Tag Archives: kit badan

Tiga kit badan DAMD untuk Suzuki Jimny Nomade, inspirasi daripada Defender, G-wagen

Bersempena dengan pelancaran Suzuki Jimny Nomade (5-pintu) untuk pasaran Jepun, syarikat penala DAMD menyediakan sehingga tiga pakej kit badan untuk dipadankan pada SUV off-road tersebut.

Pemilik Suzuki Jimny 5-pintu di Jepun boleh memilih untuk memadankan kit badan “little D”, “little G. ADVANCE” dan “little G. TRADITIONAL”.

“little D” membawakan bampar hadapan dan belakang baharu, serta unit lampu yang sememangnya mengambil inspirasi daripada Land Rover Defender klasik.

Bagi mereka yang inginkan imej G-wagen, terdapat dua pilihan kit badan.

“little G. TRADITIONAL” membawakan imej luaran seakan sebuah Mercedes-Benz G-Wagen generasi terawal, lengkap dengan struktur jeriji hadapan baharu dan plastik fender yang lebih lebar.

Pemilik yang mahukan imej G-wagen moden dan lebih sporti pula boleh mendapatkan “little G. ADVANCED”, dengan padanan tayar yang lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar, muka depan mirip G63 AMG, lampu membelok yang bertenggek atas hud enjin, dan penutup tayar simpanan belakang yang lebih kemas.

Menurut laporan Response.jp, pihak DAMD sudah pun memulakan projek pembangunan bagi ketiga-tiga kit badan Suzuki Jimny Nomade dan menyasarkan pelancarannya dalam tahun ini.


SUZUKI JIMNY NOMADE 2025 (Jepun)

 

DAMD Reverb bikin krisis identiti pada Honda WR-V

Bosan dengan rupa paras standard Honda WR-V?

Jika krisis identiti merupakan jawapan yang anda cari, usah risau kerana syarikat penala dari Jepun yang satu ini sememangnya pakar dalam mengubah rupa paras model standard menjadi sesuatu yang lebih berbeza.

DAMD bakal membawakan beberapa model yang menarik pada acara pameran Tokyo Auto Salon 2025.

Salah satu daripadanya ialah Reverb, sebuah Honda WR-V (atau nama lainnya Honda Elevate) yang telah diberikan rupa paras seakan Jeep Cherokee XJ.

Bahagian hadapan Honda WR-V telah diubah sepenuhnya menampilkan unit lampu berbentuk segi empat serta jeriji enam-slot yang mengingatkan kita pada model klasik Cherokee.

Selain itu, bahagian sisi SUV ini telah diberikan decal seakan panel kayu yang wujud pada model station wagon vintaj Amerika, diikuti dengan panel plastik gerbang roda yang tidak bercat.

Melengkapi imej yang ranggi itu ialah set rim keluli berwarna hitam yang dibaluti tayar mud-terrain BFGoodrich.

Selain daripada WR-V, DAMD turut membawakan model-model berikut:

1. Stuart – Toyota Sienta dengan imej hadapan Mini Cooper
2. Rodney – Honda N-Box Custom yang tampil lebih sporti
3. Lucy – Daihatsu Taft dengan imej Daihatsu Rocky F300 90-an

 

 

 

 

Kit badan Varis mampu jadikan GR Corolla anda lebih garang

Jika anda ada pilihan untuk mendapatkan sebuah hot hatch yang berkuasa dan mesra famili, GR Corolla mungkin sekali calon yang sangat sesuai.

Kuasa yang mudah untuk dikawal, ditambah pula dengan padanan klac yang lazat, talaan suspensi yang seimbang dan paling penting rupa paras yang sudah tersedia agresif.

Namun, untuk segelintir pemilik yang mahukan penampilan GR Corolla mereka lebih agresif, terdapat penyelesaian yang ditawarkan oleh penala terkemuka Varis.

 

 

Bermula dari sudut hadapan, Varis telah membangunkan splitter gentian karbon berharga $1,695 (RM7,984) untuk penampilan yang lebih garang, diikuti dengan set sirip (front turbulator) berharga $645 (RM3,038) bertujuan untuk mengurangkan kesan seretan dan meningkatkan daya mendap.

Bahagian sisi pula boleh diserikan dengan kehadiran sepasang skirt sisi gentian karbon berharga $2,295 (RM10,811), diikuti pemasangan diffuser belakang gentian karbon $845 (RM3,980), pelindung haba ekzos $335 (RM1,578) dan pelindung paip ekor ekzos pada bahagian belakang berharga $695 (RM3,274).

Mahukan rupa yang lebih garang?

 

 

Tempah sahaja sayap belakang boleh laras yang diperbuat daripada gentian karbon berharga $1,895 (RM8,926) dan hud enjin gentian karbon berharga $2,995 (RM14,108), namun kedua-dua komponen ini akan mengambil masa kira-kira 8 bulan untuk sampai ke tangan pelanggan.

Setakat ini, Varis tidak menawarkan sebarang ubahsuai bertaraf mekanikal, bermakna pemilik masih lagi boleh menikmati kuasa standard nadi G16E-GTS 300 hp dan 400 Nm yang memacu semua roda menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan.

 

DAMD tawar kit badan 80’s Side Kick untuk Daihatsu Taft

Firma penala Jepun, DAMD sangat terkenal dengan pelbagai jenis aksesori dan kit badan untuk dipadankan pada kereta-kereta moden, terutama kei-car.

Tinggal sediakan duit sahaja, dan anda boleh memandu sebuah kereta yang sangat cool di atas jalan raya.

DAMD kini mengumumkan variasi baharu kit badan gaya klasik 80’s yang sebelum ini pernah ditawarkan untuk kei-car Daihatsu Taft, dikenali sebagai 80’s Side Kick.

