Tag Archives: kilang

Semakin fokus ke arah EV, Honda tutup kilang di Sayama

HONDA telah menghentikan operasi di kilang Sayama di Saitama, Jepun bagi memberi memberi tumpuan dalam membangunkan teknologi kenderaan elektrik (EV).

Kilang yang mula beroperasi sejak tahun 1964 itu mempunyai kapasiti 250,000 unit kenderaan setahun dan telah menghasilkan beberapa buah model utama seperti Civic dan Accord.

Penutupan pengeluaran di kilang Sayama ini merupakan sebahagian dari pelan penstrukturan semula Honda dalam memenuhi visinya menghasilkan 100 peratus kenderaan elektrik (EV) menjelang 2040.

Meskipun tiada lagi kenderaan yang dihasilkan di sana, kilang berkenaan akan terus menghasilkan bahagian kenderaan dalam jangka masa dua atau tiga tahun lagi sebelum pemindahan sepenuhnya ke kilang Yorii.

Ini bukanlah kali pertama Honda mengambil langkah sedemikian. Tahun lalu, Honda telah menutup operasi kilangnya di Swindon, UK dan juga di Gebze, Turki.

IVECO dan Nikola bekerjasama untuk kilang pengeluaran trak berat elektrik

IVECO dan Nikola Corporation memasuki lembaran baharu dalam pengangkutan lestari apabila kedua-dua syarikat bekerjasama dalam pengeluaran trak berat berkuasa elektrik.

Kilang pengeluaran di Ulm, Jerman didedahkan kepada awam baru-baru ini, dan ia akan memasang Nikola Tre iaitu sebuah trak EV.

Pengeluaran dijangka bermula akhir tahun ini. Kemudian trak Nikola Tre yang pertama akan diserahkan kepada pelanggan di Amerika Syarikat (AS) pada 2022.

Selain dari pengeluaran model Battery-Electric Vehicle (BEV), evolusi seterusnya untuk platform ini adalah versi Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV) untuk trak Nikola Tre. Model ini akan memasuki fasa pengeluaran menjelang hujung 2023.

Kilang Ulm itu mempunyai keluasan 50,000 meter persegi dengan separuh darinya adalah bertutup. Ia menampilkan proses pemasangan akhir yang direka khas untuk kenderaan berkuasa elektrik.

Proses pengeluaran trak elektrik ini juga melibatkan 160 pembekal dari mula hingga akhir, dan kilang ini akan mempunyai kapasiti 1,000 unit setahun untuk setiap syif dengan kapasiti akan ditingkatkan pada tahun berikutnya.

Kilang ini juga dikatakan akan beroperasi berpandukan program World Class Manufacturing dengan matlamat sifar buangan, sifar kemalangan, sifar kegagalan dan sifar stok. Ini diperkukuhkan dengan pengenalan pengurusan kilang digital sepenuhnya yang memastikan setiap komponen mudah dikesan, tanpa sebarang penggunaan kertas.

Nikola Tre direka untuk menepati ciri trak yang selamat, tahan lasak, mempunyai prestasi yang baik dan pada masa sama sifar emisi (pelepasan).

Ia diasaskan dari platform IVECO S-WAY dengan gandar elektrik yang direka bersama dan dihasilkan oleh FPT Industrial, menampilkan teknologi elektrik dan sel bahan api dari Nikola, dan komponen utama dari Bosch.

Proton mahu pulun habis sehingga hujung tahun, Pakistan bakal terima stok baharu X70 dan Saga

SETELAH hampir tiga bulan mengharungi keadaan pasaran yang amat sukar disebabkan pencegahan penularan Covid-19, Proton kini mensasarkan untuk mengakhiri tahun 2021 dengan impak yang nyata.

Ini berikutan aktiviti pengeluaran, jualan dan eksport kembali beroperasi yang dijangkakan akan meningkatan hasil jualan bermula bulan September.

Dari bulan Jun hingga Ogos 2021, Proton berjaya memperolehi jumlah jualan sebanyak 5,354 unit yang merangkumi campuran pendaftaran dalam talian dan eksport.

Produksi terhad telah dijalankan di kilang Tanjung Malim selepas pegumuman negeri Perak sebagai negeri Fasa 2 pada 5 Julai, tetapi ini hanya untuk seketika akibat kekurangan bekalan dari pembekal di Selangor.

Sehingga penghujung Ogos, jumlah jualan adalah sebanyak 63,637 unit, iaitu satu peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Tahun 2021 amat mencabar bagi industri automotif kerana perintah kawalan pergerakan, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain yang merencatkan perkembangan jualan, namun kita yakin jualan industri akan meningkat secara keseluruhan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Dengan kedua-dua kilang kini beroperasi, Proton juga boleh memulakan kembali aktiviti eksport ke pasaran luar negara.

Sebagai contoh, Pakistan akan menerima tiga penghantaran Proton X70 sebanyak 108 unit pada bulan September termasuk pek CKD untuk model Saga. Operasi CKD sedan segmen-A itu akan bermula di sana pada akhir Oktober.

