Tag Archives: koc

E-Mutiara beli 20 unit koc dua tingkat Scania yang terpanjang di Malaysia

KONSORTIUM E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) memperluaskan lagi perkhidmatannya dengan pembelian 20 unit koc dua tingkat Scania K410EB6X2 yang terpanjang di Malaysia dengan ukuran 13.5 meter.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Heba Eltarifi, Pengarah Urusan Scania Asia Tenggara dengan menyerahkan koc-koc tersebut kepada Che Ibrahim Che Ismail, Pengerusi Eksekutif E-Mutiara.

Ia disaksikan oleh Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dan Robert Lejon, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Sweden.

Dengan penambahan terbaru ini, E-Mutiara akan melancarkan perkhidmatan koc ekspres mewah pertama mereka di negara ini serta membuka lembaran baru kerjasama strategik dengan Scania.

Koc jenis double-deck ini menawarkan 10 peratus peningkatan kapasiti jika dibandingkan dengan koc-koc mewah lain di Malaysia, membolehkan syarikat meningkatkan ekonomi operasi.

Koc-koc milik E-Mutiara ini mempunyai tempat duduk dalam konfigurasi 2+1 dan boleh memuatkan maksimum 51 penumpang pada satu-satu masa.

Selain itu, ia menggunakan trenkuasa cekap tenaga dengan ciri Opticruise dalam mod Eco, serta perkhidmatan pengurusan fleet yang dikatakan mampu meningkatkan kecekapan bahan api sehingga 15 peratus.

Sistem suspensi udara pada bahagian depan dan belakang memberikan keselesaan kepada penumpang, manakala ciri-ciri EBS dengan ABS, Traction Control, serta Retarder sebagai brek tambahan mampu meningkatkan ciri keselamatan.

Turut disertakan adalah ciri Hill Hold yang membantu koc kekal pegun pada permukaan curam, Speed Limiter untuk mengehadkan kelajuan, kamera 360 darjah yang menghapuskan titik buta serta sistem penggera kebakaran. Apa yang menarik, ia juga menyediakan kemudahan tandas di tingkat bawah.

“Koc Scania yang selamat dan selesa, cekap bahan api dan mesra alam sekitar sentiasa menjadi kelebihan buat E-Mutiara dalam mendapatkan keuntungan dan kemampanan yang lebih baik. Kini dengan koc yang lebih panjang, kami berupaya meningkatkan kapasiti serta keselesaan pelanggan,” kata Che Ibrahim.

KTMB lancar XKB, boleh usung basikal naik tren!

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini telah melancarkan perkhidmatan terbaharu mereka iaitu tren sewa khas Ekspres Koc Basikal (XKB).

Melalui perkhidmatan baharu ini, para penggemar sukan berbasikal boleh membawa basikal terus ke destinasi pilihan untuk memulakan kayuhan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, perkhidmatan ini dapat memberikan pengalaman unik kepada peminat aktiviti berbasikal sekaligus memenuhi permintaan penumpang yang ingin menikmati perjalanan menggunakan lokomotif diesel.

Ketika majlis pelancaran baru-baru ini, seramai 150 orang peserta telah dibawa menaiki tren XKB dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Tanjung Malim. Seterusnya, mereka berbasikal sejauh 49km dari Stesen Tanjung Malim melalui Sungai Bil – Behrang Ulu – Sungai Dar sebelum berpatah semula ke Stesen Tanjung Malim.

Koc basikal yang telah diubahsuai ini mampu memuatkan kira kira 60 basikal pada satu-satu masa. Buat masa ini, pihak KTMB mempunyai tiga buah koc XKB.

Pemilik basikal juga tidak perlu khuatir kerana basikal-basikal ini akan diletakkan pada alatan khusus bagi memastikan keselamatan ketika perjalanan.

Pihak KTMB juga bersedia untuk memenuhi permintaan pelanggan sekiranya para pelanggan ingin menyewa koc basikal ini bersama dengan koc tempat duduk serta tempat tidur (ADNS) mahupun koc yang mempunyai kafeteria. Kadar sewaan XKB bergantung kepada pilihan pakej pelanggan serta jarak perjalanan tren.

Untuk tempahan atau pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi pihak KTMB di talian 03-2263 1077 atau emel kepada chartertrain@ktmb.com.my