 

 

Pakej ini masih lagi mengekalkan grafik badan klasik yang diinspirasikan daripada Toyota Land Cruiser 60 Series, namun dengan penawaran rim DAMD Cantabile berwarna hitam, serta jeriji hadapan gunmetal grey dengan aksen hitam.

Untuk imej yang lebih ranggi, pemilik boleh memadankan tayar off-road Toyo Open Country seperti yang dipaparkan pada imej promosi.

Selain daripada gaya luaran, DAMD turut menawarkan sarung tempat duduk dengan dua pilihan corak, sama ada corak houndstooth berwarna kuning hitam, atau corak kotak-kotak kelabu merah.

 

 

Harga jualan untuk pakej lengkap yang tidak bercat bermula dari 319,000 yen (RM9,461).

Anda juga boleh mendapatkan barangan tersebut secara berasingan, di mana kit ubah muka dijual pada harga 173,800 yen (RM5,154) sementara jalur vintaj 80-an itu pula berharga 52,800 yen (RM1,566).

 

 

Kit badan 80’s DAMD (2021)

Pemilik Honda Civic Type R FL5 boleh sambar kit badan agresif Mugen

Takde idea untuk mencantikkan lagi penampilan Civic Type R anda?

Usah risau, kerana syarikat penala terkenal Honda, Mugen telah pun melancarkan pakej naik taraf aerodinamik yang dihasilkan khusus untuk Civic Type R FL5, dan boleh didapati di pasaran Jepun dalam masa terdekat.

Sebahagian daripada komponen yang disebutkan itu telah pun diperlihatkan sebelum ini di Tokyo Auto Salon 2023 menerusi model konsep yang dipamerkan.

 

Antara barangan yang ditawarkan termasuklah struktur sayap belakang boleh laras yang telah direka semula, di mana ia kini mempunyai plet hujung yang diperbuat daripada gentian karbon, serta spoiler dagu di hadapan.

Mugen menyarankan pembeli untuk memasang kedua-dua komponen ini serentak untuk keseimbangan daya mendap yang lebih optimum, selain menawarkan kemasan bampar depan dan splitter sisi belakang, di mana perubahan aerodinamik itu dikatakan mampu menambah baik daya mendap sebanyak 25 peratus.

Tidak ketinggalan, set rim aluminium tempa BBS bersaiz 19 inci yang jauh lebih ringan berbanding rim standard, dan boleh dipadankan dengan lock nut perlumbaan.

 

Untuk ruang kabin, terdapat juga kemasan gentian karbon untuk konsol tengah, tombol gear Alcantara, serta sepasang tempat duduk jenis Bucket Recaro.

Mugen juga turut memperlihatkan rekaan lampu belakang LED serba baharu, tip ekzos tunggal serta roda stereng gentian karbon serba baharu, namun tiada sebarang maklumat lanjut didedahkan buat masa ini.

Harga jualan bagi setiap barangan adalah seperti berikut:

  • sayap belakang: 308,000 yen (~RM9,393)
  • spoiler dagu hadapan: 110,000 yen (~RM3,355)
  • splitter sisi belakang: 99,000 yen (~RM3,019)
  • kemasan bampar hadapan: 77,000 yen (~RM2,348)
  • rim aluminium BBS: 176,000 yen/pcs (~RM5,368/pcs)
  • kemasan gentian karbon konsol tengah: 71,500 yen (~RM2,181)
  • tombol gear Alcantara: 22,000 yen (~RM671)
  • tempat duduk Recaro: 279,000 yen/sepasang (~RM8,509/sepasang)

 

Autozam AZ-1 boleh jadi Ferrari F40 dengan bantuan Liberty Walk

SEBUT sahaja nama Liberty Walk, pasti anda akan terbayang kereta-kereta seperti Lamborghini Aventador, Nissan GT-R dan McLaren 650S dengan kit badan yang ‘gila gila’.

Bagaimanapun, untuk rekaan terbarunya, tuner terkemuka dari Jepun itu memilih untuk membangunkan kit badan untuk sebuah model yang lebih kecil tetapi tetap ikonik iaitu Autozam AZ-1.

AZ-1 merupakan kereta sport kei dengan konfigurasi enjin tengah-belakang yang dihasilkan oleh Mazda di bawah jenama Autozam pada awal 90-an. Dan kit badan terbaru daripada Liberty Walk ini boleh menukarkannya menjadi Ferrari F40.

Disebabkan saiznya yang kecil model, orang akan tahu yang ini bukanlah sebuah F40 yang sebenar. Namun tidak boleh dinafikan yang ‘wajah’ depannya kelihatan tidak ubah seperti supercar Itali itu.

Tidak cukup dengan itu, kit badan ini turut merangkumi canard, splitter depan dan sudah tentu, dapra depan dan belakang yang lebih lebar. Malah, lekuk pada bahagian kiri dan kanan dibuat seperti bentuk saluran NACA seperti F40.

Bahagian belakang pula menampilkan spoiler yang tinggi dan diffuser dengan sirip-sirip yang panjang untuk efek aerodinamik. Seperti F40, AZ-1 Liberty Walk ini juga mempunyai tiga muncung ekzos yang disusun pada bahagian tengah.

Menurut laman web syarikat itu, pakej kit badan ini dijual pada harga bermula dari 2,226,000 yen (RM71,405) namun lampu depan dan belakang tidak termasuk.

Selain itu, pelanggan juga boleh melengkapkan penampilan AZ-1 mereka dengan rim tempaan berukuran 16 inci di depan, 17 inci di belakang yang berharga 1,430,000 yen (RM45,871).