Tag Archives: kempen panggil semula

Masalah stereng, Honda USA panggil semula 1.7 juta kenderaan

Di Amerika Syarikat, Honda dan Acura melaksanakan kempen panggil semula melibatkan sejumlah 1,693,199 unit kenderaan, menurut laman Automotive News.

Berdasarkan info daripada agensi NHTSA, terdapat masalah pada proses pemasangan komponen stereng yang mengakibatkan berlakunya geseran dalaman yang berlebihan.

Keadaan ini boleh menyebabkan sesetengah pemilik berdepan kesukaran untuk mengendalikan kenderaan.

Honda mengesyaki masalah rak stereng tersebut hanya melibatkan satu peratus kenderaan sahaja, atau sekitar 17,000 unit daripada jumlah yang dipanggil semula.

Masalah pada stereng ini mula dikesan sejak September 2021, di mana sehingga kini sebanyak 10,328 tuntutan waranti telah diterima oleh Honda.

Agensi NHTSA turut menerima 13 laporan kemalangan berkaitan dengan masalah stereng, termasuk 11 kes yang diadu oleh pemandu yang tidak dapat mengawal kenderaan dengan baik. Mujur tiada sebarang insiden kecederaan dilaporkan.

Antara model yang terjejas termasuklah Acura Integra (model tahun 2023-2025), Honda Civic (2023-2025, termasuk model hibrid), Honda Civic Type R (2023-2025), Honda CR-V (2023-2025 termasuk CR-V FCEV 2025) dan juga Honda HR-V (2023-2025).

Honda USA merancang untuk menggantikan komponen worm gear spring dengan komponen baharu, dan menambah gris untuk mengurangkan geseran pada setiap kereta yang dipanggil semula tanpa sebarang kos tambahan.

1.6 juta EV Tesla dipanggil semula di China, kemaskini fungsi Autopilot

Pihak berkuasa China mengarahkan Tesla untuk memanggil semula kira-kira 1.6 juta kenderaan elektrik di negara tersebut.

Tindakan panggil semula itu bertujuan untuk mengemaskini semula fungsi berkaitan bantuan pemanduan Autopilot bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Ini kerana sistem Autosteer yang terdapat dalam fungsi Autopilot mudah untuk disalahguna oleh kebanyakan pemandu Tesla.

Penyelesaiannya ialah dengan menambah amaran berbentuk audio dan visual sewaktu fungsi tersebut diaktifkan atau dimatikan.

 

Menurut laporan Reuters, kempen panggil semula itu melibatkan semua model Tesla yang dijual di China, termasuklah Tesla Model S, Model X, Model 3 dan Model Y.

Fungsi Autopilot itu akan ditambah baik menerusi kemaskini over-the-air (OTA), di mana pemilik tidak perlu menghantar kereta masing-masing ke pusat servis Tesla.

Sementara itu, Tesla turut mengemaskini perisian penguncian pintu melibatkan 7,538 unit Model S dan Model X di China, disebabkan kebimbangan pintu yang boleh terbuka secara automatik sewaktu kemalangan.