Tag Archives: Kicks e-Power Impul Edition

Nissan Kicks e-Power Impul Edition diperkenalkan – tambah RM8.5k, dapat aerokit dan rim buatan Jepun

Sempena Malaysia Autoshow 2025, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah memperkenalkan Nissan Kicks e-Power Impul Edition yang ditawarkan pada harga tambahan sebanyak RM8,500.

Menurut ETCM, model sporty ini sudah boleh ditempah dan penyerahannya dijangka bermula pada Julai tahun ini.

Apa yang pelanggan akan dapat dengan pakej Impul ini? Pertama sekali, crossover hibrid mereka diberikan penampilan lebih garang menerusi kit badan aero yang merangkumi spoiler bampar depan dan belakang, serta skirt sisi.

Turut disertakan ialah spoiler bumbung aerodinamik dan lencana Impul eksklusif pada bahagian bonet.

Sebagai pelengkap, pelanggan turut menerima rim aloi 18 inci Impul Aura SX-50 buatan Jepun dalam kemasan gangsa berkilat, serta tayar Goodyear Eagle F1 Sport bersaiz 225/45 R18.

Pakej Impul ini ditawarkan pada kedua-dua varian Kicks e-Power iaitu VL dan VLT. Untuk ketenangan minda, setiap aksesori di bawah pakej ini disertakan dengan jaminan tiga tahun atau 100,000 km, mana-mana yang tiba terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, 50 pelanggan terawal yang menempah Kicks e-Power Impul Edition akan menerima aksesori berkenaan secara percuma. Tidak cukup dengan itu, mereka juga akan menerima aksesori tambahan berikut:

  • Visor pintu
  • Dulang bagasi
  • Pelindung pemegang pintu
  • Plat pemijak kaki
  • Pedal sport
  • Penutup hiasan pembesar suara
  • Filem penapis haba ICE Cool (varian VL)
  • Filem V-KOOL Security (varian VLT)
  • Perakam video memandu dua saluran
  • Cermin pandang belakang auto gelap dengan kamera undur

Kicks e-Power dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Disember tahun lalu pada harga RM113,800 untuk varian VL dan RM121,800 untuk varian VLT.

Ia dikuasakan oleh gabungan enjin petrol 1.2-liter tiga silinder, sebuah motor elektrik dan bateri litium-ion berkapasiti 2.1 kWj yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 129 PS dan 280 Nm.