Tag Archives: ken gushi

Toyota akan guna pita aluminium untuk tambah baik GR Corolla 2024

SESEBUAH kereta akan biasa menerima perubahan-perubahan kecil yang tidak diwar-warkan sepanjang tempoh ia dijual. Pengeluar mungkin mengubah bentuk pengikat, menambah baik komponen yang mungkin rosak, atau mencari jalan agar kosnya boleh direndahkan.

Bagi Toyota GR Corolla 2024, tidak banyak yang berubah melainkan beberapa perkara; bolt baharu, sepasang corong udara, dan empat keping pita aluminium untuk aerodinamik lebih baik.

Kami tertarik berkenaan perkara terakhir, iaitu pita aluminium. Bagaimana benda yang sebegitu ringkas, ringan, dan murah boleh memberikan kesan dari segi aerodinamik. Sudah tentu ia memerlukan kajian mendalam dan ujian saintifik, takkanlah jurutera memandai pula, bukan?

Gambar oleh: Youtube Ken Gushi

Dalam satu video disiarkan oleh Ken Gushi menunjukkan perjalanannya memasang komponen 2024 pada kereta GR Corolla 2023 miliknya, pita pelekat itu dilihat sebagai satu naik taraf yang pelik juga baginya.

Pita itu hadir dalam pakej naik taraf 2024 bersama bolt subframe belakang baharu, bolt stereng baharu, corong udara, dan pita yang disebut tadi.

Anda mungkin menyangka pita itu akan membantu menutup ruang udara atau mengukuhkan bahagian fleksibel, sebaliknya ia mengawal discas elektrostatik.

Konsep ini telah dipatenkan oleh Toyota. Kereta menjana cas positif semasa dipandu, dan udara di sekitar itu juga dicas. Bila dua benda dicas positif bersentuh, udara di persekitaran itu terganggu.

Menurut Car Watch, idea ini telah wujud sejak pertengahan 2010 dan mula diuji pada Toyota 86. Semasa pembangunan model 86 facelift, jurutera Toyota mula mengenal pasti ‘kelakuan’ tidak konsisten dalam kalangan unit kereta ujian, terutamanya bila bahan bampar depan ditukar dari spesifikasi prototaip kepada spesifikasi produksi.

Ini menjurus kepada kajian discas elektrostatik dan penemuan bahawa pita aluminium menyelesaikan masalah ini dan secara magiknya menambah baik aerodinamik.

Ini cara betul pandu Toyota GR Corolla, demo oleh Ken Gushi

TOYOTA GR Corolla semakin mendapat perhatian dan pelancaran global dijangka dibuat hujung tahun ini. Baru-baru ini, AutoGuide.com mengadakan satu sesi dimana pemandu Formula Drift Toyota, Ken Gushi berkongsi cara memandu sebenar dan menunjukkan kebolehan hot hatch itu di litar dan juga dirt (permukaan rali).

“Ini Toyota GR Corolla, dan kami akan tunjukkan kepada anda bagaimana memandunya di litar dan di dirt, dengan cara Gazoo,” katanya.

Gushi membuat perkongsian agak mendalam mengenai tips pemanduan asas lumba yang boleh diamalkan sesiapa sahaja sama ada di litar atau dirt.

GR Corolla dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang memberikan kelincahan serta cengkaman diperlukan dalam semua situasi pemanduan.

Perkongsian Gushi meliputi teknik membrek dan mengambil selekoh, sambil menerangkan perbezaan pengendalian kereta itu di litar berbanding di dirt.

Gushi juga berkongsi teknik betul untuk melakukan heel-and-toe bagi melancarkan pertukaran gear, mengekalkan keseimbangan kereta, seterusnya menjimatkan catatan masa di litar.

Toyota GR Corolla ini walaubagaimanapun dilengkapi kotak gear 6-kelajuan dengan sistem iMT (intelligent Manual Transmission) yang mampu membantu pemandu melakukan teknik heel-and-toe agar dapat lebih fokus kepada pemanduan.

Tetapi pemandu sejati pastinya mahu mematikan iMT ini dan melakuakan heel-and-toe sendiri.

Toyota GR Corolla dikuasakan oleh enjin sama dengan GR Yaris, iaitu 1.6-liter 3-silinder turbo yang mampu menghasilkan 300hp dan 370Nm tork.

Hatchback ini juga mempunyai mod pemanduan (Normal, Sport dan Track) yang akan menukar nisbah agihan kuasa antara gandar depan dan belakang.

Tonton video demonstrasi Ken Gushi di bawah, berapa ramai antara anda yang tahu mengenai teknik-teknik yang dikongsi?