Tag Archives: kl bike show 2023

KL Bike Show 2023: Brixton Crossfire XS kecil tapi stylo, RM8,788

SELEPAS melancarkan Cromwell 1200 pada Jun lalu, Brixton kini tampil dengan satu lagi model menarik untuk pasaran tempatan iaitu Crossfire 150 XS.

Harga jualan motosikal bersaiz mini ini bermula dari RM8,788 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia boleh didapati dalam tiga warna menarik iaitu Backstage Black, Clockwork Orange dan Cargo Green.

Crossfire 150 XS sememangnya sebuah motosikal yang kecil, dengan ukuran panjang 1,690 mm, lebar 755 mm dan tinggi 1,210 mm. Tinggi pelana adalah 770 mm, manakala beratnya adalah sekitar 111 kg.

Ia dikuasakan oleh enjin empat lejang 150 cc silinder tunggal yang menghasilkan 13.4 hp pada 9,500 rpm dan 10.5 Nm pada 3,100 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.

Untuk casis pula, ia menggunakan fork teleskopik jenis terbalik pada bahagian hadapan dan penyerap hentak tunggal pada bahagian belakang.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal 220 mm di hadapan dan 190 mm di belakang. Tayar yang digunakan adalah bersaiz 120/70-12 di hadapan dan 130/70-12 di belakang.

Selain itu, motosikal ini didatangkan dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, meter analog dan tangki bahan api berkapasiti 11 liter.

Dengan setiap pembelian Crossfire 150 XS, pembeli menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km, dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian.

KL Bike Show 2023: QJMotor SRK600RC dengan livery Gresini Racing, RM39,888

MFORCE Bike Holdings Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal jenama QJMotor di Malaysia, telah melancarkan model sportbike SRK600RC di acara KL Bike Show 2023.

Model ini dijual pada harga RM39,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu biru dan hitam, dengan livery yang diinspirasikan daripada pasukan Gresini Racing dalam kejohanan Moto2.

SRK600RC dikuasakan oleh enjin 600 cc empat silinder sebaris DOHC yang mampu menghasilkan 80.4 hp pada 11,000 rpm dan 51 Nm pada 10,500 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac jenis Slipper & Assist.

Untuk casis, ia menggunakan sistem suspensi boleh laras Marzocchi yang terdiri daripada fork terbalik pada bahagian depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada sistem Brembo dengan cakera berkembar berukuran 320 mm di hadapan dan cakera tunggal 260 mm di belakang. Sistem ABS disertakan secara standard.

Sementara itu, tayar yang digunakan adalah berukuran 120/70 ZR17 di hadapan dan 180/55 ZR17 di belakang.

Tinggi pelana SRK600RC adalah 800 mm, manakala tangki bahan apinya berkapasiti 16.4 liter. Berat keseluruhan jentera ini adalah sekitar 225 kg.

KL Bike Show 2023: SYM Tuscany 150 kini di Malaysia, RM8,888

SYM Malaysia sebagai salah satu pempamer di KL Bike Show mengambil peluang ini untuk melancarkan SYM Tuscany 150.

KL Bike Show 2023 sedang diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur bermula hari ini 24 Ogos hingga Ahad ini, 27 Ogos 2023.

SYM Tuscany 150 merupakan antara model yang dinanti-nantikan oleh pencinta skuter klasik ini, membawakan reka bentuk klasik dan moden.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin 149.6cc satu silinder 4-lejang, dengan output 11.4hp pada 8,000rpm dan 11.4Nm tork pada 5,500rpm.

Tuscany 150 didatangkan dengan Smart Key System, lampu LED, paparan LCD digital penuh, dan pengecas USB.

Tiga warna boleh dipilih, iaitu merah, kelabu, dan putih dengan harga permulaan RM8,888 tanpa insurans dan cukai jalan.

Ia kini boleh didapati di semua pengedar sah SYM seluruh negara, dan setiap pembelian hadir dengan jaminan dua-tahun atau 20,000km, yang mana dahulu. Perkhidmatan servis dan alat ganti akan disokong oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd.