Tag Archives: KKM

Pemandu van KKM maut ketika dalam perjalanan ambil bekalan vaksin

KEMALANGAN membabitkan sebuah van milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyaksikan seorang individu meninggal dunia manakala tiga yang lain parah.

Individu meninggal dunia merupakan pemandu van KKM dikenali sebagai Shamsul Shamsuri berusia 49 tahun.

Siasatan mendapati kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Skudai berlaku selepas van terbabit cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti secara mengejut.

Bagaimanapun, van tersebut telah merempuh belakang sebuah lori.

Memetik laporan polis, kakitangan KKM terlibat dalam perjalanan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang untuk mengambil bekalan vaksin Covid-19 di Hospital Permai, Tampoi.

Kakitangan KKM yang cedera parah adalah Rosnilam Satari Azlina Mohd Rawi dan Amelia Pek Ying Hung.

Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

KKM cadang tangguh rentas negeri sambut Aidilfitri

HASRAT bagi kebanyakan individu yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri mungkin terpaksa dilupakan.

Memetik laporan Malay Mail, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mencadangkan pergerakan rentas negeri ditangguhkan susulan situasi pandemik Covid-19 masih membimbangkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, cadangan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama.

Antaranya majoriti rakyat memohon kerajaan menangguhkan kebenaran pergerakan rentas negeri bagi mengelak situasi lebih buruk.

Tahun lalu, Malaysia berdepan tindakan sama apabila kerajaan melarang aktiviti rentas negeri semasa perayaan Aidilfitri.

Langkah itu dibuat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac.

Untuk rekod, terdapat 1,889 kes Covid-19 semalam berbanding 1,767 pada Selasa.