Tag Archives: Kineta

Kineta, Charge+ umum kerjasama perluas jaringan pengecasan EV serantau

Kineta Sdn Bhd selaku penyedia penyelesaian pengecasan kenderaan elektrik mengumumkan kerjasama strategik dengan pengendali titik pengecasan Asia Tenggara Charge+ dalam usaha untuk meluaskan lagi infrastruktur pengecasan EV di rantau ini.

Di bawah kerjasama strategik ini, Kineta akan memainkan peranan penting bagi Charge+ untuk meluaskan jaringan pengecasan di Malaysia.

Selain daripada itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama untuk memacu pertumbuhan dan tahap kebolehcapaian ekosistem pengecasan EV baik di dalam negara mahupun di rantau ini.

Menurut Sunny Lee selaku Pengarah Urusan Kineta berkata, “Kerjasama strategik ini merupakan satu pencapaian utama dalam misi kami untuk mempercepatkan penggunaan EV di Malaysia, dan dalam masa yang sama membuka jalan untuk pengalaman pengecasan rentas sempadan yang lebih lancar.

“Kami bukan sahaja membina infrastruktur, kami mahu menjadikan pemilikan kenderaan elektrik yang lebih ringkas dan mudah diakses kepada semua pihak,” jelasnya.

Kineta memiliki pasukan jurutera bertauliah yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), antara yang terbesar di Malaysia.

Dengan lebih 9,000 pengecas terjual dan lebih 6,000 pemasangan di kawasan runcit dan komersial berskala besar, Kineta juga mempunyai pasukan tersendiri yang merangkumi khidmat pelanggan, sokongan selepas jualan, bantuan teknikal, penyelidikan dan jaminan.

Charge+ yang ditubuhkan di Singapura pada tahun 2018 kini memiliki jaringan pengecasan melebihi 3,000 lokasi di enam buah negara termasuklah Kemboja, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Dengan misi untuk mempercepatkan peralihan kepada mobiliti yang lebih lestari, Charge+ menyasarkan penyediaan sehingga 30,000 titik pengecasan menjelang 2030.

Goh Chee Kiong selaku Ketua Pegawai Eksekutif Charge+ berkata, “Menerusi kerjasama strategik ini, Charge+ dan Kineta komited untuk menyediakan pengalaman pengecasan yang lancar dan dipercayai, selain mengurangkan perasaan kebimbangan jarak di kalangan pemandu EV di Malaysia dan rantau ini.”

“Kerjasama ini juga memudahkan misi Charge+ untuk membina jaringan pengecasan DC sejauh 5,000 km di lebuh raya merentas Asia Tenggara,” jelasnya.