Bertempat di KLIMS 2024, Honda Malaysia bukan sahaja membawakan model konsep coupe Honda Prelude, akan tetapi terdapat juga sebuah SUV berkuasa elektrik – Honda e:N1.
Walaupun membawakan rupa paras yang sama seperti Honda HR-V, e:N1 menggunakan platform e:N Architecture F yang menawarkan struktur badan yang lebih tegar, titik graviti lebih rendah dan bahagian bawah badan aerodinamik.
Ia dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 201 hp dan 310 Nm, dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 68.8 kWh.
Untuk sekali cas penuh, e:N1 boleh bergerak sejauh 412 km.
Membezakan e:N1 dengan HR-V yang standard ialah kehadiran slot pengecasan yang menggantikan struktur jeriji hadapan, diikuti dengan perkataan Honda menggunakan fon huruf yang lebih moden di belakang.
Susun atur ruang kabin e:N1 juga tampil lebih berbeza berbanding HR-V, di mana ia didatangkan dengan skrin tengah sebesar 15 inci, skrin kluster digital 10.25 inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Buat masa ini, Honda Malaysia masih belum mendedahkan secara rasmi perincian spesifikasi bagi e:N1 untuk pasaran tempatan.
Namun begitu, ia bakal menjadi EV pertama yang dibawa masuk secara rasmi oleh Honda Malaysia apabila model tersebut dijadualkan pelancarannya pada tahun hadapan (2025).
Untuk makluman, Honda telah pun memulakan produksi bagi SUV elektrik Honda e:N1 di kilang yang terletak di Rojana Industrial Park, wilayah Prachinburi, Thailand pada penghujung tahun 2023.
Persoalan sebenar, berapakah harga jualan yang bakal diletakkan oleh Honda Malaysia untuk model e:N1 ini? Honda HR-V varian e:HEV yang ada di pasaran Malaysia pada ketika ini dijual pada harga RM140,800.
SAIC Motor Malaysia telah mengumumkan harga jualan rasmi MG Cyberster pada acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024.
Roadster elektrik itu, yang membuat kemunculan sulungnya di negara ini pada Ogos lalu, dijual pada harga RM319,900 atas jalan tanpa insurans.
Setiap pembelian didatangkan dengan waranti kenderaan selama tujuh tahun/150,000 km, waranti pek bateri voltan tinggi selama lapan tahun/180,000 km dan waranti motor pacuan dan unit kawalan motor selama lapan tahun/160,000 km.
Tidak cukup dengan itu, SAIC Motor Malaysia turut menawarkan pakej khas yang merangkumi pengecasan tanpa had selama setahun dengan JomCharge dan pengecas Wallbox 7 kW.
Cyberster ditawarkan dalam satu varian yang dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 503 PS (375 kW) dan 725 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat.
Dengan bateri berkapasiti 77 kWj, Cyberster dikatakan mampu bergerak sejauh 446 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.
Pengecasan dari 10% hingga 80% mengambil masa 38 minit menerusi pengecas pantas DC 150 kW. Pengecas AC 7 kW pula memerlukan kira-kira 10.5 jam untuk cas dari 10% hingga penuh.
Dari segi reka bentuk, Cyberster tampil dengan siluet rendah dan lebar serta bumbung jenis soft top yang boleh dibuka. Kelengkapan termasuk rim aloi Jetstream 20 inci, angkup brek berwarna merah dan lampu depan LED automatik dengan DRL.
Di dalam, terdapat tempat duduk sport yang dihiasi sisipan Alcantara, stereng berbalut kulit Nappa, skrin sentuh berukuran tujuh inci, panel instrumen 10.25 inci, dua skrin tambahan sebesar tujuh inci dan sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara.
Untuk keselamatan, Cyberster didatangkan dengan sistem ADAS MG Pilot yang merangkumi ciri-ciri berikut:
Front Collision Warning (FCW)
Automatic Emergency Braking (AEB) dengan Pedestrian and Bicycle Detection
Adaptive Cruise Control (ACC)
Traffic Jam Assistance (TJA)
Lane Departure Warning (LDW)
Lane Keeping Assistance (LKA)
Blind Spot Detection (BSD)
Lane Change Assist (LCA)
Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
Intelligent High Beam Assist
Cyberster boleh didapati dalam empat warna iaitu Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow, dan English White. Dynamic Red dan Camden Grey mempunyai bahagian dalam hitam dan merah, sementara Inca Yellow dan English White dilengkapi dengan bahagian dalam kelabu. Semua pilihan warna dipadankan dengan bumbung hitam.