Salah satu kunci kepada kebolehupayaan syarikat untuk membuka semula kilang adalah atas kejayaan pelan vaksinasi PIKAS.

Data terkini menunjukkan lebih 93 peratus daripada warga kerja Proton telah divaksinasi sepenuhnya manakala lebih 75 peratus pekerja dari pembekal dan wakil jualan juga talah mendapat vaksin penuh.

Oleh itu, keseluruhan ekosistem PROTON hampir dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 100 peratus berdasarkan SOP semasa untuk pembukaan kilang dan premis perniagaan.

Porsche akan mula operasi CKD di Malaysia tahun depan, pertama di luar Eropah!

BERITA tergempar! Porsche secara rasmi mengumumkan bahawa mereka akan memulakan operasi CKD (pemasangan tempatan) di Malaysia. Kilang ini difahamkan akan menjadi yang pertama di luar Jerman!

Menurut Porsche, langkah ini dalam mengukuhkan kehadiran mereka di pasaran-pasaran membangun di rantau Asia Tenggara yang memperlihatkan perkembangan meyakinkan.

Operasi CKD ini akan dijalankan oleh rakan niaga Porsche di sini iaitu Sime Darby, yang merupakan pengimport dan pengedar rasmi jenama itu di Malaysia (Sime Darby Auto Performance atau SDAP).

Pada masa ini, jenama-jenama CKD di bawah Sime Darby Motors adalah BMW, MINI, Mazda dan Hyundai yang mempunyai kompleks fasiliti di Kulim, Kedah.

Buat masa ini, Porsche tidak mendedahkan secara spesifik model mana dahulu yang akan dipasang di sini, tetapi mereka berkata, “kenderaan itu akan disesuaikan khas dengan piawaian tempatan dan akan didapati di Malaysia sahaja.”

Menurut hemat kami, SUV akan menjadi model pertama untuk operasi CKD ini, mungkin Cayenne atau Macan. Walaubagaimanapun, pasti lebih menarik jika ada pemasangan model sports seperti 911 atau 718 Boxster/Cayman.

“Kami bertuah kerana dengan perancangan yang teliti, kilang-kilang sedia ada kami lebih dari mampu untuk memenuhi kehendak semasa dan masa depan kereta-kereta kami,” kata Albrecht Reimold, ahli lembaga eksekutif pengeluaran dan logistik di Porsche.

Sementara itu, Detlev von Platen, ahli lembaga eksekutif bahagian jualan dan pemasaran Porsche berkata, “Malaysia dan keseluruhan ASEAN ialah satu rantau dengan potensi besar dan kami tidak sabar untuk menyerahkan model CKD pertama kepada pelanggan kami tahun depan.”

Rantaian niaga Honda Malaysia terkesan dengan PKP berpanjangan, apa nasib pembekal dan vendor?

DALAM menyokong dan mematuhi usaha kerajaan untuk membendung penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan, Honda Malaysia telah menutup operasi kilang pemasangannya (CKD) di Pegoh, Melaka sejak Julai.

Dalam tempoh ini, servis lepas jualan seluruh negara dibenarkan beroperasi pada kadar minima dan hanya melalui temujanji. Honda menggunakan aplikasi HondaTouch untuk memudahkan pelanggan membuat urusan sistematik tanpa sentuh (contactless).

Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, “Dengan hanya sesetengah khidmat lepas jualan dibenarkan dan produksi dihentikan, tidak hairanlah jualan menurun.”

“Honda Malaysia menyaksikan penurunan 52 peratus jualan dari Mei hingga Julai 2021 berbanding tempoh sama tahun lepas.”

“Kami menjual 5,700 unit kenderaan berbanding hampir 12,000 unit tahun lepas dalam tempoh yang sama semasa negara dalam PKP dan PKPP,” katanya.

“Penutupan perniagaan yang berpanjangan ini turut memberi kesan kepada pengeluaran model-model baharu kerana tiada ujian boleh dibuat di kilang. Rantaian perniagaan juga turut terganggu.”

Menurut Chujo lagi, industri automotif merangkumi rangkaian komponen tempatan yang meluas dan mempunyai banyak tahap pembekal serta vendor.

“Pembekal ini mungkin tidak dapat bertahan dan ini seterusnya akan memberi kesan kepada rantaian bekalan keseluruhan. PKP berterusan yang tidak nampak penghujung ini akan memberi impak,” lanjutnya.

Chujo berkata lagi: “Honda Malaysia memahami kesukaran yang dilalui oleh para pengedar, dan syarikat itu berusaha membantu mereka. Salah satu usaha adalah meletakkan mereka di bawah program PIKAS (Partnership Industrial COVID-19 Immunisation Programme).”

Honda Malaysia berharap sekiranya sektor automotif kembali beroperasi di bawah SOP ketat, tiada kesan jangka masa panjang seperti pembuangan pekerja.