Tag Archives: keselamatan jalan raya

Petron Malaysia lancar kempen keselamatan jalan raya 2025

Bersempena dengan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang bakal tiba, Petron Malaysia bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Program Keselamatan Jalan Raya di Petron MRR2, Selayang.

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya tentang kepentingan amalan pemanduan yang selamat.

Menurut Shaliza Mohd Sidek selaku Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia berkata, “Isu keselamatan memang merupakan agenda penting di Petron. Kami telah mengadakan program khusus di sekolah dan universiti terpilih, terutamanya di kawasan yang mempunyai kadar kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi untuk memupuk sikap lebih prihatin dan bertanggungjawab di kalangan pemandu dan penunggang baharu.”

“Dalam masa yang sama, kami juga menjalin kerjasama strategik dengan PDRM dalam Program Go-To-Safety-Point (GTSP) yang telah menjadikan stesen-stesen Petron sebagai titik selamat untuk semua pelanggan dan komuniti setempat semasa kecemasan.

“Kami berharap program hari ini menjadi peringatan kepada semua agar sentiasa berwaspada dan memandu dengan penuh tanggungjawab, terutamanya menjelang Hari Raya,” ujarnya lagi.

Petron juga bekerjasama dengan rakan strategik seperti Carro dan Rider Gate untuk menawarkan pemeriksaan kereta dan motosikal secara percuma.

Gramp’s Asia pula menawarkan sampel semburan kereta botani berbau segar dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap tidur mikro, sementara IGL Coatings pula menyediakan produk untuk cermin depan kereta bagi meningkatkan keterlihatan dan mengurangkan keletihan mata.

Pelanggan juga boleh mendapatkan sampel produk kopi dan roselle daripada NesQ.

Stesen minyak Petron telah dijadikan sebagai pusat bantuan komuniti menerusi program GTSP sejak 2013 lagi, dan pada tahun 2024 sebanyak 54 pengusaha stesen Petron telah diiktiraf oleh PDRM atas sumbangan cemerlang mereka.

Tabiat ‘lane hogging’ boleh dikenakan saman sehingga RM2,000 – JSPT Bukit Aman

Mungkin masih ramai yang tidak tahu, memandu secara perlahan di lorong tengah atau lorong kanan merupakan satu tindakan yang menyusahkan ramai pengguna jalan raya lain.

Sikap pemanduan yang dikenali sebagai lane hogging ini juga sebenarnya mampu meningkatkan risiko kemalangan.

Menurut laporan BuletinTV3 yang memetik kata-kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, sikap lane hogging ini adalah tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan tegas.

“Jika pemandu ingin mengurangkan kelajuan, mereka hendaklah beralih ke lorong kiri untuk memberi laluan kepada pemandu lain agar perjalanan dapat diteruskan dengan lancar,” katanya.

 

Tambahnya, tindakan saman dan kompaun antara RM300 hingga RM2,000 boleh dikenakan kepada pemandu yang didapati bersalah.

Perkara ini turut disokong oleh kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di mana lane hogging sering berpunca daripada kurangnya disiplin pemanduan serta kesedaran pengguna terhadap fungsi setiap lorong yang wujud.

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan MIROS, Norfaizah Mohamad Khaidir berkata, ramai pemandu beranggapan mereka berhak menggunakan lorong laju selagi mereka tidak memandu melebihi had laju.

“Jika ditanya, rakyat Malaysia tahu bahawa memandu melebihi had laju adalah salah, tetapi ramai tidak sedar bahawa memandu perlahan di lorong laju juga satu kesalahan,” katanya.

Pakar keselamatan jalan raya gesa kerajaan tambah lorong motosikal

KERAJAAN digesa membina lebih banyak lorong motosikal kerana kajian menunjukkan ia mampu mengurangkan kadar kemalangan membabitkan motosikal sehingga 40 peratus.

Pakar keselamatan jalan raya dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Kulanthayan KC Mani berkata, banyak negara, kadar kemalangannya rendah kerana penggunaan motosikal juga rendah.

Begitupun di Malaysia, hakikat harus diakui bahawa motosikal adalah antara komponen penting dalam sistem pengangkutan Malaysia.

“Salah satu cara untuk mengurangkan kemalangan adalah dengan menyediakan lorong motosikal kerana ia boleh mengurangkan kadar kemalangan sebanyak 40 peratus.

“Ia adalah langkah pencegahan yang memang terbukti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas siri syarahan sulungnya “Keselamatan Kanak-Kanak Di Jalan Raya” di UPM pada Jumaat.

Tambah beliau, Malaysia adalah negara pertama memperkenalkan lorong motosikal dan seharusnya ia perlu diperluaskan.

 

Foto: Media Sosial

“Kita telah memperkenalkan pendekatan ini kepada komuniti global, dan langkah seterusnya ialah meningkatkannya.

“Jika kerajaan boleh menambah bilangan lorong motosikal di tempat yang diperlukan, ia akan menjadi kaedah yang berkesan dalam mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.

Kulanthayan juga menggesa kerajaan supaya menyelenggara laluan motosikal dengan baik kerana jika tidak, penunggang terpaksa kembali ke aliran trafik utama.

“Kekalkan dengan baik apa yang anda ada dan pada masa yang sama, tambah yang baharu. Itu satu cara untuk maju ke hadapan,” katanya.

Menurut statistik Kementerian Pengangkutan, beliau berkata, lebih 6,000 orang maut dalam nahas tahun lepas, termasuk kira-kira 1,000 kanak-kanak.

Kulanthayan berkata kajiannya mendapati punca kemalangan yang begitu tinggi adalah kerana bilangan kenderaan persendirian di jalan raya lebih banyak berbanding pengangkutan awam.

“Negara-negara yang telah banyak melabur dalam pengangkutan awam, terutamanya dalam perkhidmatan kereta api, mempunyai kadar kemalangan yang jauh lebih rendah,” tambahnya.

Demi keselamatan, had laju sekitar KL mungkin turun sehingga 30 km/j

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bakal membentangkan cadangan penurunan had laju di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, bulan depan.

Cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu melibatkan penurunan had laju sehingga 30 km/j dan 50 km/j.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, jika segala cadangan mendapat reaksi positif maka ia dijangka akan dilaksana pada bulan September.

“Pengumpulan data serta analisis akan dibuat dan sekiranya dipersetujui ia akan diputuskan untuk dilaksanakan pada September ini.

“Kawasan terlibat dalam kajian MIROS ini adalah kawasan yang mempunyai had kelajuan 60 km/j dan 40 km/j.

“Jalan-jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70 km/j dan 80 km/j tidak termasuk dalam skop kajian penurunan had laju oleh MIROS,” kata Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sebelum ini, cadangan penurunan had laju sekitar ibu negara mendapat perhatian di parlimen.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya bertanyakan mengenai pendirian DBKL terhadap cadangan MIROS melaksanakan had laju kenderaan 30 km/j hingga 50 km/j di kawasan terpilih.

Antara negara yang mengamalkan had laju 30 km/j dan 50 km/j adalah Perancis.

Pelaksanaan pada Ogos tahun lalu itu melibatkan kawasan sekitar Paris.

Terdahulu, Jalaluddin memaklumkan DBKL menyambut baik cadangan awal MIROS demi keselamatan pengguna jalan raya termasuk penunggang basikal dan pejalan kaki.