ANDA mungkin rasakan lampu brek ketiga suatu yang remeh, tetapi tahukah anda, jika ia tidak berfungsi, ia boleh membahayakan pengguna jalan raya di belakang kereta anda.
Gambar oleh: Zerotohundred.com
Lampu brek ketiga ialah lampu merah yang terletak di bahagian tengah sama ada atas atau bawah cermin belakang kereta, berasingan dengan lampu belakang. Ia berfungsi memaklumkan bahawa kereta tersebut sedang memperlahankan kenderaannya.
Ia penting dalam semua keadaan lebih-lebih lagi semasa cuaca buruk atau hujan lebat. Tahukah anda, kegagalan memastikan lampu ini berfungsi membolehkan anda dikenakan saman atau penjara?
Perkara ini diumumkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), dimana mereka telah memberikan pengingatan agar pemilik kenderaan mengambil berat tentang kepentingan lampu brek ketiga.
“Pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan am dan penalti. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan,” kata polis menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu.
“Ketiadaan lampu brek ketiga sering diambil mudah oleh pemilik kenderaan. Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya di belakang terutamanya pada waktu malam dan keadaan hujan lebat.”
Untuk memeriksa sama ada lampu brek ketiga anda berfungsi atau tidak, minta rakan atau ahli keluarga berdiri di belakang kereta anda untuk memerhatikan keadaan lampu berkenaan.
Jika anda berseorangan, anda boleh letakkan telefon bimbit di belakang kereta dan membuat rakaman video. Pastikan anda mmebuat semua ujian ini dalam persekitaran yang selamat.
Sekiranya lampu brek tersebut tidak berfungsi, pergi ke bengkel atau pusat servis secepat mungkin untuk menukarnya. Jika anda kaki DIY, boleh beli sahaja lampu itu dan tukar sendiri di rumah.
Ini bukan kerana mengelakkan disaman, tetapi untuk keselamatan semua. Mentaliti harus betul.
INSTITUT Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan CyberSecurity Malaysia telah bekerjasama dalam menghasilkan satu program kepenggunaan yang dapat membantu pengguna memilih kamera papan pemuka (dashcam) untuk kenderaan mereka.
Program yang dinamakan sebagai CamScore atau Dashcam Safety Score Card ini telah melalui fasa penilaian awalan dan versi pertama senarai kamera yang dinilai akan dihebahkan untuk rujukan pengguna.
Dengan adanya program ini, anda bukan sahaja dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang kualiti kamera malah pengguna juga dapat memastikan pembelian mereka berbaloi dengan harga.
Fasa awalan CamScore ini menilai spesifikasi dashcam melalui tiga ciri iaitu ciri asas (basic features), ciri termaju (advanced features), serta ciri bantuan pemanduan (Advanced Driving Assistance System – ADAS).
Keputusan penilaian CamScore telah dilancarkan secara rasminya bersempena persidangan Pakar Kenderaan Moden (Modern Vehicle Expert – MOVE) yang berlangsung di Hotel Dorsett, Putrajaya.
Pengurus Projek Forensik Kenderaan yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik, Ts. Zulhaidi Mohd Jawi berkata, “CamScore adalah kesinambungan pelbagai program penarafan yang telah dibangunkan oleh MIROS termasuk penilaian kenderaan.
“Ini merupakan inisiatif MIROS dalam memastikan panduan untuk membeli dan memiliki kamera papan pemuka (dashcam) yang sesuai dapat digunakan oleh pengguna tanpa ragu-ragu.”
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab menambah: “CyberSecurity Malaysia akan terus komited dalam memastikan perlindungan paling optimum untuk rakyat Malaysia berkenaan keselamatan digital.
“Kerjasama strategik bersama MIROS ini adalah simbolik kepada perubahan semasa di mana janaan data digital telah semakin dominan dalam industri automotif, berbanding sebelum ini yang tertumpu kepada isu internet, peranti dan perkomputeran.”
Keputusan pertama CamScore menyenaraikan lima model dashcam yang berjaya mencapai taraf lima bintang, iaitu tiga dari jenama 70mai, dan masing-masing satu model dari jenama DDPAI dan Thinkware.
Selebihnya, 15 model tersenarai sebagai empat bintang, 19 model bertaraf tiga bintang, dan satu model dua bintang.
Dua model keluaran 70mai iaitu 70mai A800S dan 70mai Pro Plus+ A500S mencatat skor tertinggi iaitu 4.59 daripada markah keseluruhan 5.00.
MALAYSIA masih tersenarai dalam 10 negara paling merbahaya untuk memandu, menurut satu data bebas dari Zutobi.
Tahun lepas negara kita yang tercinta ini di tempat ke-7, untuk 2022 turun satu anak tangga ke tempat ke-8. Menurut Zutobi, Malaysia mencatatkan skor keselamatan hanya 5.63 dari 10.
