Tag Archives: kempen keselamatan

Hong Leong Yamaha lancar kempen keselamatan jalan raya bertemakan ‘Terang Dalam Gelap’

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA) melancarkan kempen keselamatan tahunan bertemakan ‘Terang Dalam Gelap’ bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, baru-baru ini.

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan menunggang pada waktu malam, selain menawarkan inisiatif keselamatan termasuklah program penukaran helmet, pemeriksaan keselamatan motosikal dan aktiviti interaktif awam.

HLYM menggunakan pendekatan baharu dengan mengadakan kempen pada waktu petang, selari dengan aktiviti komuniti tempatan dan kawasan bazar yang sibuk.

 

Selain daripada itu, ia juga menggunakan pendekatan cerita yang kreatif menggunakan watak bergambar dan penglibatan digital yang interaktif untuk mengukuhkan mesej keselamatan jalan raya.

Dengan cara ini, HLYM berharap kempen yang dilaksanakan ini dapat memberikan impak yang lebih berkesan, selain memastikan motosikal untuk perjalanan balik kampung yang lebih selamat dan lancar.

Menurut Dato’ Professor Dr. Jim Khor, Pengarah Urusan Kumpulan, Hong Leong Industries Berhad berkata, “Di HLYM, peranan kami lebih dari sekadar membekalkan motosikal, kami prihatin terhadap keselamatan penunggang kami.

“‘Terang Dalam Gelap’ lebih dari sekadar kempen, ia adalah cara kami menjaga komuniti dan membekalkan mereka dengan pengetahuan serta alat yang betul untuk menunggang dengan selamat,” ujarnya.

HLYM turut meneruskan inisiatif kempen keselamatan ini dengan menganjurkan Kempen Pemeriksaan Motosikal Percuma di semua pengedar Yamaha yang sah di seluruh negara bermula 20 hingga 27 Mac 2025.

Penunggang motosikal yang menyertai kempen ini akan menerima pemeriksaan motosikal secara percuma dan berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditaja oleh Genblu Reward.

Kempen Keselamatan Jalan Raya Yamaha kini masuk tahun ke-25

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM), dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), telah melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Balik Kampung ke-25.

Kempen ini bertujuan untuk memperkasakan penunggang motosikal di negara ini untuk pulang ke kampung halaman dengan selamat terutamanya pada musim perayaan ini.

Bertemakan “Kekal Selamat, Terus Bersama”, kempen ini dilancarkan di Universiti Teknologi Marah (UiTM), Shah Alam oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose.

Ia akan turut dijalankan di tiga lagi universiti terkemuka tempatan dan lebih 200 wakil pengedar Yamaha di seluruh negara hingga 19 April ini.

Dalam ucapannya, Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Bhd (HLI), Dato’ Dr Jim Khor Mun Wei berkata kempen ini penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya di Malaysia.

Beliau berkata walaupun Indeks Kematian Jalan Raya Malaysia telah menurun dari 3.4 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar pada 2010 kepada 1.97 kematian pada 2019, kematian jalan raya tertinggi dalam tempoh yang sama melibatkan penunggang motosikal sebanyak 59 peratus.

“Sebagai anak syarikat HLI, Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung HLYM adalah teras kepada tanggungjawab sosial kami dalam menyokong dan memacu kesedaran tentang tunggangan selamat kepada pelanggan kami.

“Kami berharap kempen ini akan memberi inspirasi kepada pemain industri untuk memulakan program yang sama untuk pelanggan mereka bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya secara secara menyeluruh di negara ini,” tambah beliau.

Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung turut menekankan kepentingan penyelenggaraan kenderaan dengan betul, mematuhi had laju dan teknik tunggangan defensif. Ia juga menyediakan pelbagai aktiviti seperti kursus tunggangan selamat, sesi tunggang uji dan pemeriksaan motosikal secara percuma.

Semasa tempoh kempen, lebih 200 pusat Yamaha Quality Service (YQS) akan menawarkan servis motosikal secara percuma kepada 48 pelanggan pertama setiap hari. Pelanggan yang menghantar motosikal mereka juga berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah bagi memenangi hadiah utama berupa motosikal Yamaha EZ115.