Tag Archives: KL

Operasi Hormat Undang-Undang dari 4 hingga 15 Jun di KL

POLIS Kuala Lumpur akan terus melaksanakan Operasi Hormat Undang-Undang (Op HUU) bermula hari ini (4 Jun) hingga 15 Jun 2024.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi itu akan menggunakan konsep sama iaitu memberi penekanan utama membabitkan kesalahan halangan lalu lintas, garisan putih, nombor pendaftaran, motosikal, didik, parkir haram, lampu merah dan telefon bimbit.

“Kekuatan penugasan pada operasi kali ini membabitkan lebih 200 pegawai dan anggota dari jabatan serta daerah Kontinjen Kuala Lumpur.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan pengguna jalan raya serta menjaga imej Kuala Lumpur sebagai pusat bandar raya,” tambahnya.

Gambar oleh: Malay Mail

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Trafik Kuala Lumpur di talian 03-20719999/9777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Sebelum ini, Op HUU dijalankan dua fasa dengan Fasa 1 dilaksanakan pada 3 hingga 31 Julai 2023 manakala Fasa 2 pada 15 sehingga 29 September 2023.

Projek RTS JB – Singapura lancar, kerajaan kaji bina HSR KL – Bangkok?

MENTERI Pengangkutan berkata, tahap kemajuan kerja projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura kini mencapai hampir 10 peratus.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjelaskan, proses pengambilan tanah selesai dan reka bentuk infrastruktur juga telah dimuktamadkan.

Sementara itu, kerja-kerja tanah, pengalihan utiliti serta kerja pemasangan cerucuk juga sedang dilaksanakan, lapor Bernama.

“Kementerian Pengangkutan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelaksanaan projek-projek mega ini,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

Laluan RTS adalah projek kereta api rentas sempadan sepanjang empat kilometre.

Ia menghubungkan terminal di Singapura iaitu stesen Woodlands North ke terminal Malaysia di Bukit Chagar, Johor Bahru.

Perkhidmatan itu mampu menyokong kapasiti puncak 10,000 penumpang setiap sejam di setiap hala.

Perbincangan awal projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura

Sementara itu, projek HSR Kuala Lumpur – Singapura masih dalam perbincangan awal di antara kedua kerajaan.

Ketika ini, Kementerian Pengangkutan sedang bersiap sedia mengadakan perbincangan awal dengan Singapura pada suku tahun kedua.

Pemandangan tapak projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di Singapura. – Foto ihsan Malay Mail

Pada masa, kerajaan juga sedang meneroka peluang kebolehsanaan HSR Kuala Lumpur – Bangkok.

“Kementerian juga sedang meneroka kemungkinan mengadakan kajian kebolehlaksanaan HSR dari Kuala Lumpur ke Bangkok,” katanya lagi.

DBKL: Lencongan di Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tun Razak

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup jalan di persimpangan lampu isyarat dari Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Lebuhraya Sultan Iskandar.

Penutupan bermula mulai hari ini hingga 11 April 2022.

Susulan itu, DBKL mengadakan lencongan trafik di jalan terlibat bagi melancarkan aliran trafik.

Penutupan bagi melaksanakan kerja menaik taraf persimpangan bertingkat di Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail dan Jalan Ipoh.

Kenderaan dari Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Lebuhraya Sultan Iskandar akan dilencongkan ke Jalan Rahmat.

Lencongan turut melibatkan Jalan Sentul-Jalan Sentul Manis-Jalan Tun Razak untuk ke Lebuhraya Sultan Iskandar.

Kenderaan dari Jalan Sultan Azlan Shah dilencongkan ke kiri Jalan Tun Razak dan membuat pusingan U sebelum Bulatan Pahang.

Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi isyarat papan tanda sementara sebagai panduan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan kekeliruan.

Larangan rentas negeri, bagaimana KL-Karak boleh sesak?

KESESAKAN jalan raya bukan suatu yang asing di negara ini apatah lagi ketika musim perayaan.

Walaupun kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun, masih terdapat kesesakan di beberapa jalan utama.

Semalam, tular di media sosial berlaku kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak berdekatan Plaza Tol Gombak.

Menerusi laman Twitter, seorang pengguna media sosial memuat naik foto kesesakan panjang dipercayai diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Menghala ke KL, balik dari mana tu? Seronok ke beraya dekat kampung?

“Korang (anda) boleh tengok sendiri entah dari mana manusia ni,” kata pemilik akaun Twitter Shah Klang.

Sebelum ini, kerajaan melarang sebarang pergerakan rentas negeri tanpa mendapat kebenaran pihak polis.

Selain itu, setiap individu juga dilarang merentas daerah susulan arahan PKP seluruh negara berkuatkuasa 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Sementara itu, rata-rata orang ramai mengecam tindakan individu sengaja merentas negeri bagi menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

Jelas mereka, tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah, tidak membantu usaha dalam menurunkan kes Covid-19 di negara ini.