Tag Archives: KLK

Ujian rintis AWAS guna AI kesan pemandu lebih had laju di PLUS, KLK bermula Jun ini

Ujian perintis Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) menggunakan kaedah ‘point-to-point‘ akan dilaksanakan menjelang Jun ini, lapor Berita Harian.

Kaedah tersebut akan digunakan untuk mengesan pemandu yang melebihi had laju dengan mengukur tempoh dan jarak perjalanan, selain menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Untuk permulaan, dua lokasi laluan lebuh raya akan dipilih untuk projek rintis ini, iaitu di laluan terowong Genting Sempah ke hentian Rehat Gombak (Lebuhraya KL-Karak), dan Plaza Tol Senawang ke Plaza Tol Simpang Ampat (Lebuhraya Utara Selatan).

Sistem ini juga akan dipasang di lokasi yang sering berlaku kemalangan, seperti contoh lokasi Terowong Menora ke Hentian Rehat Sungai Perak.

Dalam temubual bersama Berita Harian, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata, sistem ini dapat mengesan pemandu melanggar had laju sekiranya tiba di destinasi lebih cepat berbanding anggaran tempoh sepatutnya.

“Sistem ini dipasang di plaza tol, akan ambil bacaan masa perjalanan berdasarkan jarak ke jarak.

“Contohnya pemandu dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak, tiba lebih awal dari masa sepatutnya, jadi nombor plat kenderaan akan dikesan dan saman dikeluarkan automatik,” katanya.

Dengan bantuan AI, sistem ini dapat mengesan tempoh seorang pemandu berhenti di mana-mana lokasi untuk memanjangkan tempoh perjalanan bagi mengelak dikesan.

Ujarnya lagi, sebuah syarikat telah dilantik untuk mengendalian proses pembuktian konsep (POC) tanpa memberikan impak kewangan kepada kerajaan.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan sistem kamera AWAS akan ditambah baik dengan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

Ini kerana pelaksanaan kamera AWAS pada ketika ini dilihat tidak mencapai objektif mengurangkan kelajuan kenderaan dan mengurangkan risiko kemalangan.

Kamera AwAS ditambah baik, tidak lagi guna kaedah statik

Pelaksanaan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini, lapor Astro Awani.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ia membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.

Menurutnya, pelaksanaan kamera AwAS ketika ini yang diletakkan di satu lokasi secara statik dilihat tidak mencapai objektif untuk mengurangkan kelajuan kenderaan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan.

sumber gambar: Bernama

“Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints.

“Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

“Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama.

“Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya dalam sidang media, di sini, pada Isnin.

sumber gambar: Utusan

Sebagai permulaan katanya, pelaksanaan ini akan dilakukan di kawasan berbahaya dan berisiko tinggi seperti kawasan berbukit di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.

“Objektif kita adalah untuk memastikan kenderaan itu perlahan terutamanya bas dan sebagainya supaya pemandu tidak memecut semasa mereka turun bukit.

“Kaedah sekarang kurang berkesan walaupun kita pasang kamera, kenderaan hanya perlahan di tempat itu dan selepas itu dia pecut semula,” katanya.

Beliau berharap, melalui penambahbaikan sistem AwAS dengan mekanisme point-to-point, ia menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya serta meningkatkan kesedaran dan disiplin pemandu di seluruh negara.

Anih jangka 100,000 kenderaan guna KLK, LPT1 sempena Aidilfitri

ANIH Bhd menjangkakan purata harian kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) meningkat sehari sebelum Aidilfitri sehingga 17 Mei.

Syarikat konsesi itu menjangkakan jumlah kenderaan bakal meningkat lebih 100,000.

Pengarah Eksekutif Anih Bhd berkata, pihaknya menjangkakan sejumlah 70,180 kenderaan menggunakan KLK sementara 40,250 bagi LPT1 menjelang Aidilfitri.

“Semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT1 mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP).

“Pengguna dinasihatkan sentiasa mematuhinya ketika menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R),” kata Datuk Nik Fauzi Nik Hussein dalam satu kenyataan.

KLK dan LPT1 merupakan antara lebuh raya paling sibuk ketika menjelang sesuatu perayaan.

Kedua lebuh raya itu menghubungkan beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Anih Bhd bersedia dalam usaha menguruskan operasi tol, trafik dan fasiliti.

Langkah terbabit dibuat memandangkan negara berdepan peningkatan kes Covid-19 yang kian membimbangkan.

Sementara itu, orang ramai ingin mendapatkan maklumat berhubung perkhidmatan di KLK dan LPT1 boleh layari laman web Anih Berhad atau akaun media sosial.