Honda Malaysia mengesahkan model konsep coupe hibrid Honda Prelude akan membuat kemunculan rasmi pertama di acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) pada 5-11 Disember ini.
Ini sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di peringkat Asia selain Jepun yang mempamerkan model coupe hibrid tersebut.
Honda Prelude didedahkan buat kali pertama pada acara Japan Mobility Show 2023, sebelum disahkan akan muncul dalam versi produksi sebenar menjelang pertengahan dekad ini.
Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, Honda Prelude generasi baharu ini akan dibangun berdasarkan platform Civic sedia ada, selain mengguna pakai teknologi hibrid e:HEV dengan dua motor elektrik yang mampu menjana kuasa setinggi 208 hp.
Terdapat juga khabar angin di mana jurutera Honda akan memadankan enjin hibrid tersebut dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan dan fungsi rev-match daripada Civic RS.
Apa pun berita yang berlegar di alam maya, yang pasti Honda Prelude versi produksi sebenar akan membuat kemunculan rasmi menjelang separuh kedua tahun 2025 bermula di pasaran Eropah terlebih dahulu.
ACARA Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) akan kembali untuk edisi kesepuluhnya dengan tema ‘Beyond Mobility’.
Dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), KLIMS 2024 akan diadakan dari 5 hingga 11 Disember 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Tahun ini, KLIMS menjalinkan kerjasama dengan Institut Automotif Robotik dan IoT (MARii), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dengan MARii sebagai rakan strategik, KLIMS 2024 mensasarkan untuk meneroka jalan baharu bagi meningkatkan keupayaan ekosistem automotif selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020.
Tema ‘Beyond Mobility’ yang digunakan tahun ini menekankan kemampanan, elektrifikasi, dan pemanduan autonomi.
Pengunjung boleh menantikan pameran yang diketengahkan daripada jenama-jenama automotif terkemuka dan rakan kongsi, yang menampilkan kenderaan termaju dan penyelesaian mobiliti yang inovatif.
Selain itu, KLIMS 2024 juga akan menyediakan platform untuk semua kategori kenderaan elektrik, vendor, pembekal peralatan pengecasan dan penyedia perkhidmatan untuk mempamerkan produk, inovasi dan teknologi mereka.
KLIMS 2024 disokong oleh pelbagai persatuan industri termasuk Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM), Persekutuan Automotif Malaysia (AFM) dan Persatuan Pengeluar Komponen Automotif Malaysia (MACPMA).
Selain itu, rakan kongsi acara seperti Carsome, Big Onion dan Motonation juga akan menyumbang sumber mereka memastikan pengalaman yang komprehensif dan menarik untuk semua pengunjung.
Antara jenama yang telah mengesahkan penyertaan mereka di KLIMS 2024 termasuk Perodua, Proton, Toyota, Honda, Mitsubishi, Nissan, KIA, Mazda, Kawasaki, Great Wall, MG Motor, GAC Motor, Allianz, V-Kool, Kineta, PG Pro Perma Glass, NVK Interior, GoInsuran, WTC Automotif, TCCL dan banyak lagi.
Butiran acara
Tarikh: 5 hingga 11 Disember 2024 (Khamis hingga Rabu)
Lokasi: Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC)
Waktu pembukaan
10 pagi hingga 8 malam pada hari minggu
10 pagi hingga 10 malam pada hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad kerana 11 Disember adalah hari cuti umum Selangor)