Gambar oleh: Malay Mail
“Malaysia juga mencatatkan skor 22.5 untuk korban di lorong trafik dari 100,000 populasinya, kedua tertinggi selepas Thailand dengan skor 32.3,” menurut data itu.
Walaubagaimanapun, kajian itu menunjukkan dari 10 negara, Malaysia mencatatkan kematian terendah berkaitan alkohol, dengan skor hanya 1.0.
Data itu juga menunjukkan Afrika Selatan masih negara paling merbahaya untuk dipandu dengan skor membimbangkan 3.41 per 10.
“Dianggarkan sekitar 22.2 kematian jalan raya untuk setiap 100,000 populasi Afrika Selatan dan berdasarkan anggaran, hanya 31 peratus penumpang depan di negara itu memakai tali pinggang keselamatan.”
Thailand kekal di tangga kedua negara paling merbahaya untuk dipandu, dengan skor 4.35 per 10.
“Amerika Syarikat disenaraikan sebagai negara ketiga paling merbahaya dengan skor 5.03 per 10. Ini kerana 29 peratus korban jalan raya negara itu adalah berkaitan penggunaan alkohol.”
Menurut data itu lagi, “India pula mencatatkan peningkatan angka kematian sekitar 50 peratus tahun ini, dengan kadar 22.6 berbanding 15.6 untuk populasi 100,000.”
Untuk negara paling selamat dipandu pula, data menunjukkan Norway di tangga pertama dengan skor 8.2 dimana perihal tali pinggang keselamatan tidak menjadi punca korban jalan raya negara itu.
“Iceland pula di tempat kedua dengan skor 8.05. Kelajuan maksima dibenarkan di Iceland ialah 90km/j, jauh lebih rendah dari purata 120km/j di negara-negara lain.”
BANJIR ialah salah satu bencana alam yang sering berlaku di negara kita selain tanah runtuh, ribut taufan dan sebagainya.
Banjir kita boleh berlaku jika hujan berpanjangan di bandar-bandar besar, dan banjir juga sering berlaku disebabkan hujan monsun setiap tahun.
Kali ini, kami akan kongsikan tips menyelamatkan kereta anda sebelum, semasa, dan selepas banjir.
Tiada siapa mahu terlibat menjadi mangsa bencana alam, tetapi selain berdoa memohon perlindungan dari Tuhan, kita juga boleh membuat persediaan dan perkara sepatutnya untuk mengurangkan kesan.
Sebelum kereta tenggelam banjir
1. Alihkan kereta ke tempat yang lebih tinggi: Jika sempat, alihkan dulu kereta ke tempat yang anda rasa tidak akan dinaiki air.
2. Tutup/sumbat ekzos untuk elak dimasuki air: Sebelum meninggalkan kereta, tutup ekzos kereta anda, mungkin boleh guna beg plastik dan kemudian ikat. Untuk sumbat ekzos, anda boleh gunakan barang seperti bola atau buah yang kecil (limau atau oren) dan balut juga dengan beg plastik. Ini akan membantu mengurangkan kerosakan enjin jika kereta anda ditenggelami air.
3. Cabut terminal bateri: Selepas itu, cabut terminal bateri, ini penting untuk melindungi sistem dan komponen elektrik dalam kereta.
4. Selamatkan barang-barang penting: Akhir sekali, bawa keluar barang-barang penting jika ada seperti dokumen (geran, buku servis) dan barang peribadi. Elakkan juga meninggalkan barang berharga.
Semasa kereta tenggelam banjir
1. Jangan sesekali hidupkan kereta: Jika ekzos kereta anda tenggelam bawah paras air, JANGAN cuba menghidupkan kereta untuk mengelakkan air memasuki sistem enjin. Selain itu, semasa anda menghidupkan kereta, terdapat juga risiko kerosakan komponen elektrik.
2. Jangan cuba meredah banjir: Mungkin ini pesanan paling penting dalam senarai ini, kerana melibatkan nyawa. Lebih baik anda berhenti atau berpatah balik jika terdapat banjir di depan. Ini kerana kita tidak pasti apa yang ada di bawah permukaan air, mungkin ada lubang, longkang atau sebarang halangan lain.
Kereta anda juga mungkin hanyut jika air terlalu dalam atau arus terlalu deras. Ingat, harta benda boleh dicari, tapi nyawa tiada ganti.
Selepas banjir surut
Imej: Bernama
1. Jangan terus hidupkan kenderaan: Selepas banjir surut dan semua kering, anda tidak perlu cuba menghidupkan kereta. Terus ke langkah seterusnya.
2. Gunakan khidmat towing (trak tunda) untuk bawa kereta ke bengkel: Serahkan pada mereka yang pakar untuk membuat pemeriksaan dan baikpulih pada kereta anda.
