Tag Archives: kilang EV

Tesla tidak pernah buat komitmen bina kilang EV di Malaysia – Menteri

Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menerusi hantaran di platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, beliau menjelaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan perkara itu.

“Pertamanya, laporan (berita asing) tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya (sebelum ini) ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.

“Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita dalam talian Thailand, The Nation semalam yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, mengenai Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.

Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand malah juga di peringkat dunia.

“Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman,” lapor portal berita itu.

Pada 20 Julai, 2023, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika, mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia melalui Tesla Malaysia Sdn Bhd.

Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan MITI.

Selain akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang canggih kepada pengguna Malaysia, Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di Malaysia serta menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.

BYD mungkin buka kilang baharu di Eropah tahun depan

BYD mempunyai satu misi yang besar untuk menjadi pengeluar kenderaan elektrik yang terbesar di pasaran Eropah menjelang 2030.

Untuk itu, syarikat automotif dari China itu merancang untuk mendirikan bukan satu, tapi dua buah kilang pengeluaran kenderaan di benua tersebut.

Beberapa bulan lepas, BYD mendedahkan kilang pemasangan kenderaan pertama yang akan dibuka di bandar Szeged, Hungary dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 200,000 unit setahun.

 

 

Namun, untuk menjadi pendahulu di dalam segmen EV, BYD ternyata memerlukan kilang kedua yang mungkin akan dibina bermula tahun depan.

Buat masa ini, tiada sebarang petunjuk dimanakah kilang BYD yang kedua akan dibina.

Pengarah Urusan BYD Eropah, Michael Shu dalam satu sidang Financial Times Future of the Car di London baru-baru ini turut mendedahkan perancangan untuk melancarkan model EV yang paling mampu milik di pasaran Eropah.

BYD sudah pun mempunyai model EV yang paling kecil dan mampu milik di pasaran China, iaitu BYD Seagull.

 

 

Dengan harga jualan di bawah julat $10,000 (RM47,473), BYD Seagull dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 74 hp dan 135 Nm, serta pek bateri berkapasiti 38.88 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 405 km untuk sekali cas penuh.

Michael Shu tidak mendedahkan perincian spesifikasi Seagull versi pasaran Eropah, namun mengesahkan ia bakal dijual pada harga kurang dari €20,000 (RM102,302).