Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal melaksanakan peraturan yang lebih ketat membabitkan kenderaan perdagangan iaitu bas dan juga lori, lapor Berita Harian.
Lima penambahbaikan yang bakal dikuatkuasakan termasuklah larangan penggunaan lorong kanan di lebuh raya, mewajibkan pemasangan alat kawalan kelajuan, pemasangan alat GPS, pemasangan alat pengesan muatan High Speed-Weigh in Motion (HS-WIM) di 11 lokasi dan penambahan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata, peraturan larangan bas dan lori di lorong kanan sudah diwartakan sejak 2015 lagi, namun masih belum dikuatkuasakan.
“Di bawah peraturan ini, lori atau bas mesti kekal di lorong kiri dan tidak boleh dipandu laju. Jika ingin memotong, ia dibolehkan bertukar ke lorong kedua dan kembali semula ke kiri.
“Namun, mereka sama sekali tidak boleh berada di lorong ketiga pada bila-bila masa. Justeru, kita akan usulkan semula perkara ini kepada menteri supaya dapat dikuatkuasakan membabitkan kenderaan berat di lebuh raya,” katanya kepada Berita Harian.
Buat masa ini, pemasangan alat kawalan had laju diwajibkan kepada semua lori baharu, manakala kenderaan lama diberikan kebebasan untuk memasangnya sendiri.
Peraturan pemasangan alat GPS pula dijangka akan bermula bulan ini bagi membolehkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memantau dan mengambil tindakan secara terus.
Menurut Jana Santhiran, pemeriksaan setiap enam bulan akan dibuat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan pihak yang terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk alat kawalan kelajuan dan GPS.
Permit syarikat lori atau bas boleh digantung atau dibatalkan sekiranya berlaku sebarang perlanggaran peraturan jalan raya.
Sementara itu, pemasangan sistem HS-WIM di 11 lokasi lebuh raya dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun hadapan.