Apa guna bayar insurans, bukan? Inilah masa kita gunakannya.
Diharap tips-tips ini sedikit sebanyak dapat membantu menyelamatkan kereta anda atau mengurangkan kos kerosakan.
Peringatan: Jika enjin terus dihidupkan selepas ditenggelami banjir, kemungkinan besar enjin akan mengalami kerosakan sangat parah.
DENGAN kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, ramai yang merancang untuk pulang ke kampung halaman atau bawa keluarga melancong setelah lama kita lockdown di kediaman masing-masing.
Ini juga bermakna ramai antara kita yang sudah lama tidak membuat perjalanan jarak jauh, maka ada beberapa perkara perlu kita telitikan sebelum memandu rentas negeri.
Mari kita lihatkan empat tips mudah agar perjalanan balik kampung kita lancar dan selamat:
1. Rancang perjalanan sebaiknya
Ia kedengaran ringkas, tetapi merancang perjalanan sebenarnya memerlukan ketelitian. Anda perlu rancang hari untuk melakukan perjalanan, masa, dan laluan.
Anda boleh memilih hari yang tidak akan menjadi pilihan kebanyakan pemandu dan mengelak dari terperangkap dalam kesesakan trafik. Mengapa perlu sama-sama bersesak jika boleh pilih hari yang kurang trafik, bukan?
Begitu juga masa, pilih waktu-waktu seperti awal pagi atau malam untuk perjalanan lancar. Tetapi elakkan memandu selepas waktu makan tengahari kerana lebih berpotensi mengantuk.
Untuk laluan, anda boleh semak jalan alternatif sekiranya jalan utama mengalami kesesakan teruk. Atau ada juga sesetengah pemandu lebih suka jalan alternatif yang mempunyai lebih banyak tempat berhenti dan perjalanan tidak begitu membosankan.
2. Periksa kenderaan – servis, selenggara, keadaan baik
Mungkin ada di antara kita yang keretanya sudah lama tidak dipandu, atau hanya dipandu dengan jarak dekat sahaja selama berbulan-bulan.
Sebelum memulakan perjalanan jauh, eloklah kita pastikan kereta telah diservis dan diselenggara dengan baik. Periksa juga semua komponen berfungsi sebaiknya, cecair mencukupi dan tekanan angin tayar pada tahap yang betul.
Ini untuk mengelakkan kita pening kepala bila kereta tersadai dalam perjalanan nanti.
3. Rehat secukupnya
Seterusnya, kereta sudah mantap, bagaimana dengan pemandunya? Anda juga harus bersedia untuk memandu jarak jauh.
Penting untuk pastikan anda cukup rehat, makan, dan minum. Tidak perlu makan terlalu banyak, sekadar hilangkan lapar. Kuantiti makan dan minum yang betul juga memastikan perut anda dalam keadaan baik dan selesa, tiada insiden ‘kecemasan’ mencari tandas.
Boleh juga sediakan snek untuk dimakan sambil memandu bagi mengelakkan mengantuk jika anda memandu berseorangan atau penumpang terlena walaupun mereka berjanji akan menemani anda.
4. Isi petrol di Shell
Akhir sekali, anda boleh isi petrol di Shell sebelum memulakan perjalanan. Mengapa Shell? Ini kerana mereka sedang menawarkan lebih ganjaran untuk pemegang kad BonusLink.
Untuk isian 1 liter petrol atau diesel, anda akan menjana 1 mata ganjaran BonusLink dan nilai ini lebih tinggi untuk Shell V-Power Racing iaitu 1.25 mata ganjaran BonusLink setiap liter.
Mata ganjaran BonusLink kini bukan sahaja dapat dikumpul dengan pembelian petrol, malah dari semua transaksi di kedai Shell Select!
Ini bermakna pembelian barangan seperti makanan, snek dan kopi, serta minyak pelincir membolehkan anda mengumpul mata ganjaran BonusLink (1 mata ganjaran BonusLink untuk setiap RM1).
Setiap 200 mata ganjaran yang dikumpul dalam sebulan akan melayakkan anda mendapat e-baucar Shell bernilai RM5.
Foto ihsan Shell
Insentif ini sah mulai 1 November hingga 31 Disember 2021 sahaja, jadi gunakan peluang ini untuk gandakan mata ganjaran anda dalam musim balik kampung dan cuti sekolah nanti.
Selain itu, stesen-stesen Shell terpilih juga mempunyai bengkel dimana anda boleh membuat pemeriksaan kenderaan. Barulah boleh memandu dengan tenang menuju destinasi!
Untuk yang belum menjadi pemegang BonusLink, anda juga boleh menikmati faedah ini kerana hanya dengan memuat turun aplikasi Blink di telefon pintar dan kemudian mendaftar sebagai ahli, anda akan terus mendapat baucar Shell bernilai RM4.