WTC Automotif (WTCA), pengedar rasmi jenama GAC Aion di Malaysia, tanpa disangka-sangka telah melancarkan sedan elektrik Aion ES pada acara Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024.
Dibina di atas platform elektrik Aion (AEP) 2.0, ES mempunyai ukuran panjang 4,810 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,545 mm, dengan jarak roda 2,750 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih besar berbanding sedan segmen C popular seperti Honda Civic dan Toyota Corolla Altis.
Untuk pasaran Malaysia, ES didatangkan dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda depan dengan 136 PS dan 225 Nm.
Motor elektrik berkenaan mendapat bekalan kuasanya daripada bateri LFP 55.2 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 442 km berdasarkan kitaran NEDC.
Bateri itu mengambil masa 11 jam untuk pengecasan penuh menggunakan pengecas AC 6.6 kW yang tersedia. Dengan pengecas DC berkapasiti 60 kW pula, ia memerlukan 30 minit untuk pengecasan 30-80% atau 1.5 jam untuk pengecasan penuh.
ES mempunyai fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan kapasiti 3.3 kW, fungsi pemanduan pedal tunggal i-Pedal dan brek janaan semula dengan tiga tahap.
Dari segi kelengkapan, ES didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, rim aloi 17 inci dan tailgate elektrik yang memberikan akses kepada ruang but sebesar 450 liter.
Di dalam, terdapat upholsteri leatherette, tombol gear jenis rotari, pelarasan enam hala untuk kerusi pemandu, kluster instrumen LCD 3.5 inci, skrin sentuh 8.0 inci dengan Apple CarPlay, Keyless Entry, dan pendingin hawa dua zon dengan penapis udara PM2.5.
ADAS tidak disertakan. Sebaliknya, anda mendapat ciri keselamatan asas seperti ABS dengan EBD, ESP, Hill Hold Control, Seat Belt Reminder , TPMS dan dua beg udara.
Aion ES dijual pada harga RM106,800 dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Pure White, Glamour Black dan Holographic Silver.
Ia didatangkan dengan waranti kenderaan selama lapan tahun/160,000 km, dan waranti bateri EV, motor dan kawalan elektrik selama lapan tahun/200,000 km.
Sempena dengan pelancaran ini, pembeli akan menerima pengecasWallbox bernilai RM3,500 secara percuma.
Acara Pertunjukan Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 menyaksikan kemunculan dua model baharu daripada Great Wall Motor (GWM) iaitu Tank 500 dan Wey 80.
Menurut GWM Malaysia, SUV dan MPV mewah itu akan dilancarkan ke pasaran Malaysia pada 2025 tetapi tarikh sebenarnya masih belum diberitahu.
Tank 500
Seperti Tank 300 yang memasuki pasaran tempatan pada Julai lalu, Tank 500 merupakan SUV off-road namun model ini bersaiz lebih besar dengan ukuran panjang 5,078 mm, lebar 1,934 mm, tinggi 1,905 mm, dengan jarak roda 2,850 mm.
Di China, Tank 500 ditawarkan dengan beberapa jenis trenkuasa namun unit yang dipamerkan ini adalah varian hibrid yang menampilkan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 342 PS dan 648 Nm.
Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda menerusi sistem pacuan empat roda.
Antara kelengkapan yang tersedia termasuk 11 mod pemanduan, fungsi tank turn, Off-Road Cruise Control, panel instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 14.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem bantuan pemandu ADAS.
Harga tidak diumumkan namun jika diambil kira harga Tank 300 yang bermula dari RM250,000, model ini berkemungkinan besar dijual pada harga sekitar RM350,000.
Wey 80
Juga dikenali sebagai Gaoshan di China, Wey 80 merupakan MPV tujuh tempat duduk daripada sub-jenama mewah yang bernaung di bawah GWM iaitu Wey.
Model ini menampilkan trenkuasa hibrid plug-in Dedicated Hybrid Technology (DHT). Ia menggabungkan enjin turbo 1.5-liter dan sepasang motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 487 PS (358 kW) dan 762 Nm.
Selain itu, trenkuasa berkenaan juga didatangkan dengan bateri berkapasiti 37.96 kWj yang memberikan jarak pemanduan elektrik sejauh 150 km berdasarkan kitaran CLTC.
Dari segi saiz, Wey 80 mempunyai ukuran panjang 5,045 mm, lebar 1,960 mm dan tinggi 1,900 mm, manakala jarak rodanya adalah 3,085 mm. Ia mampu memuatkan sehingga tujuh penumpang dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3.
Antara ciri utamanya termasuk upholsteri kulit premium, kerusi sifar graviti, kerusi kapten pada barisan kedua, peti sejuk 12.5 liter, bumbung panoramik dan sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara.
