Tag Archives: kereta paling laris

Dacia Sandero dinobatkan kereta paling laris di Eropah tahun 2024

Tahukah anda, kereta apakah yang paling laris terjual di Eropah untuk tahun 2024?

Ia bukanlah kereta buatan Jepun, bukan juga kereta rakyat jenama Jerman, tapi sebaliknya ia sebuah kereta daripada negara Romania.

Lebih tepat lagi, Dacia Sandero (good news! bak kata James May).

Menurut data daripada penganalisa industri Jato Dynamics, sebanyak 268,101 unit Dacia Sandero telah didaftarkan di Eropah sepanjang tahun lalu.

Tempat kedua pula disandang oleh Renault Clio, dengan perbezaan melebihi 50,000 unit berbanding Dacia Sandero, diikuti dengan Volkswagen Golf (215,715 unit).

Jualan model paling popular tahun 2023, iaitu Tesla Model Y turun sebanyak 17 peratus kepada 209,214, namun ia masih lagi kekal juara di dalam kategori kenderaan elektrik yang paling popular.

Sebut pasal EV, pegangan pasaran bagi kenderaan sifar emisi tersebut menurun daripada 15.7 peratus (2023) kepada 15.4 peratus untuk tahun lepas, manakala peratusan model berenjin petrol pula meningkat daripada 47.8 peratus kepada 48.4 peratus.

Punca kemerosotan EV adalah disebabkan oleh penarikan insentif serta harga jualan purata yang masih lagi tinggi dan diluar kemampuan, menurut analisis Jato Dynamics.

Sementara itu, permintaan terhadap kenderaan hibrid meningkat daripada 9.9 peratus kepada 11.8 peratus, manakala kenderaan plug-in hybrid (PHEV) pula sekadar menguasai 7.3 peratus (turun daripada 7.7 peratus).

Honda N-BOX masih lagi juara kereta paling laris di Jepun

Biarpun angka jualan Honda secara keseluruhan sukar untuk mengatasi gergasi Jepun Toyota, tapi setidak-tidaknya Honda mampu membuktikan ia mampu menjadi model yang paling laris di sana.

Model yang dimaksudkan ialah kei car Honda N-BOX.

Ya, kereta kotak ini bukan sahaja popular di kalangan para peminat kei car di sini, ia juga merupakan satu nama yang cukup besar dan mampu mengalahkan model-model pesaing.

Berdasarkan laporan Response JP, Honda N-BOX mencatatkan jualan sebanyak 102,226 unit sepanjang tempoh separuh pertama tahun fiskal 2024 (April-September), atau peningkatan sebanyak 1.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ini menjadikan Honda N-BOX kekal juara sebagai kereta yang paling laris terjual untuk tahun ketiga berturut-turut!

Tempat kedua pula disandang oleh kei car Suzuki Spacia (80,179 unit), diikuti Toyota Corolla (77,030 unit), dan Toyota Yaris (73,052 unit).

Terkesan dengan skandal isu keselamatan, kereta popular Daihatsu Tanto turun tiga anak tangga ke tempat keenam, dengan jumlah jualan 53,177 unit, atau penurunan sebanyak 26.3 peratus.

Seperkara menarik yang datang dari negara Matahari Terbit ialah kadar peralihan kepada EV yang agak perlahan, di mana EV hanya membentuk 1.3 peratus sahaja dalam jualan kenderaan baharu dengan penurunan sebanyak 0.6 peratus.