Tag Archives: kereta lumba

Kereta lumba Proton S70 R3, ini lima perkara yang perlu anda tahu

Proton menerusi divisyen sukan permotoran Proton R3 baru sahaja mengumumkan barisan pelumba yang bakal mengemudi jentera terbaharu S70 R3 di Sepang 1000KM (S1K) bulan depan.

Dalam masa yang sama, para pengamal media telah didedahkan dengan jentera lumba baharu yang bakal digunakan oleh pasukan Proton R3.

Ini merupakan lima perkara yang perlu anda tahu tentang Proton S70 R3:

 

1. Masih guna khidmat enjin Campro

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Proton S70 R3 tidak akan berlumba menggunakan enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo.

Sebaliknya, ia akan menggunapakai nadi Campro S4PH 1.6 liter yang telah lama digunakan sejak penglibatan Proton R3 dalam S1K menerusi jentera Preve, Suprima S, Iriz, Saga, dan Satria Neo.

Proton tidak mendedahkan spesifikasi sebenar jentera ini, namun berdasarkan laporan terdahulu, enjin S4PH yang dimuatkan pada Saga dan juga Iriz dikatakan mampu menghasilkan lebih 200 hp!

 

2. Kenapa tidak gunakan enjin asal S70? Buang turbo?

Proton menyertai perlumbaan S1K dalam kategori MTC yang membenarkan penggunaan enjin berbeza daripada pengeluar yang sama.

Ini bermakna, Proton dapat menjimatkan kos pembangunan di mana mereka boleh merujuk kepada data-data yang telah diperoleh daripada perlumbaan terdahulu untuk jentera baharu ini.

Sekiranya menggunakan enjin asal, Proton memerlukan masa yang lebih lama untuk mengumpulkan data-data yang diperlukan.

Langkah untuk membuang turbo pada enjin asal S70 juga dilihat tidak begitu efisien, jadi adalah lebih baik Proton gunakan sahaja enjin Campro yang sudah terbukti memenangi lima gelaran juara S1K.

Untuk para peminat S70, usah risau kerana Proton mendedahkan mereka mempunyai perancangan tersendiri untuk menyertai perlumbaan pada tahun hadapan dengan menggunakan Proton S70 spesifikasi jalanan. Bermakna, Proton mungkin akan berlumba dengan S70 menggunakan enjin 1.5 liter turbo!

 

3. Apa yang berbeza pada S70 R3?

Proton telah menambah splitter hadapan, spoiler belakang, diikuti dengan rim bersaiz 15 inci yang dibaluti tayar 195/55 R15.

Secara asasnya, konfigurasi suspensi S70 yang asal masih lagi sama seperti model jalanan mengikut peraturan, namun ditambah baik dengan set penyerap hentak yang lebih sesuai untuk perlumbaan.

 

4. Kabin sarat dengan kelengkapan perlumbaan

Untuk ruang kabin, segala peralatan yang tidak diperlukan telah dibuang jauh-jauh, malah panel pintu juga telah diringkaskan.

Apa yang wujud hanyalah tempat duduk perlumbaan Recaro, kotak pedal AP Racing, skrin paparan Motec, tombol gear manual, serta sangkar keselamatan wajib.

 

5. S70 R3 versi jalanan bakal muncul?

Proton sebelum ini mendedahkan perancangan untuk menghasilkan model S70 versi R3 dengan naik taraf peralatan berprestasi tinggi untuk dijual kepada umum.

Ia mungkin tidak akan muncul dalam masa terdekat, namun dengan galeri gambar di bawah, anda boleh bayangkan rupa paras S70 varian R3 yang mungkin akan meluncur di jalan raya kelak.

Adakah ia bakal hadir dengan spesifikasi yang hampir sama macam kereta lumba S70 ini? Sebagai seorang peminat Proton, harapnya ia bukanlah sekadar perubahan kosmetik semata-mata.

Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup – jentera lumba 641 hp yang lebih serius

Diperlihatkan buat kali pertama kira-kira empat bulan yang lepas, Hyundai akhirnya secara rasmi melancarkan IONIQ 5 N eN1 Cup Car.

Bermakna, pembeli yang berkeupayaan dari segi kewangan dan kemahiran boleh menggunakan jentera ini secara rasmi di dalam kelas perlumbaan eN1 yang baharu diwujudkan pada tahun ini.

 

 

Secara asasnya, jentera lumba berkuasa elektrik ini banyak berkongsi komponen yang sama dengan model jalanan.

IONIQ 5 N eN1 Cup Car masih lagi mengekalkan penggunaan platform E-GMP dengan senibina elektrik 800 voltan, pek bateri berkapasiti 84 kWh dan dua motor elektrik (222 hp depan/378 hp belakang) menghasilkan kuasa keseluruhan 641 hp.

Pengecasan bateri 10-80 peratus pula boleh dicapai dalam masa 18 minit sahaja.

 

 

Untuk disesuaikan dengan litar lumba, Hyundai telah memadankan jentera ini dengan peredam boleh laras dua hala, sistem brek angkup enam omboh untuk gandar depan dan empat omboh untuk gandar belakang, serta set rim 18 inci yang dibaluti tayar slick.

Menjadikan IONIQ 5 N eN1 ini tampak garang ialah padanan kit badan yang lebih lebar, lip depan, sayap belakang, hud depan diperbuat daripada bahan FRP, serta tingkap polikarbonat.

Menurut Hyundai, sistem yang wujud pada kereta jalanan IONIQ 5 N seperti N Grin Boost, N e-Shift dan N Active Sound turut dikekalkan.

 

 

Menariknya, setiap pasukan yang bertempur dalam kelas eN1 diberikan kebebasan untuk membangunkan sendiri sistem bunyi untuk jentera lumba elektrik ini.

Almaklumlah, sifatnya sebagai sebuah kereta elektrik yang langsung tiada sistem perpaipan seperti kereta ICE.

Untuk keselamatan pelumba, IONIQ 5 N eN1 telah menerima naik taraf termasuklah sangkar keselamatan, tempat duduk jenis bucket, sistem abah-abah perlumbaan enam poin, sistem pemati voltan tinggi, indikasi amaran voltan tinggi dan sistem pemadam kebakaran.

 

 

Lokasi port pengecasan turut diubah kedudukannya.

Untuk makluman, jentera lumba Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car ini akan membuat kemunculan rasmi pada acara Hyundai N Festival yang akan berlangsung di Korea Selatan.

 

Hyundai IONIQ 5 N eN1 Cup Car