Mitsubishi Motors Malaysia menyediakan promosi istimewa sepanjang tempoh penganjuran acara pameran Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024) dari 5-11 Disember 2024.
Rakyat Malaysia boleh berkunjung ke reruai Mitsubishi Motors Malaysia yang terletak di Level 2, di mana MMM akan mempamerkan tema “Drive Your Ambition” yang menggambarkan komitmen jenama itu terhadap inovasi, cabaran dan nilai berpusatkan pelanggan.
Selain itu, pelanggan yang menempah dan mendaftarkan Mitsubishi Triton atau Xpander serba baharu di reruai MMM atau mana-mana pusat pameran MMM akan menerima pakej berupa subsidi bahan api dan pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun.
Menurut CEO MMM, Ikeda Shinya berkata, “kami mahu menawarkan bahan api kepada para pelanggan kami untuk pergi lebih jauh, memastikan mereka dapat sampai ke destinasi tanpa perlu risau semasa musim perayaan akhir tahun.
“Tambahan pula, kami mahu menyediakan pakej penyelenggaraan percuma, memberikan ketenangan minda kepada para pelanggan dan membolehkan mereka menikmati pengalaman pemilikan bebas masalah.
Selain daripada pameran model terbaharu, MMM juga akan mempamerkan pelbagai aksesori tulen untuk model Triton dan Xpander yang dapat memenuhi keperluan gaya hidup para pelanggan Mitsubishi Motors.
MMM juga mengumumkan pelancaran program pajakan kenderaan MAX Leasing menerusi kerjasama dengan ALD MHC Mobility Services Malaysia.
Program ini menyediakan alternatif yang lebih terurus kepada pembelian kenderaan secara langsung dengan kadar faedah yang lebih stabil dan jaringan servis yang menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan pajakan kenderaan.
Bertempat di acara pameran Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024), Perodua mengambil kesempatan dengan mempamerkan model prototaip elektrik eMO-II siang tadi.
Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan CEO Perodua berkata, unit prototaip ini merupakan kesinambungan kepada model prototaip terdahulu dan telah ditambah baik dari segi penggayaan dan ciri-ciri yang dimuatkan.
Seperti yang didedahkan menerusi video acah sebelum ini, ternyata Perodua eMO-II membawakan penggayaan yang jauh lebih sporti berbanding model eMO.
Dari sudut hadapan, eMO-II tampil dengan rekaan bampar yang agak agresif, bar lampu LED melintang penuh, logo Perodua bercahaya pada hud hadapan, serta penjenamaan eMO-II pada bawah bampar.
Untuk bahagian sisi, terdapat liang udara yang agak tajam, diikuti rim rekaan aerodinamik serta kamera sisi yang biasanya akan digantikan dengan cermin sisi untuk model produksi sebenar.
Tema sporti diteruskan pada bahagian belakang, di mana komponen bampar dihiasi dengan rekaan diffuser yang agak besar, lampu brek tunggal di tengah bampar, bar lampu LED melintang serta kehadiran grafik LED seakan corak songket.
Reka bentuk dalaman eMO-II tidak seperti tipikal rekaan yang anda akan jumpa pada kereta-kereta produksi Perodua.
Selain tempat duduk yang sporti, eMO-II diberikan rekaan roda stereng yang lebih moden, skrin kluster digital lebar, butang PRND pada bahagian atas skrin tengah, serta grafik geometri pada bahagian konsol tengah.
Buat masa ini, Perodua masih belum mendedahkan spesifikasi penuh eMO-II, namun berdasarkan info awal, EV ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda depan berkuasa 68 PS/220 Nm dengan jarak gerak sejauh 450 km untuk sekali cas penuh.
Namun, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad mengesahkan EV pertama Perodua ini akan dijual pada julat harga tidak melebihi RM90,000.
Bagi yang belum mengetahui, Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 akan membuka tirainya dari 5 hingga 11 Disember 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menurut penganjur iaitu Persatuan Automotif Malaysia (MAA), acara yang hadir dengan tema ‘Beyond Mobility’ itu bakal menampilkan hampir 70 pempamer, dengan kawasan pameran meliputi hampir 30,000 kaki persegi di dua aras bangunan MITEC.
Bagi mereka yang merancang untuk mengunjungi, berikut adalah antara beberapa kenderaan menarik yang akan membuat kemunculan mereka di acara berkenaan:
Perodua EMO-II
Tidak syak lagi, Perodua bakal mencuri tumpuan pengunjung dengan model konsep berkuasa elektrik mereka iaitu EMO-II (Electric Mobility Online). Ia memberi bayangan kepada versi produksi kenderaan elektrik pertama Perodua yang akan dilancarkan ke pasaran pada penghujung tahun ini.
