibentang di Parlimen Mac tahun depan

AKTA baharu atau pindaan undang sedia ada berkait ‘Lemon Law’ akan dibentang di Parlimen seawal penggal pertama tahun depan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali, dalam merealisasikan hasrat itu, pihaknya telah melantik pakar perunding dalam menjalankan kajian pewujudan perundangan berkaitan ‘Lemon Law’ bermula bulan ini hingga September.

Tambah beliau, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa.

“Di Malaysia, peruntukan perundangan bercirikan ‘Lemon Law’ berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal dan pengilang untuk barangan yang tidak mematuhi gerenti termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dibawah kawal selia KPDN.

“Selain daripda Akta 599, beberapa perundangan lain seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967 turut mempunyai peruntukan undang-undang yang mempunyai komponen ‘Lemon Law’,” katanya.

 

Jelasnya, hasil kajian ini akan dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar diperingkat kementerian untuk menetapkan hala tuju pewujudan rangka kerja perundangan baharu bagi memperkukuhkan hak pengguna.

“Ini termasuklah keputusan untuk membuat penambahbaikan perundangan sedia ada iaitu Akta 599 atau pewujudan perundangan baharu,” ujarnya.

Sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamatkan, Armizan berkata pihaknya melaksanakan dua strategi interim berkuatkuasa 1 Jun bagi pendayaupayaan perlindungan pengguna iaitu penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor.

Strategi lain juga adalah dengan pengukuhan proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara.

“Dua strategi interim ini merupakan intervensi oleh kerajaan untuk membantu pengguna apabila tuntutan awal mereka dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan,” jelasnya.

Gagal kemuka maklumat pembaikan, pemilik bengkel didenda RM4,000

SEORANG pemilik bengkel kenderaan dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Bentong atas kesalahan gagal memberikan kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan yang akan dilakukan ke atas sebuah kenderaan kepada seorang pelanggan.

Menurut laporan Malaysia Gazette, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7, Peraturan- Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002.

Tertuduh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 atau penjara dua minggu jika gagal membayarnya.

“Berdasarkan fakta kes, pasukan Pegawai Penguat kuasa KPDN Raub telah menjalankan siasatan aduan ke atas sebuah premis pada 18 Ogos 2022,” kata Pengarah KPDN Pahang, Jeslily Jamaludin.

Tambah beliau, pihak KPDN sebelum ini menerima aduan yang menyatakan premis tersebut gagal mengemukakan kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux sebelum kerja-kerja pembaikan.

Kejadian itu menyebabkan pemilik kenderaan tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan selepas kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Jeslily dalam kenyataannya mengalu-alukan pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga.

Pengusaha bengkel perlu pamer senarai nama mekanik, sijil kemahiran – KPDN

PENGUSAHA bengkel kini perlu mempamerkan senarai nama mekanik dan kelayakan sijil kemahiran di tempat yang mudah dilihat oleh pengguna, lapor Bernama.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang berkata langkah ini bertujuan membolehkan pengguna mempunyai maklumat dalam memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan.

Menurut beliau lagi, syarat itu adalah antara beberapa penambahbaikan yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 yang telah berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Julai lepas.

Salahuddin berkata, langkah itu juga akan menggalakkan pengusaha bengkel mempersijilkan mekanik yang sedang bertugas atau menggajikan mekanik yang mempunyai sijil kemahiran.

Selain itu, pengusaha juga perlu menyatakan dengan jelas mengenai kategori alat ganti yang digunakan sama ada baharu, terpakai atau yang telah dibaik pulih untuk diguna semula.

“Ini bagi memastikan pengguna mengetahui jenis kategori alat ganti yang digunakan untuk pembaikan atau pengubahsuaian kenderaan mereka,” jelas beliau.

Untuk makluman anda, pindaan peraturan berkenaan telah diwartakan pada 22 Jun 2022 selepas beberapa siri libat urus dengan pihak industri dan sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Julai tahun sama.

Bagaimanapun, penguatkuasaannya ditangguhkan selama setahun bagi membolehkan pihak industri membuat persiapan. Penguatkuasaan ke atas peraturan itu dibuat sepenuhnya bermula pada 1 Julai 2023.

“Tempoh penangguhan bagi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) (Pindaan) 2022 telah tamat pada 30 Jun 2023 dan peraturan ini telah berkuat kuasa sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN di seluruh negara pada 1 Julai 2023.

“Sekiranya berlaku pelanggaran atas ketidakpatuhan kepada peraturan ini boleh dikenakan tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599),” katanya.

Apa pendapat anda tentang peraturan baru ini? Bagi penulis, langkah ini bagus dan sepatutnya dilaksanakan sejak dulu lagi kerana ia dapat melindungi hak pengguna yang inginkan perkhidmatan terbaik untuk kenderaan mereka.

Bahkan, dengan menggajikan mekanik-mekanik yang terlatih dan mempunyai sijil kemahiran, pengusaha bengkel juga dapat menarik lebih ramai pelanggan, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Subsidi bersasar diesel dijangka dilaksana tahun depan – Menteri KPDN

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel dijangka mula dilaksanakan pada tahun depan.

Menurut beliau, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang melibatkan beberapa kementerian semalam (17 Mei 2023) bersetuju supaya satu pangkalan data bersepadu disiapkan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar itu berkesan.

Katanya perbincangan itu melibatkan KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Kesemua kementerian ini melihat dan sedang menyiapkan satu pangkalan data bersepadu bagi proses penyelarasan data yang berkesan.

Semua agensi dan kementerian sudah ada pangkalan data masing-masing, cuma kita perlu selaraskan semuanya dan pastikan ia tepat dan berkesan apabila ia (subsidi bersasar diesel) dilaksanakan,” katanya.

Pada Februari lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata kerajaan mampu memperoleh penjimatan sehingga RM17 bilion sekiranya golongan T20 tidak menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).