Dan semasa membuat pembayaran di kaunter, anda boleh menerima kod khas yang memberikan anda 100 mata ganjaran tambahan.
BonusLink telah menjadi rakan kongsi Shell selama lebih 22 tahun dan merupakan antara program kesetiaan pelanggan terawal di Malaysia.
Jika anda pemandu baharu yang peka dengan perkembangan teknologi, anda pasti tidak mahu ketinggalan merebut peluang ganjaran dengan BonusLink ini di Shell. Jumpa anda di Shell!
PENUNGGANG motosikal tidak dinafikan sentiasa terdedah kepada bahaya.
Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya, penunggang motosikal paling berisiko di negara ini.
Terdapat lebih 7,525 kemalangan jalan raya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan daripada jumlah itu, 2,576 kematian adalah penunggang motosikal!
Senario ini sudah pasti membimbangkan seluruh rakyat Malaysia dan sudah pasti setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
Salah satu kaedah terbaik adalah dengan sentiasa mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
Tips tunggang motosikal dengan selamat
Artikel kali ini EnGear ingin kongsi bersama anda beberapa tips keselamatan sewaktu menunggang motosikal.
Jom check it out!!!
Pakai jaket sesuai
Pemakaian jaket yang sesuai sebenarnya sangat penting. Ia bukan sahaja melindungi tubuh badan daripada sinaran matahari atau hujan.
Apa yang penting bagaimana jaket mampu mengurangkan risiko luka jika anda terjatuh daripada motosikal.
Jaket yang dipakai perlu sesuai dengan saiz badan dan sebaiknya ia mempunyai padding di bahagian lengan serta siku.
Pemakaian jaket yang sesuai boleh mengurangkan risiko kecederaan jika berdepan kemalangan. – Foto ihsan Alpinestars
Pakai sarung tangan
Jangan malu untuk pakai sarung tangan walaupun anda hanya menunggang “kapchai”.
Pemakaian sarung tangan yang sesuai boleh menghalang tangan anda khususnya pada bahagian tapak daripada mengalami luka parah.
Terdapat pelbagai variasi sarung tangan yang boleh digunakan ketika menunggang motosikal. – Foto ihsan Dainese
Jangan pakai selipar
Seboleh-bolehnya jangan pakai selipar ketika menunggang motosikal.
Gunakan kasut yang sesuai (tertutup) bagi mengelak risiko kecederaan.
Mungkin ramai yang anggap pemakaian kasut adalah suatu yang leceh dan remeh sehinggalah kuku kaki tertanggal baru nak tepuk dahi.
Pakai kasut yang sesuai untuk elak risiko kecederaan parah jika kemalangan. – Foto ihsan Unsplash/Aleksandr Gordikov
Jangan masuk simpang terburu-buru
Sering berlaku penunggang motosikal bersikap terburu-buru terutama ketika memasuki simpang.
Terdapat banyak kes yang mana penunggang motosikal cuai dan terburu-buru memasuki simpang sehingga akhirnya berdepan kemalangan.
Antara faktor kemalangan adalah kerana sikap terburu-buru. – Foto ihsan Unsplash/Abdrahim Oulfakir
Elak rapat dengan kenderaan besar
Ada dalam kalangan penunggang motosikal terlebih berani sehingga tidak kisah untuk rapat dengan kenderaan besar seperti bas dan lori.
Anda perlu sedar diri yang mana kenderaan lain adalah lebih jauh besar.
Kemungkinan untuk pemandu tidak nampak kedudukan motosikal anda amat tinggi.
Maka, untuk elak jadi sebahagian daripada statistik kemalangan sila jangan rapat dengan kenderaan besar.
Kebanyakan kemalangan motosikal dan kenderaan berat adalah kerana masalah titik buta. – Foto ihsan Unsplash/Krzysztof Kowalik
Gunakan “said mirul” (side mirror)
Kadang-kala tak faham dengan sikap segelintir individu dengan sengaja tidak menggunakan side mirror di motosikal mereka.
Mungkin mahu motosikal kelihatan ‘garang’ tetapi tanpa disedari ia sangat berbahaya.
Gagal menggunakan side mirror juga boleh menyebabkan penunggang motosikal dikenakan saman oleh pihak berkuasa.
Kenderaan yang tidak mempunyai side mirror adalah salah di sisi undang-undang jalan raya di Malaysia. – Foto ihsan Unsplash/Fikri Rasyid
Itu antara beberapa tips menunggang motosikal dengan selamat.
Tidak dinafikan memang penunggang motosikal amat berisiko tetapi menjadi tanggungjawab kita juga untuk mengambil inisiatif keselamatan sendiri.
Apa pun EnGear doakan kita semua terhindar daripada kemalangan jalan raya.