Proton e.MAS 7
Walaupun tidak diumumkan secara rasmi, EV pertama Proton iaitu e.MAS 7 berkemungkinan besar akan membuat kemunculan sulungnya di KLIMS 2024. Ia boleh didapati dengan dua pilihan pek bateri, dengan harga anggaran RM120,000.
Honda Prelude Concept
Satu lagi jenama yang pastinya akan menjadi tarikan di KLIMS 2024 adalah Honda. Di samping barisan model terkininya, Honda Malaysia mengumumkan bahawa ia juga akan mempamerkan Prelude Concept. Ini sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di peringkat Asia selain Jepun yang mempamerkan model coupe hibrid tersebut.
Mazda CX-60
Bagi peminat setia Mazda, Bermaz Motor akan mempamerkan dua model SUV yang menarik iaitu CX-60 dan CX-80. Dibina di atas platform SkyActiv Multi Solution Scalable Architecture, model ini boleh didapati dengan pilihan trenkuasa petrol, diesel dan hibrid plug-in (PHEV), dengan pacuan roda belakang dan semua roda.
Mazda CX-80
Seperti CX-60, CX-80 juga merupakan sebahagian daripada kumpulan Large Product pengeluar dari Jepun itu namun ia menawarkan tiga barisan tempat duduk. Pilihan trenkuasa juga hampir sama dengan CX-60, terdiri daripada enjin petrol dan diesel enam silinder sebaris, PHEV, transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem AWD atau RWD.
Toyota Camry
Susulan pelancarannya di Thailand pada Oktober lalu, Toyota Camry generasi kesembilan (XV80) akan membuat kemunculan sulungnya di Malaysia minggu ini. Sedan segmen D itu dikuasakan oleh gabungan enjin hibrid 2.5-liter dan transmisi jenis e-CVT yang menghasilkan 227 PS.
Toyota Corolla Cross
Selain Camry, UMW Toyota Motor juga akan membawakan Corolla Cross versi facelift yang sebenarnya sudah pun dibuka untuk tempahan pada November lalu. Selain reka bentuk luaran yang lebih segar, SUV ini juga mendapat beberapa kelengkapan baharu termasuk brek parkir elektronik, Auto Hold dan sistem bantuan pemandu yang dipertingkatkan.
Nissan Kicks e-Power
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Nissan Kicks e-Power akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, dengan dua pilihan varian iaitu VL dan VLT. Ia menampilkan enjin petrol 1.2-liter tiga silinder yang bertindak sebagai penjana untuk mengecas pek bateri bagi menggerakkan motor elektrik pada gandar depan.
MG Cyberster
Antara kereta yang bakal menonjol di KLIMS 2024 adalah MG Cyberster, roadster elektrik yang dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 503 PS dan 725 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat.
GWM Wey 80
Wey merupakan sub-jenama mewah yang bernaung di bawah Great Wall Motor (GWM). Sama ada ia akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan atau tidak masih belum dapat dipastikan, namun jika MPV mewah ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung, tidak mustahil ia akan terjadi.
Perodua bakal menyajikan sesuatu yang istimewa untuk para pengunjung acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) yang akan berlangsung pada minggu ini.
Untuk itu, hujung minggu lalu Perodua mula menyiarkan video acah model konsep berkuasa elektrik EMO-II (Electric Mobility Online).
Video berdurasi 30 saat itu memperlihatkan sedikit sebanyak reka bentuk sporti yang cuba ditampilkan oleh EMO-II.
Antara elemen unik termasuklah logo Perodua yang bercahaya, bar lampu LED melintang penuh depan dan belakang, diikuti rekaan bampar yang agresif.
Selain itu, pada bahagian belakang EMO-II menampilkan komponen diffuser yang besar, diikuti dengan lampu kabus tunggal di bahagian tengah bampar.
Berdasarkan spesifikasi rangkaian kuasa yang didedahkan sebelum ini, Perodua EMO-II dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda depan berkuasa 68 PS/220 Nm dengan jarak gerak sejauh 450 km untuk sekali cas penuh.
Pembangunan prototaip EV EMO ini dibuat menerusi kerjasama dengan tiga universiti tempatan, iaitu UNITEN, UniKL dan UPM.
Sementara pembangunan teknologi rangkaian kuasa pula dibuat dengan syarikat yang berpangkalan di Australia, memandangkan buat masa ini tiada lagi model EV yang wujud dalam skala dimensi yang sama dibuat oleh Toyota mahupun Daihatsu.
Perodua dijangka akan melancarkan EV pertamanya pada hujung tahun 2025.